Walaupun sudah lebih 20 tahun berada dalam bidang penyiaran dan biasa dengan program TV secara 'LIVE' mahupun rakaman, hari ini adalah pengalaman pertama saya menjadi panel sebuah rancangan TV iaitu "HUJAH".
Rancangan "HUJAH' adalah sebuah rancangan bualbicara yang diterbitkan oleh Bahagian Ehwal Semasa TV3 untuk disiarkan di TV9. Rakamannya diadakan pada jam 3 petang setiap hari selasa dan disiarkan pada hari yang sama jam 9:30 malam.
Minggu ini topik perbincangan berkisar mengenai medium baru komunikasi iaitu blog. Oleh kerana isu mengenai blog kini semakin hangat, maka pelbagai pihak menggunakan topik itu sebagai tajuk perbincangan. Selain media cetak, stesen penyiaran termasuk RTM sudah mengadakan ruang untuk membicarakan isu itu.
Minggu ini "HUJAH" memanggil Dr Abu Hassan Hasbullah tokoh blogger yang begitu prolifik di negara ini, di samping menampilkan pengantaranya Dr Aziz Bari. Awal minggu ini saya dihubungi oleh Penerbit Eksekutif rancangan itu, saudara Azri Atan untuk mendapatkan seorang lagi panel.
Daripada pelbagai nama yang begitu aktif sebagai blogger, saya memberikan nama pengendali blog "Dunia Tiger" iaitu Datuk Ibrahim Yahaya (Tiger) sebagai seorang lagi panel.
Datuk Ibrahim bersetuju untuk datang ke studio A di Sri Pentas untuk rakaman. Malangnya kurang dua jam sebelum rakaman dijalankan Azri menghubungi saya menyatakan Datuk Ibrahim tidak dapat hadir kerana ada pertemuan mengejut dengan Menteri Penerangan. Beliau meminta saya mencari pengganti atau saya sendiri menjadi panel mengantikan Datuk Ibrahim.
Aduh....bagaimana boleh jadi begini?
Saya lantas memberi beberapa nama lagi, antaranya Zukri Valentino (bekas Setiausaha Akhbar Menteri Penerangan) dan Syed Imran Al-Sagof (KudaRanggi). Namun siapalah yang sanggup datang untuk tempoh sesingkat itu walaupun ramai yang minat untuk menyertai rancangan itu.
Akhirnya tiada pilihan, saya diminta menjadi 'bidan terjun'.
Saya masih menolak dan sebagai syarat terakhir saya meminta Penerbitnya mendapatkan 'clearance' daripada Pengarah Kumpulan Berita & Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Kamarulzaman Zainal.
Rupa-rupanya 'acah-acah' saya kepada Penerbit itu tidak dapat menghalang saya untuk terus menjadi panel "HUJAH" setelah Datuk "K" memberikan lampu hijau.
Dan inilah yang dikatakan, "jadikan masalah sebagai satu peluang". Selepas rancangan itu ke udara, bermacam-macam panggilan dan sms daripada rakan-rakan lama yang saya terima, termasuk komen daripada 'grey' di blog ini.
Sesungguhnya pengalaman ini mengingatkan saya pada suatu ketika dahulu bahawa saya pernah menjadi bidan terjun mengantikan Mahathir Lokman (sekarang Datuk) pada lintas langsung di dataran bandaraya Johor Baharu.
Di sebalik menjadi Penolong Penerbit, wartawan lokasi dan 'Floor Manager' pada lintas langsung itu, saya terpaksa juga jadi 'anchor' menggantikan Datuk Mahathir Lokman. Pada ketika itu, beliau lebih menumpukan kepada pengacaraan majlis di dataran itu, semata-mata kerana pulangan yang lumayan daripada pihak penganjur malam Pengisytiharan Johor Baharu sebagai Bandaraya.
3 comments:
Sdr Lokman,saya ada mengikuti rancangan Hujah TV9 hari tu.Sdr tlh memberikan pendapat yg jelas mengenai perkara yg dibincangkan.Cuma masa rancangan ni 30 min shj & agak singkat utk sesi perbincangan.Pada pendapat saya sdr tlh diberi penghormatan & kepercayaan dlm rancangan ini walaupun sebagai bidan terjun(pd saya yg ini lebih original).Apa yg ingin saya maklumkan disini ialah laman blog tjt21 yg sdr bina tlh dpt menyatukan rakan2 kita yg hampir 30tahun tidak bertemu.Jadi ruangan blog yg disediakan oleh sdr tlh memberikan impak yg positif & mendapat sambutan rakan2 kita yg tlh lama terpisah. Syabas, sdr Lokman!! Drp Fauzi1679
Tahniah bro, maaf aku tak dapat tengok sebab kat rumah tak dapat TV9, haru kan, nak wat cam na..
Terima kasih kerana memberi sokongan.
Post a Comment