Monday, May 26, 2008

BUDAYA TAKUT BERSUARA JEJAS KEKUATAN UMNO

Pemilihan Umno pada tahun ini, yang akan dimulai di peringkat cawangan pada Julai, merupakan satu proses penting parti yang dilihat boleh membawa perubahan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya.

Ini kerana selepas 62 tahun ditubuhkan, ia sedang berhadapan dengan cabaran untuk menambah sokongan orang Melayu, bagi menguatkan lagi kedudukannya sebagai sebuah parti politik pilihan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad percaya faktor dalaman adalah antara punca parti itu semakin kurang mendapat sokongan orang Melayu. Ini kerana Umno diselubungi apa yang beliau sifatkan sebagai amalan "feudal" yang tebal.

"Selagi amalan ini tidak dibuang, tidak dihapuskan, Umno tidak akan berjaya sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu, dan rakyat amnya," katanya kepada Bernama.

Shahrir berkata budaya "feudal" yang dimaksudkan beliau ialah sikap pemimpin bawahan yang `takut' bersuara kerana tidak mahu mengatasi pemimpin atasan.

"Mereka takut bersuara kerana takut dikatakan melebih-lebih. Mereka tunggu pemimpin atas bersuara. Pemimpin bawahan juga takut bersuara menegur jika apa yang dirasakan mereka tidak kena. Semuanya takut," katanya. Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap itu terbentuk kerana pemimpin berkenaan mahu menjaga kepentingan sendiri.

"Ya, mereka tak nak bersuara takut kedudukan mereka terjejas. Inilah juga masalah dalam parti sekarang. Mereka bukan lagi nak perjuangkan parti dan bangsa, tetapi untuk diri sendiri," katanya.

Shahrir yang terkenal dengan kelantangan bersuara pernah melalui pengalaman sedemikian apabila beliau dilucutkan daripada jawatan Menteri Wilayah Persekutuan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana perselisihan pendapat.

Beliau juga pernah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) setelah dikatakan memihak kepada pandangan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang beberapa tahun lepas.

Menyifatkan amalan "feudal" itu sebagai `api dalam sekam', Shahrir yang kini kembali ke kabinet sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata pemimpin sedia ada harus berbalik kepada asas penubuhan Umno jika benar-benar sayangkan parti.

"Jika dilihat daripada sejarah Umno, kekuatan Umno sebagai sebuah gerakan popular masyarakat Melayu ialah kerana Umno bertindak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Dia (Umno) melihat kepada masalah masyarakat, dan menyelesaikan masalah masyarakat, dia mendengar pandangan masyarakat, Umno menjadi saluran kepada pandangan masyarakat dan ini memberikan satu sistem maklum balas yang demokratik," katanya.

Shahrir berkata pada zaman itu juga apabila pemimpin Umno bercakap sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan, mereka mewakili pandangan orang ramai bukan pandangan sendiri.

Bagaimanapun katanya Umno tidak lagi menjalankan peranan itu sebaliknya menyerahkan tanggungjawab menangani masalah orang ramai kepada NGO yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan sekarang.

"Ini menyebabkan rakyat jauh daripada kita. Kita tidak tahu apa yang sebenar berlaku kepada orang-orang kita. Pada saya untuk kita menarik semula hati mereka, maka kita sebagai pemimpin Umno harus mendekati mereka, mendekati NGO yang menjadi rakan mereka sekarang.

"Kita dah tak boleh lagi serahkan tugas itu kepada pemimpin NGO semata-mata, atas alasan kita sibuk dengan perkara lain. Tak boleh," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kepada faktor itu juga pemimpin Umno tidak berhak meminta rakyat menyokong mereka sebagai membalas budi. "Umno ditubuhkan untuk mengatasi masalah rakyat, membantu mereka. Saya tak setuju jika kita minta orang-orang yang berjaya atas bantuan kita ini balas budi dan undi kita. Tolong mereka itu tugas kita. Kita berkhidmat kepada mereka.

"Saya rasa kalau kita tak ada cacat cela mereka tak ada sebab untuk tidak menyokong kita. Jadi apa sebab kita nak mereka ini yang dah berjaya di bawah dasar-dasar yang kita buat 20 tahun dulu, undi kita sekarang bila kita sendiri sudah terpesong," katanya.

Mengulas mengenai persepsi masyarakat khususnya generasi muda sekarang bahawa Umno sebuah parti yang dipenuhi elemen kronisme dan nepotisme, serta subur dengan amalan `politik wang', Shahrir berkata ia berpunca daripada sikap pemimpin parti yang hanya menjaga kedudukan sendiri.

Mereka percaya bahawa untuk mencapai cita-cita politik, mereka harus berjaya dalam Umno.

"Untuk berjaya dalam Umno dia kena memikat dan mendapat sokongan daripada ahli-ahli Umno. Fokusnya bukan lagi memberi khidmat kepada masyarakat yang lebih besar tetapi untuk mendapat sokongan ahli-ahli Umno semata-mata.

"Ini kerana selama ini pemimpin Umnolah yang menjadi anggota Parlimen, memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan pusat. Jadi suka tak suka ramai yang berusaha lebih untuk menentukan dan mengekalkan kedudukan mereka dalam parti sebelum menumpukan kepada usaha menguatkan parti dalam konteks masyarakat dan pengundi," katanya.

Berdasarkan faktor berkenaan, Shahrir berkata kuasa untuk merawat Umno terletak di tangan anggota parti sendiri, yang harus melakukannya dari dalam di setiap peringkat.

"Kita harus berbalik kepada asas perjuangan Umno dulu sebagai NGO yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama. Saya yakin jika sistem 'feudal' yang mengikat pemimpin bawah daripada bersuara ini ditolak beramai-ramai, Umno boleh dapat sokongan yang lebih besar daripada rakyat," katanya.
-- BERNAMA

No comments: