Monday, May 19, 2008

BERTUGAS DI MANA SAHAJA


Tak kira tempat. Tapi itulah hakikatnya menjadi wakil rakyat, lebih-lebih lagi sudah jadi menteri.

Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kerana memang sudah dijangka dan tidak menjadi hal baginya terutama bila saudara sendiri yang minta tolong.

Foto di atas mengambarkan bagaimana sibuknya tugas menjadi wakil rakyat. Pelbagai cadangan dan permohonan minta sokongan. Tak kira masa kenduri ketika sedang menyambut tetamu atau sedang tidur di rumah. Kami yang hampir dengannya sudah lama faham tugasnya itu. Dah tak kisah sangat.

Saya sendiri terpaksa berbuat begitu untuk membantu kawan-kawan yang minta tolong.

Ketika menghadiri kenduri kahwin anak kakak, saya juga membawa satu sampul surat besar. Di dalamnya ada empat jenis surat untuk meminta bantuan.
Dua surat meminta agar dipercepatkan pemergian ke Mekah untuk menunaikan Haji tahun ini. Dua lagi surat meminta sokongan untuk memohon kerja di salah satu agensi di bawah portfolionya.

Semuanya saya bantu dan berlagak seperti 'wakil kecil' kepadanya walaupun tidak diiktiraf. Sama ada dapat atau tidak hanya Allah yang menentukan.

Tapi saya sendiri jarang berbuat begitu untuk diri sendiri.

Pernah ketika saya mula mendapat kerja di stesen TV dulu, emak memberitahu saya ada ibu saudara datang minta tolong abang carikan kerja untuk anaknya. Anaknya itu baru balik dari luar negara.

Ibu saudara itu kata adik beradik semua senang dapat kerja. Tapi emak cakap, "Semua tu mereka (adik-beradik) cari sendiri dan tidak mintak tolong abangnya carikan."

Dan saya masih ingat abang pernah tolong saya dalam soal pekerjaan, bukan untuk cari kerja tapi untuk berhenti kerja.

Saya berhenti askar kerana pertolongan abang yang meminta bantuan daripada Menteri Pertahanan. Dan akhirnya tiada bayaran ganti rugi dikenakan kerana ketika itu untuk berhenti perkhidmatan tidak mudah, tambahan baru setahun jagung dalam perkhidmatan dan tidak sempurna.

Tahun lalu ada satu lagi peristiwa yang tidak boleh saya lupa. Kami adik beradik bercadang untuk menunaikan umrah beramai-ramai bersama emak serta bapak. Semua urusan telah diatur, cuma saya seorang yang tidak pasti.

Saya terikat dengan tugas di pejabat. Lebih-lebih lagi saya turut terlibat dalam urusan untuk mewujudkan jabatan berita di stesen TV baru. Perkara itu saya sampaikan kepada abang yang beriya-iya untuk bersama-sama kami dan emak bapak di Mekah.

Saya terperanjat apabila bos saya memberitahu bahawa abang telah memaklumkan hasrat saya untuk pergi umrah dan memerlukan cuti panjang kepada COO. Abang menyatakan perkara itu selepas menjadi tetamu pada satu rancangan bual pagi di studio stesen TV berkenaan.

Dan akhirnya saya mendapat cuti itu. Namun kerana emak tidak sihat dan jatuh sakit hasrat kami untuk pergi bersama ke Mekah tergendala. Semua itu kerja Allah.

Tapi saya masih bersyukur kerana dapat pergi ke Mekah bersama-sama emak dan bapak lebih 10 tahun lalu, dan mengikuti rombongan umrah bersama rakan-rakan sekerja beberapa tahun lalu.

1 comment:

Anonymous said...

Sdr Lokman,bila baca artikel ni teringat saya pd cadangan yg saya hantar dulu,masa tu Dato' kat KPM.Dato' sokong penuh tetapi saya menghadapi kerenah birokrasi peringkat agensi2 yg terlibat, almaklumlah tiap2 negeri berlainan cara.Jadi tak dpt nak diterjemahkan begitulah kesudahannya.Terima kasih byk2 kepada wakil kecil tu..tak ada wakil kecil mcmana nak jumpa wakil besar,penting wakil kecil tu!!Kita berusaha tetapi Allah yg menentukan..!!Terima kasih 1679