Tuesday, May 27, 2008

PENDEKATAN ISLAM HADHARI : MANGSA PERTEMBUNGAN IDEOLOGI POLITIK?

Islam Hadhari adalah suatu kaedah ( manhaj ). Pendekatan Hadhari mencerakinkan kepertanggungjawaban kerajaan dalam mencapai matlamat.

Sayangnya pendekatan ini menjadi isu politik yang menjadi medan pertembungan tanpa kesudahannya. Kalau pendekatan ini dimula dan digerakan di universiti tentu sekali tidak akan menjadi isu yang berlarutan.

Sesetengah ilmuan agama menolak pendekatan ini secara emosional yang berasaskan semangat kebencian berpuak.

Di Selangor misalnya, yang halal menjadi haram dan yang haram menjadi halal . Isu babi yang jelas akan haramnya tetapi boleh menjadi halal apabila dilihat ada nilai komersial yang diperolehi darinya.

Pendekatan Islam Hadhari yang merupakan suatu manhaj berasaskan nas dan dalil yang dikemukakan boleh diharamkan atas kehendak dan tuntuan emosi hasil pertembungan ideologi yang berbeza. Ikuti penjelasan lanjut isu ini di sini.

SELANGOR HARAMKAN ISLAM HADHARI

Antara pengharaman program Islam Hadhari di Selangor dengan pelaksanaan ternakan babi terbesar di negeri ini.

Siang tadi di Dewan Undangan Negeri Selangor, EXCO Datuk Dr Hassan Ali mengumumkan pengharaman program itu termasuk di masjid-masjid di Selangor.

Dan jam 11:30 malam tadi, bekas EXCO Selangor Datuk Abdul Rahman Palil menghubungi saya serta menjelaskan sedikit sebanyak apa yang perlu beliau ulas esok.

Beliau akan merasmikan jembori Pengakap seluruh Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam jam 10:30 pagi. Selepas itu beliau akan mengulas tindakan kerajaan campuran Pakatan Rakyat Selangor berhubung isu itu.

Antaranya menurut beliau kerajaan Selangor sekarang harus sedar bahawa kakitangan dan guru agama di Selangor gaji mereka dibayar oleh kerajaan Pusat. Beliau juga turut mempertikaikan, Islam Hadhari diharamkan tetapi ajaran sesat "masih dihalalkan".

Esok (selasa), TV3 dan TV9 akan menyiarkan kenyataan beliau di samping cuba mendapatkan pandangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Hamid Othman.
(Nota : Datuk Zahid kini baru tiba di Makkah)

Monday, May 26, 2008

SELINGKAR KISAH DARIPADA JOHARI BAHAROM

Petikan tulisan : Hishamuddin Aun hishamaun@nstp.com.my (Berita Minggu 25 Mei 2008)

DARIPADA kedudukan antara yang paling dicemburui, Datuk Johari Baharom berubah nasib kepada harus antara yang paling tidak mendapat simpati. Namun, dalam mengimbau rentetan yang membawa kepada keadaan sedemikian sehingga kini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu harus tidak pun menyesali apa-apa.

Selama hampir empat tahun di antara 1999 dan 2003, beliau adalah setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad antara orang yang dilihat paling rapat dengan Perdana Menteri ketika itu meskipun ia tidak semestinya demikian. Semua itu, bagaimanapun, berubah pada Julai 2004 apabila Johari yang ketika itu Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu sesudah mewarisinya daripada Dr Mahathir, dilabel sebagai tidak mengenang budi. Gara-gara Datuk Mukhriz Mahathir tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda bahagian berkenaan, hubungan yang terbina dengan keluarga bekas Perdana Menteri selama bertahun-tahun sebelum itu, turut retak menanti belah.

"(Tun) Dr Siti Hasmah (Md Ali) tidak lagi sambut ketika saya hulurkan tangan untuk bersalam dengannya," kata Johari dalam satu temu bual, "Tun (Dr Mahathir) juga agak dingin dengan saya sejak peristiwa itu." Johari menyalahkan keadaan itu kepada Mukhriz sendiri yang hanya menyatakan hasrat bertanding jawatan ketua pemuda bahagian hanya seminggu sebelum mesyuarat cawangan bermula, di samping tidak pernah mengambil ikhtiar untuk merapati akar umbi. "Saya beritahu kepadanya (Mukhriz) yang dia kena berunding dengan kepemimpinan Pemuda di Kubang Pasu, sebaliknya dia pula kata seboleh-bolehnya dia tidak mahu ada pertandingan. "Memang keluarga Tun kecil hati dengan saya kerana saya mengambil sikap berkecuali. Tapi hati kecil saya sendiri berkata ketika itu yang Mukhriz tak patut bertanding... dia pun tak kenal orang pada peringkat bahagian dan cawangan," katanya.

Barangkali juga Johari ketika itu dilihat sudah berpindah kesetiaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang melantiknya sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum 2004. Kepada Johari, jika mahu diandaikan keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu sebagai penolakan terhadap kepemimpinan Abdullah, maka keputusan Pilihan Raya Umum 1999 juga wajar diandaikan sebagai penolakan terhadap kepemimpinan Dr Mahathir. Ketika itu, Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan sebilangan besar orang Melayu, walaupun BN menang 75 peratus kerusi Parlimen. Rata-rata diterima ramai ketika itu bahawa undi orang Cina dan India selain Sabah dan Sarawak yang memenangkan BN. Johari mengingati bagaimana peritnya keadaan waktu itu.

Pada ketika Dr Mahathir amat bermuram dan bermurung dengan bahana yang menimpa, terlalu banyak kerja perlu dibuat untuk mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap Umno dan BN. Cuma, dari segi perbandingannya, Dr Mahathir amat bertuah dan beruntung. Tiada sesiapa pun, baik di dalam Umno mahupun BN, yang mendesaknya untuk melepaskan jawatan di sebalik hakikat beliau sudah menerajui negara selama 18 tahun. "Pak Lah yang menjadi timbalannya sanggup turun ke setiap ceruk-rantau untuk mendapatkan sokongan terhadap Perdana Menteri. Begitu juga anggota Kabinetnya dan ahli Majlis Tertinggi (Umno), semuanya berganding bahu untuk memulihkan keadaan, bukannya menuding jari untuk menyalahkan sesiapa. "Tapi hari ini kita lihat keadaannya amat berbeza," katanya merujuk kepada pengumuman Dr Mahathir, Isnin lalu, untuk keluar dari Umno dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Abdullah, yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

"Seharusnya kita berasa kecil hati dengan kenyataan Tun, apatah lagi kerana beliau terus diberikan sokongan penuh ketika kejutan pada 1999 itu. Kini, beliau pula meminta ahli Umno mengambil tindakan berani untuk keluar parti dan hanya menyertai semula Umno apabila Datuk Seri Abdullah melepaskan jawatan," katanya lagi. Sebagai seorang yang mengenali Dr Mahathir sejak 1981 – ketika memegang jawatan Naib Ketua Pemuda bahagian Kubang Pasu Johari tidak akan mudah hairan dengan apa saja yang sudah dan bakal diperkatakan oleh bekas ketuanya itu. "Satu persatu terdedah hari ini bahawa apa saja yang dikatakan oleh Dr Mahathir sekarang adalah amat berlawanan dengan ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri – baik soal kepemimpinan, bahawa parti lebih penting daripada individu mahupun kesetiaan ahli.

"Daripada dulu apabila Dr Mahathir sering mencanangkan supaya dielakkan pertandingan jawatan tertinggi bagi mengekalkan perpaduan, hari ini beliau menyarankan supaya dilakukan apa saja agar parti berpecah-belah. "Bezanya ialah dulu beliau yang duduk di atas tapi hari ini orang lain mengisi tempat yang pernah didudukinya," katanya. Untungnya majoriti ahli Umno sendiri tidak sekadar mengikut emosi seperti dibuktikan seminggu sesudah gesaan Dr Mahathir agar mereka keluar beramai-ramai meninggalkan parti, cuma beberapa kerat yang mengambil tindakan demikian.

Tidak juga Mukhriz yang secara tidak langsung menggambarkan pemulauan terhadap Umno bukan satu-satunya cara yang harus dipersetujui atau dicontohi jika parti keramat Melayu ini benar-benar hendak diperkukuhkan. Harus tidak salah juga diandaikan jika kian ramai kini yang semakin jelas bahawa bukanlah sangat Umno yang dihasratkan oleh Dr Mahathir untuk diselamatkan, sebaliknya lebih kepada keinginan peribadi agar kepemimpinan Abdullah direbahkan.

Apakah dosa besar Pak Lah terhadap mantan Perdana Menteri itu sehingga Dr Mahathir tergamak untuk melakukan apa saja bagi merealisasikan hasrat itu? Bukankah Abdullah juga orang pertama menyambar mikrofon untuk meminta perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2002 agar sebulat suara menolak pengumuman Dr Mahathir untuk berundur ketika ucapan penggulungannya? Dan selama lebih empat tahun menjadi Timbalan Perdana Menteri sejak 1999 selain menjadi penyokong paling setia, Pak Lah seharusnya memberikan cukup masa dan ujian untuk dirinya dinilai tetapi harus tidak pada pengamatan Dr Mahathir.

Sesiapa saja boleh merujuk kepada ucapan Dr Mahathir ketika upacara penyerahan tugas Perdana Menteri kepada Abdullah pada 31 Oktober 2003 yang antara lain berbunyi: "Berilah sepenuh sokongan kepada Datuk Seri Abdullah seperti sokongan yang diberikan kepada saya ketika memegang jawatan Perdana Menteri." Dr Mahathir tidak harus sama sekali menyalah anggap sokongan yang dinikmati selama lebih 22 tahun sebagai Perdana Menteri adalah semata-mata di atas daya kepemimpinannya.

Sebaliknya, ia harus turut berlandaskan kerjasama yang diberikannya sebagai sebuah pasukan, baik daripada Umno, parti komponen BN mahupun rakyat amnya. Atas perkiraan itu saja, tiada apa-apa yang berbeza dengan Abdullah jika didasarkan kepada ikrar sokongan terbaru daripada MT Umno, BN mahupun cetusan rasa menerusi peti undi. Apakah Dr Mahathir berasakan suaranya lebih besar dan lebih berpengaruh daripada semua mereka?

BUDAYA TAKUT BERSUARA JEJAS KEKUATAN UMNO

Pemilihan Umno pada tahun ini, yang akan dimulai di peringkat cawangan pada Julai, merupakan satu proses penting parti yang dilihat boleh membawa perubahan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya.

Ini kerana selepas 62 tahun ditubuhkan, ia sedang berhadapan dengan cabaran untuk menambah sokongan orang Melayu, bagi menguatkan lagi kedudukannya sebagai sebuah parti politik pilihan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad percaya faktor dalaman adalah antara punca parti itu semakin kurang mendapat sokongan orang Melayu. Ini kerana Umno diselubungi apa yang beliau sifatkan sebagai amalan "feudal" yang tebal.

"Selagi amalan ini tidak dibuang, tidak dihapuskan, Umno tidak akan berjaya sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu, dan rakyat amnya," katanya kepada Bernama.

Shahrir berkata budaya "feudal" yang dimaksudkan beliau ialah sikap pemimpin bawahan yang `takut' bersuara kerana tidak mahu mengatasi pemimpin atasan.

"Mereka takut bersuara kerana takut dikatakan melebih-lebih. Mereka tunggu pemimpin atas bersuara. Pemimpin bawahan juga takut bersuara menegur jika apa yang dirasakan mereka tidak kena. Semuanya takut," katanya. Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap itu terbentuk kerana pemimpin berkenaan mahu menjaga kepentingan sendiri.

"Ya, mereka tak nak bersuara takut kedudukan mereka terjejas. Inilah juga masalah dalam parti sekarang. Mereka bukan lagi nak perjuangkan parti dan bangsa, tetapi untuk diri sendiri," katanya.

Shahrir yang terkenal dengan kelantangan bersuara pernah melalui pengalaman sedemikian apabila beliau dilucutkan daripada jawatan Menteri Wilayah Persekutuan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana perselisihan pendapat.

Beliau juga pernah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) setelah dikatakan memihak kepada pandangan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang beberapa tahun lepas.

Menyifatkan amalan "feudal" itu sebagai `api dalam sekam', Shahrir yang kini kembali ke kabinet sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata pemimpin sedia ada harus berbalik kepada asas penubuhan Umno jika benar-benar sayangkan parti.

"Jika dilihat daripada sejarah Umno, kekuatan Umno sebagai sebuah gerakan popular masyarakat Melayu ialah kerana Umno bertindak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Dia (Umno) melihat kepada masalah masyarakat, dan menyelesaikan masalah masyarakat, dia mendengar pandangan masyarakat, Umno menjadi saluran kepada pandangan masyarakat dan ini memberikan satu sistem maklum balas yang demokratik," katanya.

Shahrir berkata pada zaman itu juga apabila pemimpin Umno bercakap sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan, mereka mewakili pandangan orang ramai bukan pandangan sendiri.

Bagaimanapun katanya Umno tidak lagi menjalankan peranan itu sebaliknya menyerahkan tanggungjawab menangani masalah orang ramai kepada NGO yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan sekarang.

"Ini menyebabkan rakyat jauh daripada kita. Kita tidak tahu apa yang sebenar berlaku kepada orang-orang kita. Pada saya untuk kita menarik semula hati mereka, maka kita sebagai pemimpin Umno harus mendekati mereka, mendekati NGO yang menjadi rakan mereka sekarang.

"Kita dah tak boleh lagi serahkan tugas itu kepada pemimpin NGO semata-mata, atas alasan kita sibuk dengan perkara lain. Tak boleh," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kepada faktor itu juga pemimpin Umno tidak berhak meminta rakyat menyokong mereka sebagai membalas budi. "Umno ditubuhkan untuk mengatasi masalah rakyat, membantu mereka. Saya tak setuju jika kita minta orang-orang yang berjaya atas bantuan kita ini balas budi dan undi kita. Tolong mereka itu tugas kita. Kita berkhidmat kepada mereka.

"Saya rasa kalau kita tak ada cacat cela mereka tak ada sebab untuk tidak menyokong kita. Jadi apa sebab kita nak mereka ini yang dah berjaya di bawah dasar-dasar yang kita buat 20 tahun dulu, undi kita sekarang bila kita sendiri sudah terpesong," katanya.

Mengulas mengenai persepsi masyarakat khususnya generasi muda sekarang bahawa Umno sebuah parti yang dipenuhi elemen kronisme dan nepotisme, serta subur dengan amalan `politik wang', Shahrir berkata ia berpunca daripada sikap pemimpin parti yang hanya menjaga kedudukan sendiri.

Mereka percaya bahawa untuk mencapai cita-cita politik, mereka harus berjaya dalam Umno.

"Untuk berjaya dalam Umno dia kena memikat dan mendapat sokongan daripada ahli-ahli Umno. Fokusnya bukan lagi memberi khidmat kepada masyarakat yang lebih besar tetapi untuk mendapat sokongan ahli-ahli Umno semata-mata.

"Ini kerana selama ini pemimpin Umnolah yang menjadi anggota Parlimen, memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan pusat. Jadi suka tak suka ramai yang berusaha lebih untuk menentukan dan mengekalkan kedudukan mereka dalam parti sebelum menumpukan kepada usaha menguatkan parti dalam konteks masyarakat dan pengundi," katanya.

Berdasarkan faktor berkenaan, Shahrir berkata kuasa untuk merawat Umno terletak di tangan anggota parti sendiri, yang harus melakukannya dari dalam di setiap peringkat.

"Kita harus berbalik kepada asas perjuangan Umno dulu sebagai NGO yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama. Saya yakin jika sistem 'feudal' yang mengikat pemimpin bawah daripada bersuara ini ditolak beramai-ramai, Umno boleh dapat sokongan yang lebih besar daripada rakyat," katanya.
-- BERNAMA

DI SEBALIK SIMBOL

Email yang disertai simbol jalanraya di bawah yang saya terima menarik perhatian. Mungkin ramai yang sudah menerimanya. Tapi ia sedikit sebanyak dapat menarik emosi humor kita.


Friday, May 23, 2008

LAMAN WEB SEKOLAH SEMAKIN MANTAP


Antara paparan di website SMKPBP

Setelah sekian lama membangunkan laman sesawangnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (SMKPBP) telah berjaya mengaktifkan dan mengemaskinikan butiran di dalamnya.

Penampilanya juga berinformatif dan kini menjadi wadah komunikasi diantara guru, pelajar, ibubapa dan masyarakat sekitar.

Tahniah kepada Biro ICT dan Hubungan Komuniti PIBG serta Guru Penolong Kanan (Ko-Kurikulum) En Wong Swee On.

Laman itu boleh dilayari di sini.

Tuesday, May 20, 2008

PERBUATAN DR. MAHATHIR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Pergerakan Pemuda UMNO mengarahkan semua ahlinya terus setia kepada parti dan menunggu arahan selanjutnya daripada pucuk pimpinan berhubung tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar parti.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta ahli Pemuda UMNO tidak mengambil tindakan terburu-buru.

Selama ini, kata beliau, Pemuda UMNO sentiasa dididik untuk meletakkan kepentingan parti pada kedudukan paling utama.

“Saya percaya Pergerakan Pemuda UMNO akan sentiasa rasional dan arahan saya kepada mereka ialah terus berada dalam barisan yang kukuh sehingga arahan selanjutnya.

“Secara peribadi, Pergerakan Pemuda UMNO akan memastikan kita akan sentiasa mempertahankan kepentingan parti dalam apa jua keadaan dan mengharapkan agar kemelut ini ditangani segera secara bijaksana,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Dr. Mahathir mengisytiharkan dirinya keluar daripada UMNO.
Hishammuddin menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang hanya mahu kembali ke dalam UMNO selepas Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kenyataan seperti itu sebenarnya tidak menguntungkan parti, sebaliknya ia membuka ruang kepada parti lawan yang sering mengintai peluang untuk memecahbelahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Hishammuddin sekali lagi mengingatkan semua pihak bahawa cadangan supaya Abdullah meletak jawatan akan hanya menguntungkan pihak lawan dan sama sekali tidak akan membawa manfaat kepada UMNO.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita semua sedang berusaha bersungguh-sungguh membina semula parti dan menyuntik semangat di kalangan ahli-ahli serta mengembalikan keyakinan serta sokongan rakyat kepada UMNO,’’ katanya.

Beliau juga berkata, parti-parti komponen BN memerlukan kepimpinan UMNO.

“Jangan sesekali kita mengecewakan mereka,’’ katanya.
(Petikan : Utusan Online)

Monday, May 19, 2008

BERTUGAS DI MANA SAHAJA


Tak kira tempat. Tapi itulah hakikatnya menjadi wakil rakyat, lebih-lebih lagi sudah jadi menteri.

Tetapi itu semua tidak menjadi masalah kerana memang sudah dijangka dan tidak menjadi hal baginya terutama bila saudara sendiri yang minta tolong.

Foto di atas mengambarkan bagaimana sibuknya tugas menjadi wakil rakyat. Pelbagai cadangan dan permohonan minta sokongan. Tak kira masa kenduri ketika sedang menyambut tetamu atau sedang tidur di rumah. Kami yang hampir dengannya sudah lama faham tugasnya itu. Dah tak kisah sangat.

Saya sendiri terpaksa berbuat begitu untuk membantu kawan-kawan yang minta tolong.

Ketika menghadiri kenduri kahwin anak kakak, saya juga membawa satu sampul surat besar. Di dalamnya ada empat jenis surat untuk meminta bantuan.
Dua surat meminta agar dipercepatkan pemergian ke Mekah untuk menunaikan Haji tahun ini. Dua lagi surat meminta sokongan untuk memohon kerja di salah satu agensi di bawah portfolionya.

Semuanya saya bantu dan berlagak seperti 'wakil kecil' kepadanya walaupun tidak diiktiraf. Sama ada dapat atau tidak hanya Allah yang menentukan.

Tapi saya sendiri jarang berbuat begitu untuk diri sendiri.

Pernah ketika saya mula mendapat kerja di stesen TV dulu, emak memberitahu saya ada ibu saudara datang minta tolong abang carikan kerja untuk anaknya. Anaknya itu baru balik dari luar negara.

Ibu saudara itu kata adik beradik semua senang dapat kerja. Tapi emak cakap, "Semua tu mereka (adik-beradik) cari sendiri dan tidak mintak tolong abangnya carikan."

Dan saya masih ingat abang pernah tolong saya dalam soal pekerjaan, bukan untuk cari kerja tapi untuk berhenti kerja.

Saya berhenti askar kerana pertolongan abang yang meminta bantuan daripada Menteri Pertahanan. Dan akhirnya tiada bayaran ganti rugi dikenakan kerana ketika itu untuk berhenti perkhidmatan tidak mudah, tambahan baru setahun jagung dalam perkhidmatan dan tidak sempurna.

Tahun lalu ada satu lagi peristiwa yang tidak boleh saya lupa. Kami adik beradik bercadang untuk menunaikan umrah beramai-ramai bersama emak serta bapak. Semua urusan telah diatur, cuma saya seorang yang tidak pasti.

Saya terikat dengan tugas di pejabat. Lebih-lebih lagi saya turut terlibat dalam urusan untuk mewujudkan jabatan berita di stesen TV baru. Perkara itu saya sampaikan kepada abang yang beriya-iya untuk bersama-sama kami dan emak bapak di Mekah.

Saya terperanjat apabila bos saya memberitahu bahawa abang telah memaklumkan hasrat saya untuk pergi umrah dan memerlukan cuti panjang kepada COO. Abang menyatakan perkara itu selepas menjadi tetamu pada satu rancangan bual pagi di studio stesen TV berkenaan.

Dan akhirnya saya mendapat cuti itu. Namun kerana emak tidak sihat dan jatuh sakit hasrat kami untuk pergi bersama ke Mekah tergendala. Semua itu kerja Allah.

Tapi saya masih bersyukur kerana dapat pergi ke Mekah bersama-sama emak dan bapak lebih 10 tahun lalu, dan mengikuti rombongan umrah bersama rakan-rakan sekerja beberapa tahun lalu.

DURI DALAM DAGING SUDAH TERKELUAR

KUALA LUMPUR 19 Mei _ Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO bererti ‘duri dalam daging sudah terkeluar’.

Walaupun mengakui sedih dan berdukacita dengan tindakan Dr. Mahathir itu, tetapi katanya, ia memberikan peluang kepada pucuk pimpinan memperkukuhkan kembali parti.“Saya berasa sedih dan dukacita mendengar berita Dr. Mahathir keluar daripada UMNO, lebih lagi dalam waktu UMNO menghadapi keadaan yang sangat-sangat mencabar sekarang.

“Bagaimanapun, ahli-ahli UMNO harus menerimanya dengan hati terbuka dan tenang,tentu ada hikmahnya di sini, duri dalam daging sudah terkeluar,” katanya.Beliau berkata demikian melalui satu sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Musa Hitam menambah, kini pucuk pimpinan harus menumpukan usaha mereka kepada dua perkara.Perkara pertama, jelas beliau ialah menerima realiti bahawa UMNO sekarang bukan lagi sekuat atau diterima sepenuhnya oleh rakyat terutama Melayu.

“Kedua, menerima realiti bahawa konsep ‘Mahathirisme’ sudah berlalu dan UMNO haruslah balik kepada konsep ‘bersih, cekap, amanah’ yang pada awal tahun 80-an dulu diterima dengan begitu positif oleh rakyat jelata.“Tetapi dalam jangka pendek kita semua dalam UMNO telah kesesatan jalan,” katanya.
- Utusan Online.

MAHATHIR KELUAR UMNO

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini hari ini.

Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.
(Petikan BERNAMA)
(Tak masuk UMNO balikpun tak apa!)

KAKAK BERTERIMA KASIH MAJLIS KAHWIN ANAK SEMPURNA


Kakak Mahah dan abang Wahab berterima kasih kepada semua adik-beradik kerana komitmen tinggi sehingga majlis perkahwinan anak perempuan mereka selesai dengan jayanya.


Mereka berdua juga berterima kasih kepada saudara-mara dan sahabat handai yang hadir. Meriah dan memuaskan. Menurut Kak Mahah lebih 90 peratus yang dijemput hadir.

Selepas ini anak-anak buah yang lain mugkin memakan masa diantara 4-5 tahun lagi untuk berkahwin. Masing-masing yang paling tua berumur sekitar 20 tahun dan lelaki pula. Mereka yang perempuan kecik-kecik lagi, masih belajar.


Kini kami adik-beradik baru mempunyai empat orang menantu, abang Zahid dua dan Kak Mahah dua. Cicit emak dan bapak kini baru ada lima orang. Dan Kak Long (anak abang Zahid) akan mendapat seorang lagi anak Jun ini, untuk melengkapkan angka enam.

Selepas ini mungkin kami adik-beradik akan mengadakan kenduri kahwin sekurang-kurangnya 30 kali kerana cucu emak dan bapak sudah berjumlah lebih daripada itu.

Semuga Izzat dan Mokhzani kekal bahagia sepanjang hayat.

Saturday, May 17, 2008

ADIK-BERADIK BERKUMPUL DI TANJUNG MALIM

Hari ini semua adik-beradik berkumpul di Tanjung Malam. Kami menyewa sebuah hotel dengan 25 buah bilik. Walaupun bertaraf 3 bintang, kemudahan WiFinya mengkagumkan.

Kami berkumpul sejak jam 10 pagi tadi di rumah kakak, yang dimulakan dengan majlis angkat nikah anak perempuannya. Rombongan penganti lelaki dari Ampang tiba awal dari yang dijadualkan. Saya antara adik-beradik yang tiba awal, beberapa minit sebelum pengantin lelaki tiba.

Selepas majlis angkat nikah kami enam beradik yang tinggal di Kuala Lumpur beserta keluarga masing-masing 'check-in' di hotel berkenaan.

Seperti biasa sayalah yang mendapat banyak bilik. Tiga bilik untuk lapan isi rumah. Yang lain-lain tu ada yang dapat satu dan dua bilik mengikut kapasiti yang dibawa.

Malam ini majlis khatam Quran diadakan selepas solat Isya. Tiga anak perempuan saya menyertai majlis itu.

Sementara menunggu malam, pelbagai aktiviti bebas dilakukan. Yang perempuan rupanya mengambil kesempatan "shopping" di Jackel Riamoda di pekan Tanjung Malim.

Gedung itu dikatakan menawarkan potongan harga murah sempena promosi hebatnya. Namun mereka mendapat harga lebih istimewa selepas abang Zahid menghubungi taukehnya yang juga rakannya di Kuala Lumpur.

Yang lelaki pula pergi ke kolam ternakan ikan tidak jauh dari Proton City. Ikan "fresh" itu dikatakan untuk lauk tambahan dan "special" untuk malam ini.

Sebahagian pula melelapkan mata dalam bilik hotel. Anak-anak saya ada diantaranya asyik berdepan laptop yang dibawa.

Esok masing-masing berbaju melayu coklat sebagai warna tema pihak perempuan. Majlis perkahwinan berlangsung di sebuah dewan bersebelahan Universiti Perguruan Sultan Idris, dekat pekan Tanjung Malim.

Biasanya pada majlis-majlis begini sahaja kami adik-beradik dapat berkumpul. Sahabat handai, rakan tolan dari jauh dan dekat pasti akan turut hadir.

Wednesday, May 14, 2008

GOUT MENYUKARKAN PERGERAKAN

Hari ini terpaksa memerap di rumah, dapat MC kerana diserang GOUT, penyakit disebabkan lebihan urik asid (uric acid) dalam badan.

Semalam terpaksa berjalan bertatih di tempat kerja dan menerima suntikan daripada Dr Rohaya Ramli. Lega sedikit sesampainya di rumah malam tadi, tetapi memuncak sakitnya pagi ini. Tak tau kenapa? Mungkin malam tadi makanan yang dijamah mengandungi bahan yang meningkatkan kandungan urik asid.

Lupakan kerja di pejabat dan teruskan dengan pemakanan ubat yang diberikan oleh doktor.

Setahu saya, ini kali keempat saya mengalami GOUT yang amat sangat. Sebelum ini sehari sebelum hari raya, saya diserang GOUT ketika memandu kereta pulang dari menjaga emak di hospital. Dan menjelang tengahari kaki saya tidak dapat memijak.

Selepas berjumpa doktor, terpaksa berbaring di sofa sambil menganyam ketupat. Doktor melarang berpuasa kerana perlu mengambil ubat (colchicine) setiap jam bagi meredakan bengkak dan sakit.

Alhamdullilah, menjelang Isyak saya boleh berjalan dan menunaikan jemputan bertakbir di rumah seorang kawan. Dan boleh sembahyang raya keesokannya.

Ketika memberitahu kepada COO semalam mengenai sakit yang saya alami, beliau secara bergurau berkata, "tulah banyak sangat tulis dalam blog". Kata-kata itu mungkin dirujuk kepada kemunculan saya dalam rancangan HUJAH. Tapi saya jawap, "ala, nak tulis seminggu sekalipun susah.'

GOUT dikaitkan dengan pembengkakan tulang dan ligamen dalam sendi-sendi yang menyebabkan pembentukan asid urik kristal. Penyakit ini dikatakan kerana pengambilan terlalu banyak daging, garam dan kurang mengambil bahan mentah serta memakan makanan pengaktif enzim.

Tanda-tanda awal GOUT adalah bengkak serta sakit secara tiba-tiba di jari kaki dan sendi. Sendi akan mengalami kesakitan secara tiba-tiba dan akan menjadi merah dan lembut. Terdapat sedikit demam dan berpeluh. Bahagian yang sakit tidak boleh disentuh dan menyukarkan pergerakkan.

GOUT dikatakan penyakit keturunan (genetik) dan tiada pemakanan seimbang. Ini diakui kerana bapa, abang dan adik-adik juga pernah dan mengalami penyakit yang sama. Seorang abang pernah dipapah dan disorong dengan kerusi roda ketika melawat Libya. Manakala bapa masih lagi terus menerus mengalaminya dan sentiasa berbekalkan ubat GOUT kemana sahaja beliau pergi.

Dianggarkan nisbah 97 lelaki kepada 3 wanita mengalaminya. Pesakit biasanya lebih daripada 45 tahun, gemuk, makanan berlebihan dan tidak bersenam.

......tak boleh nak teruskan.....macam nak muntah dan pitam! (kesan pengambilan colchicine).

MP PUCHONG (DAP) TIDAK REALISTIK

Pandangan ini dipetik daripada wiramalaysia

oleh : PMJ
MP Puchong dalam hujahnya hanya ingin meniupkan sentimen perkauman dan agama. Kononnya memperjuangkan hak masyarakat India supaya beliau boleh berbangga kepada warga di Puchong. Beliau hanya melepaskan batuk di tangga dan tidak lebih dari itu.

Beliau cuba memutar belitkan keadaan dengan menceritakan perkara yang sudah diketahui oleh semua masyarakat India dan tiada apa pun perkara baru untuk mereka. MP Puchong mengatakan bahawa BN tidak membawa apa-apa pembangunan dan hanya membawa 'angin'. Negara di bawah BN akan musnah.

Sedarkah MP Puchong apa yang diperkatakan? Beliau seolah-olah berada di dunia lain semasa berucap. Beliau tidak tahukah bahawa Dewan yang moden dan cantik inipun dibangunkan oleh Kerajaan BN supaya MP Puchong dapat berhujah dengan selesa.

Banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh diutarakan untuk pengetahuan MP Puchong yang saya anggap perlu membuat penyelidikan sebelum masuk dewan.Beliau mengambil kesempatan menyentuh bahawa kedudukan MCA dan MIC tidak kuat.

Beliau juga menuduh nasib masyarakat India sekarang adalah kerana kesilapan MIC. MP Puchong masih tidak faham senario politik Malaysia. Beliau perlu tahu bahawa kejayaan negara sekarang adalah hasil kuat Barisan Nasional yang terdiri dari UMNO, MIC dan MCA iaitu pakatan yang diasaskan oleh BN.

Beliau perlu peka bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai undang-undang dan mana-mana pihak yang cuba mencabuli undang-undang terpaksa lah menghadapi akibatnya. Tidak seorang pun yang bebas daripada tindakan undang-undang di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Tuesday, May 13, 2008

DING DONG......!

Masih pening kepala. Belum ada yang secara ikhlas dapat membantu. Semalam sepatutnya seorang Penerbit melapor diri tetapi masih tersangkut dengan tugasan di tempat lama.

Perbincangan dengan bosnya ada sedikit kompromi. Boleh jenguk-jenguk dahulu sistem kerja di tempat baru dan dalam masa yang sama boleh meneruskan tugasan di tempat lama sehingga 15 haribulan ini.

Tapi sebelum ada kompromi saya mengajak bos Penerbit itu berbincang. Apa kata dia? "Dah ambik baru nak bincang". Saya kata pulak, "Ala macam nak beli pemain bola, bincang dulu dengan pemain baru jumpa Pengurus Kelab". Biase ler tu...

Dengan adanya Penerbit itu, lega sikit kepala. Namun masih belum ada yang mengisi kekosongan di kerusi kedua.

Sabtu dan Ahad ini kakak nak kahwinkan anaknya. Adik beradik akan berkumpul di rumahnya dari pagi sabtu. Mampukah aku bersama mereka?

Perlu ada kehidupan jugak!

Friday, May 9, 2008

ANDA MAHU JADI NOVELIS?

Anda bercita-cita hendak menulis novel tetapi tidak tahu caranya, bagaimana mahu bermula?

Tidaklah susah sangat. Anda boleh melakukannya jika benar-benar berminat.
Jangan lepaskan peluang mendapat ilmu ini.

Kursus penulisan anjuran Jendelaku Dot Com.
Siapkan novel dalam masa 2 minggu saja.

Dapatkan petuanya dari novelis Kusyi Hirdan (www.jendelaku.com).

Daftar segera kerana tempat yang terhad.
Hubungi 016 274 6250

Yuran : RM80 sahaja
Kertas kerja dan makanan disediakan

Lokasi: Desa Pandan
Tarikh: setiap Sabtu & Ahad
Jadual: 10 pagi - 5 petang

Wednesday, May 7, 2008

JADI BIDAN TERJUN MEMPERKATAKAN MENGENAI BLOG

Walaupun sudah lebih 20 tahun berada dalam bidang penyiaran dan biasa dengan program TV secara 'LIVE' mahupun rakaman, hari ini adalah pengalaman pertama saya menjadi panel sebuah rancangan TV iaitu "HUJAH".

Rancangan "HUJAH' adalah sebuah rancangan bualbicara yang diterbitkan oleh Bahagian Ehwal Semasa TV3 untuk disiarkan di TV9. Rakamannya diadakan pada jam 3 petang setiap hari selasa dan disiarkan pada hari yang sama jam 9:30 malam.

Minggu ini topik perbincangan berkisar mengenai medium baru komunikasi iaitu blog. Oleh kerana isu mengenai blog kini semakin hangat, maka pelbagai pihak menggunakan topik itu sebagai tajuk perbincangan. Selain media cetak, stesen penyiaran termasuk RTM sudah mengadakan ruang untuk membicarakan isu itu.

Minggu ini "HUJAH" memanggil Dr Abu Hassan Hasbullah tokoh blogger yang begitu prolifik di negara ini, di samping menampilkan pengantaranya Dr Aziz Bari. Awal minggu ini saya dihubungi oleh Penerbit Eksekutif rancangan itu, saudara Azri Atan untuk mendapatkan seorang lagi panel.

Daripada pelbagai nama yang begitu aktif sebagai blogger, saya memberikan nama pengendali blog "Dunia Tiger" iaitu Datuk Ibrahim Yahaya (Tiger) sebagai seorang lagi panel.

Datuk Ibrahim bersetuju untuk datang ke studio A di Sri Pentas untuk rakaman. Malangnya kurang dua jam sebelum rakaman dijalankan Azri menghubungi saya menyatakan Datuk Ibrahim tidak dapat hadir kerana ada pertemuan mengejut dengan Menteri Penerangan. Beliau meminta saya mencari pengganti atau saya sendiri menjadi panel mengantikan Datuk Ibrahim.

Aduh....bagaimana boleh jadi begini?

Saya lantas memberi beberapa nama lagi, antaranya Zukri Valentino (bekas Setiausaha Akhbar Menteri Penerangan) dan Syed Imran Al-Sagof (KudaRanggi). Namun siapalah yang sanggup datang untuk tempoh sesingkat itu walaupun ramai yang minat untuk menyertai rancangan itu.

Akhirnya tiada pilihan, saya diminta menjadi 'bidan terjun'.

Saya masih menolak dan sebagai syarat terakhir saya meminta Penerbitnya mendapatkan 'clearance' daripada Pengarah Kumpulan Berita & Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Kamarulzaman Zainal.

Rupa-rupanya 'acah-acah' saya kepada Penerbit itu tidak dapat menghalang saya untuk terus menjadi panel "HUJAH" setelah Datuk "K" memberikan lampu hijau.

Dan inilah yang dikatakan, "jadikan masalah sebagai satu peluang". Selepas rancangan itu ke udara, bermacam-macam panggilan dan sms daripada rakan-rakan lama yang saya terima, termasuk komen daripada 'grey' di blog ini.

Sesungguhnya pengalaman ini mengingatkan saya pada suatu ketika dahulu bahawa saya pernah menjadi bidan terjun mengantikan Mahathir Lokman (sekarang Datuk) pada lintas langsung di dataran bandaraya Johor Baharu.

Di sebalik menjadi Penolong Penerbit, wartawan lokasi dan 'Floor Manager' pada lintas langsung itu, saya terpaksa juga jadi 'anchor' menggantikan Datuk Mahathir Lokman. Pada ketika itu, beliau lebih menumpukan kepada pengacaraan majlis di dataran itu, semata-mata kerana pulangan yang lumayan daripada pihak penganjur malam Pengisytiharan Johor Baharu sebagai Bandaraya.

Tuesday, May 6, 2008

LEKLOOK DI HUJAH TV9

Dr Abu Hassan Hasbullah


Sila tontoni rancangan bual bicara 'HUJAH' di TV9 jam 9 malam ini. Isunya, membicarakan 'blog' dengan pakar blog Dr Abu Hassan Hasbullah dari Zentrum Future Studies Malaysia bersama leklook dengan Pengantaranya, Dr Aziz Bari dari UIAM.

Leklook menjadi 'bidan terjun' menggantikan Datuk Ibrahim Yahaya (Dunia Tiger) yang secara mengejut dipanggil berjumpa dengan Menteri Penerangan.

Sunday, May 4, 2008

SEKADAR LUAHAN

Menjelang pemilihan UMNO Disember ini maka ramailah pencacai politik muncul. Mereka bukan sahaja bertindak di luar tatasusila Melayu, tetapi melepasi batas peri-kemanusiaan.

Seiring dengan tindakan dan matlamat yang menghalalkan cara, maka muncullah pelbagai bahan propaganda di pasaran. Sama ada maklumat yang disebarkan itu benar atau bohong, itu sudah tidak menjadi soal. Dendam kesumat perlu diteruskan.

Biarlah bermodal besar dan pengedaran bahan dibuat secara percuma. Yang penting mangsa dapat ditelanjangkan, walaupun badan mangsa tidak mempunyai kurap dan nanah dosa. Kurap dan nanah bukankah boleh diada-adakan?. Dan sudah sememangnya itukan kerja Si-Kitul durjana?.

Tetapi itukah perjuangan bangsa yang hendak dibina. Perjuangan yang lebih bersifat peribadi dan dengki hati.

Tak habis-habis menyusahkan orang. Tak habis-habis mahu memporak-perandakan keharmonian hidup orang. Jawatan yang mangsa dapat pun bukanlah datang menggolek sepertimana orang lain, tetapi melalui kesengsaraan politik yang lama.

ZAHID ACCUSED KU LI

KUALA LUMPUR, SUN:
Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Zahid Hamidi accused Umno veteran Tengku Razaleigh Hamzah of taking advantage of the party’s hard-pressed situation by calling for an extraordinary general meeting.


Zahid, however, said the party should hold a convention for divisional representatives to meet and air their differences regarding the current state of the party.

He said there were many differences of opinion at present.”Having different opinions is fine according to Islam. However, there must be a point where people can agree.

Don’t just make your own way,” he said.Zahid said much of the disagreement was tainted with emotion.”Please reduce the emotion and increase the factual content that you put forward in your arguments,” he said.

Zahid said the notion that Umno was “falling apart” was misconceived.The misconception came about because big names, like former Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamed, were attacking the party leadership.

He said Dr Mahathir should respect the current leaders and office-holders.”When he was PM, he didn’t like people making comments about him,” Zahid said.Zahid said calls made by people like Pahang’s Paya Besar Umno division chief Ahmad Tajudin Sulaiman, who said that the entire supreme council should resign, did not make sense.”That’s a personal opinion.

He’s probably frustrated that he wasn’t chosen to contest in Paya Besar,” he said.”Asking people to resign won’t solve the problem,” Zahid said.
Source :NST

Thursday, May 1, 2008

TERJUMPA FOTO DENGAN SULTAN

Belek-membelek foto lama dalam handphone pagi ini terpandang saya dengan satu foto. Foto saya berbual dengan DYMM Sultan Selangor.

Sultan Idris Shah simple dan berjiwa rakyat. Saya diperkenalkan kepada baginda oleh sahabat saya yang juga ADC Sultan, Komander Ramly. Ketika berkenalan dengan baginda, Sultan Selangor seperti rakyat biasa sahaja dan membalas perkenalan dengan memperkenalkan anak baginda, DYTM Raja Muda Selangor.

"Ini anak saya," titah Sultan sambil memperkenalkan Raja Muda kepada saya. Lalu saya berjabat tangan dengan Raja Muda yang memang masih muda.