Friday, August 31, 2007


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Tuesday, August 28, 2007

MAHU CARI KERJA DI UAE?

Dubai adalah salah satu kota ekspatriat yang terus memerlukan lebih ramai tenaga kerja sama ada profesional atau bukan profesional dari luar.Tahun 2006 sahaja, seramai lebih 200,000 ekspatriat baru dan 90% dari penduduk adalah ekspatriat terutama dari asia selatan dan eropah.

Sebuah laman dan blog telah diusahakan oleh rakyat Malaysia di negara itu untuk menyiarkan iklan-iklan kerja kosong dari pelbagai sumber untuk mereka yang berminat. Di samping menjawab apa-apa persoalan yang boleh dijawab mengenai peluang pekerjaan dan yang berkaitan dengan iklim pekerjaan.

Dikatakan sudah ada melebihi dua ribu tenaga profesional Malaysia di UAE melitupi pelbagai sektor, terutama penerbangan dan pembinaan. Jumlah ini terlalu kecil berbanding dengan ekspatriat negara lain, jadi kita perlu menambahkan bilangan ekspatriat Malaysia.

Malaysia masih lagi dihormati sebagai sebuah negara yang berjaya menghasilkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang.

Di bawah diperturunkan jemputan karnival kerjaya yang dianjurkan mereka di Malaysia. Rakan saya Fudzail yang sudah menetap di UAE dan kini bercuti sebulan di Malaysia mengirimkan email itu kepada saya.

Adalah dijemput kepada semua yang berminat untuk bersama www.malaysian-uae.com di bengkel 'Peluang-peluang Pekerjaan di UAE' sempena Karnival Kerjaya Kuala Lumpur anjuran JTKKL, Kementerian Sumber Manusia
Tarikh : 2 September 2007
Masa : 11.00 pagi – 12.00 tengahari
Tempat : Dewan Besar, UTM Kampus City
Cawangan Kuala Lumpur

Saturday, August 25, 2007

KAKANG (1)

Perjalanan Anak Lanang sebagai ahli politik berliku-liku. Untuk mencapai kemuncak dalam karier tidak mudah dan amat berbeza jalannya dengan kawan lain.

Ada kawan Anak Lanang yang baru setahun jagung masuk politik sudah naik ke puncak. Tapi rapuh dan jatuh walaupun ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

Ada kawan Anak Lanang menikamnya dari belakang. Untuk mendapatkan tempat di barisan kepimpinan, kawan itu sangggup menipu, menggunakan wang dan memburukannya. Tapi orang macam ini dapat jugak jadi menteri pasal pandai guna ‘senjata’.

Anak Lanang walaupun dah jadi Ketua Sayap parti masih macam itu juga. Kawan-kawan seangkatan dah jadi menteri kanan, dia masih jadi orang nombor dua di kementerian tak glamour, itupun kena kongsi jawatan.

Pemimpinnya mungkin terlepas pandang atau termakan nasihat mereka yang berkepentingan. Tapi ahli-ahli parti mungkin ada pertimbangan mereka sendiri dan terus memilih Anak Lanang menjadi sebahagian pemimpin mereka.

Apapun tugas dan tanggungjawab Anak Lanang untuk membela bangsa harus diteruskan. Walaupun satu ketika dulu pernah dibenamkan ke dalam lumpur oleh ketua sendiri kerana tidak sehaluan, namun itu tidak mematahkan semangatnya. Sekarang ketuanya semacam jilat ludah sendiri dan lumpur sudah terpalik ke mukanya.

Semasa dibenam dalam lumpur dahulu tiada siapa berani mendekatkan diri dengan Anak Lanang. Baru dia tahu siapa kawan dan siapa lawan, yang tinggal bersama-samanya hanyalah keluarga dan adik-beradik. Kerana hakikatnya semut hanya sukakan gula.

Pernah Anak Lanang putus harapan dan tidak mahu meneruskan perjuangan. Tetapi akhirnya akur dengan liku-liku perjuangan yang perlu ditempuh.

ADAKAH TUDUHAN DR. MAHATHIR TIDAK JEJASKAN UMNO

Pada tahun 1998, Ketua Pemuda UMNO Malaysia ketika itu, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah mengkritik kepimpinan Dr Mahathir dalam isu nepotism dan kronism termasuk menggunakan wang Petronas untuk menyelamatkan Konsortium Perkapalan yang dimiliki oleh Datuk Mirzan Mahathir.

Bukankah hampir dua jam semasa penggulungan Ucapan Dasar Presiden, Dr Mahathir menggunakan kesempatan itu untuk membelasah Zahid atas alasan beliau telah mencemar nama baik parti.

Saya berani cakap hal ini kerana saya pernah jadi Setiausaha Akhbar kepada Datuk Zahid masa beliau Ketua Pemuda UMNO Malaysia.


Jangan pula nanti ditambah fitnah kata saya dipecat oleh Datuk Zahid.Kalau saudara mahir tentang sejarah politik negara khususnya pada hujung tahun 1990 dan awal 2000 pasti sangkaan itu tak berbangkit.


Soalnya kenapa Zahid dikatakan menggugat parti kerana mengkritik Dr Mahathir tetapi bila Dr Mahathir membelasah kepimpinan hari ini, ia tidak dikira menjejaskan nama baik UMNO.


Apakah tidak menjejaskan UMNO apabila Dr. Mahathir menuduh UMNO akan membeli undi untuk menang dalam pilihan raya.


Untuk mengikuti tulisan Hanafiah Man sepenuhnya, sila klik AgendaDaily.

Thursday, August 23, 2007

REUNION REGULAR 21 ON

Assalamualaikum Sdr Lokman,

Maaf lama saya tak layari laman blog sdr ni. Sebenarnya saya tak sihat & dalam medication. Ni baru lega sikit.

Kita nak organise reunion ni pun tak tau macamana. Tempat dah okay cuma saya nak organise catering je. Setakat ni saya tak tau berapa ramai yg nak dtg. Kalau tak ada sambutan kita minum kat kedai mamak je la. Anyway saya harap tuan/puan dapat sahkan kehadiran.Sekian, terima kasih.

August 21, 2007 12:01 AM


Itu komen Mejar (B) Fauzi Abdullah salah seorang penganjur reunion Regular 21. Tetapi setahu saya ramai skot yang sudah tahu mengenai penganjuran majlis pada 2 September itu. Mungkin kita kena 're-confirm' melalui telefon kerana tidak semua daripada kita yang senang untuk membuka email.

Semalam Kol Fadzelette ada memberitahu majlis di Mess Pegawai Jurutera Pakar (dekat Tugu negara) itu 'on' dan dia telah meminta PAnya menghubungi skot-skot dalam ATM. Manakala Kol Masranipun begitu agresif mewar-warkan majlis itu.

InsyaAllah kita dapat bertemu di majlis reunion itu.

Wednesday, August 22, 2007

JADI WARGA KAMPUNG BARU


(Antara rumah tradisi yang dijadikan restoran)

(Pintu utama Masjik Jamek Kg Baru)

Sejak emak dan bapak menerima rawatan di Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), hospital ini telah menjadi rumah kedua kami. Masyarakat pekedai dan jemaah Masjid Jamek Kampung Baru pula sudah menjadi seperti masyarakat kampung saya di Bagan Datoh.

Kedudukan KBMC yang berhadapan pintu besar Masjid Jamek menyenangkan waris pesakit, pekerja hospital dan doktor-doktor menyertai jemaah setiap kali waktu solat tiba.

Saya yang sering menemani emak dan bapak di KBMC seolah-olah berada berdekatan Masjid Nabi di Madinah atau Masjidil Haram di Makkah. Setiap kali azan berkumandang, berduyun-duyun mereka menuju masjid meninggalkan pekerjaan masing-masing.


Kampung Baru adalah satu-satunya kampung tradisi Melayu yang berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1920-an oleh kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan negeri Selangor, iaitu semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur dari sebuah kampung lombong timah kepada sebuah bandar utama.

Hari ini, Kampung Baru menjadi sebuah kampung Melayu moden. Beberapa rumah berkayu telah ditukar kepada rumah batu-bata. Namun, masih ada lagi beberapa rumah tradisi yang kekal.

Banyak rumah sudah ditukar menjadi kedai-kedai dan restoran. Laman-laman rumah pula menjadi kunjungan pelanggan untuk menikmati pelbagai juadah.

Rumah banglo pusaka keluarga Mohsin Abdullah (Ketua Editor NTV7) yang berada berhampiran masjid yang biasa saya kunjungi ketika zaman reformasi dulu, kini juga sudah bertukar wajah. Di lamannya kini terdapat sebuah replika kapal yang digunakan sebagai dapur dan kaunter bayaran sebuah restoran masakan barat.

Restoran-restoran baru bagaikan cendawan tumbuh, antaranya Restoran Wong Solo, yang mempunyai lebih 40 rangkaiannya di Indonesia.

Selain itu terdapat Kafe Roti Arab Baladi milik ‘orang Perlis’ yang sekali rasa hendak lagi. Di seberang jalan bertentangan dengan mimbar masjid terdapat Restoran masakan Minang kepunyaan anak saudara tukang jahit dan pelakon Den Wahab. Restoran terbuka masakan Siam, Tom Yam 3000 juga baru dibuka berhadapan Kafe Roti Arab.

Bagi mereka yang menemani saudara-mara yang sakit di KBMC, lupakan sajelah untuk mengamalkan ‘diet’.

Monday, August 20, 2007

TATU ANTARABANGGSA DI KL


Stadium Merdeka bakal mencatat sejarah dengan penganjuran pertunjukan Tatu Antarabangsa KL 2007.

Ia julung kali diadakan dengan menghimpunkan 13 pasukan angkatan tentera dan pertahanan dari dalam dan luar negara yang bermula dari 7 hingga 9 September ini.

Tiket-tiket berharga RM5 dan RM10 mula dijual sejak 1 Ogos lalu. Sila layari Pautan Angkatan Tentera Malaysia di bawah atau laman ini.

Sunday, August 19, 2007

ANTARA AZIZAH ARIFFIN DAN HARAKAH

AZIZAH ARIFFIN
Malam ini saya mendapat dua undangan untuk jamuan malam. Undangan pertama daripada bekas Penolong Penerbit saya yang juga selebriti TV3, Azizah Ariffin. Dia akan mengadakan majlis persandingan dengan jejaka pilihan hatinya di Hotel Concorde, Shah Alam.

Majlis angkat nikah telah diadakan semalam di kediaman Azizah di Bandar Utama. Ini adalah perkahwinan kedua Azizah dan yang pertama bagi pasangannya. Walaupun suaminya 10 tahun lebih muda daripadanya, itu tidak menjadi masalah untuk hidup bahagia.

Seperti bekas suami Azizah yang hanya saya panggil sebagai Rizal, suami Azizah yang inipun bekerja di Sri Pentas. Namun saya tidak berapa mengenali beliau.

HARAKAH
Jemputan kedua daripada akhbar Harakah yang saya terima melalui sms daripada saudara Mohsin Abdullah, Ketua Editor (Editor-In-chief) NTV7. Menurut mesej itu, jamuan akan diadakan di Season Hotel, Jalan Pahang Kuala Lumpur jam 8:30 malam.

Menurut mesej itu lagi, jemputan kepada saya adalah sebagai tetamu tetapi saya boleh menghantar wakil jika tidak dapat hadir. Harakah juga mahu supaya ada krew berita dihantar untuk membuat liputan.

Kini saya perlu membuat pilihan antara dua majlis itu. Kedua-dua majlis berkenaan ada nilaiannya tersendiri untuk saya hadiri.

Saturday, August 18, 2007

SERONOK BERKERETA KARAT KE TEMPAT KERJA

Saya memandu kereta Toyota Corolla GL yang berusia lebih 20 tahun hari ini untuk ke tempat kerja. Kereta milik kedai membaiki kereta itu dipinjamkan kepada saya kerana kereta saya memakan masa dua hari untuk disenggara.

Bukan usia kereta itu yang menjadi persoalan, tetapi keadaan kereta itu yang tercompang camping. Berkarat di luar dan seperti reban ayam di dalam. Tapi itulah hakikatnya kenderaan milik mekanik kereta.

Anak saya hampir tidak mahu ke sekolah pagi tadi, apabila saya mengusik untuk menghantar mereka ke sekolah menggunakan kereta itu. Tetapi tersenyum sinis apabila saya menukarkannya dengan kereta ibu mereka selepas itu.

Di tempat kerja, sesampainya saya di tempat letak kereta, seorang rakan menegur, “cantik kereta?”. Saya hanya mampu tersenyum dan mengulangi ungkapannya, “aha cantik!”.

Anak bungsu saya, Diyana pula tidak sabar-sabar menelefon saya untuk mengetahui reaksi rakan-rakan terhadap saya.

Pada saya memandu apa jenis kereta sekalipun tidak menjadi masalah. Saya sebenarnya ‘enjoy’ memandu kereta berkarat itu hari ini. Sekurang-kurangnya ia memberikan keinsafan kepada saya dan sebagai terapi terhadap keegoan diri. Mungkin boss-boss selepas ini boleh mencuba kereta itu dan lihatlah reaksi pemandu lain terhadap kita di jalan raya.

Tuesday, August 14, 2007

TERIMA KASIH DOAKAN EMAK

Tidak banyak perkara menjadi tumpuan saya sepanjang minggu ini melainkan kesihatan emak saya.

Malam tadi giliran saya sekali lagi menemani emak dan bapak di Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC). Dato Zahid mengambil giliran keduanya malam ini. Banyak program politik dan kementerian terpaksa dibatalkan kerana emak. Saya juga terpaksa bercuti lebih seminggu. Cuti tiga hari sejak Jumaat lalu untuk menghadiri kursus simulasi pilihan raya oleh UMNO bahagian terpaksa juga saya lupakan.

Ahad lalu semua adik-beradik panik. Kami diberitahu emak nazak. Saya yang baru tiba di rumah dari KBMC terpaksa berpatah balik ke Kampung Baru, begitu juga adik-beradik yang lain. Hari itu juga jemaah solat isya' di masjid Kampung Baru membacakan surah Yassin untuk emak. Dan berkat doa dan bacaan Yassin semua orang, emak kembali stabil.

Hari ini emak dibawa ke Dewan Pembedahan (OT) untuk ditebok lehernya (di bawah kerongkong) bagi membuat saluran pernafasan alternatif. Sejak 17 hari lalu KBMC sudah menjadi semacam rumah kami di kampung yang dikunjungi ramai saudara mara dan sahabat handai sehingga larut malam. Hari ini juga saya mendapat SMS daripada stringer TV9 Melaka (Raffi) meminta nama emak dan bapak untuk beliau membuat majlis bacaan Yassin.

Kepada mereka yang menziarahi emak dan bapak serta mendoakan kesejahteraan mereka diucapkan terima kasih. Semuga Allah membalas budi baik anda semua.

Friday, August 10, 2007

ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT

(Diperturunkan sekali lagi entry mengenai adab menziarahi orang sakit yang pernah saya siarkan April lalu untuk ingatan saya dan mereka yang menziarahi emak yang kini dirawat di KBMC)

Baginda Rasullulahah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: “Alangkah bagus engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah bersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!’ (Hadis diriwayatkan oleh at-Tarmizi)

Namun untuk menziarah orang sakit perlu juga mengikut adab-adabnya. Diperturunkan beberapa adab-adab sebagaimana dipetik daripada beberapa rujukan;

a) Jangan duduk terlalu lama ketika menziarahi pesakit kerana perbuatan itu mungkin mengganggu pesakit yang hendak rehat, disarankan dengan bersederhana. Kekerapan boleh dilakukan selang sehari jika keadaan pesakit itu baik. Sebagaimana puisi Ibn Duraid: "Ziarahi dari semasa ke semasa, kalau kerap dilakukan merimaskan, Hujan kalau selalu turun menjemukan, kalau terhenti tangan menadahkan harapan"

b) Hendaklah disentuh dan pegang tangannya serta letakkan tangan didahinya dan tanya tentang penyakit serta keadaannya sekarang.

c) Hendaklah kita doakan agar cepat sembuh dengan menyebut: Semoga Allah menyembuhkan ....( sebut namanya).

d) Doakan dan ceritakan tentang kelebihan sakit yang dialami oleh para sahabat, Rasul, Nabi dan juga orang beriman supaya pesakit itu tidak merasa resah gelisah terhadap kesakitan yang dialaminya.

e) Berikanlah nasihat-nasihat yang baik. Serta ucapkan perkataan 'sabarlah sakit ini adalah satu ujian Allah dan cubaan semata-mata di atas ketakwaan seseorang terhadap Allah kerana sakit ini juga seseorang memperolehi ganjaran pahala yang banyak'.

f) Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya. Sekiranya kita makan makanan tersebut, hilanglah pahala ibadat ziarah itu.

g) Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud:"Ya Allah hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah. Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dari Mu jua sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit" . (At-Tarmizi)

h) Disunatkan orang yang menziarahi pesakit berdiri di sebelah kepala pesakit.

i) Mengingatkan pesakit tentang syahadah jika ia sedang nazak.

Tuesday, August 7, 2007

KOL REZIL KAHWINKAN ANAK


PRA PERJUMPAAN REGULAR 21

Skot Regular 21, Kol Rezil (Risik) akan menerima menantu bulan ini. Tengahari tadi beliau menghubungi saya untuk mewakilkan saya menjemput skot-skot Regular 21 di seluruh negara datang pada majlis perkahwinan anaknya seperti berikut;

Tarikh : 19 Ogos, 2007

Masa : 1100 - 1600 hrs

Alamat : No 29, Jalan CP 1, Taman Cheng Perdana, 75250 Melaka.

Selain majlis perkahwinan, Kol Rezil mahu majlis itu sebagai pra-perjumpaan skot sebelum 'reunion' pada 2 September ini di Mes Pegawai Jurutera Pakar (dekat Tugu Negara).

Antara yang mengesahkan akan hadir di Taman Cheng Perdana, Kolonel Ismet, Kolonel Ridzuan, Lt Kol Md Din dan ramai lagi.

EMAK DI ICU

Petang semalam selepas dihantar ke Hospital Sentosa untuk rawatan lanjutan, emak kini ditempatkan di Wad Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), bilik 205.

Hanya dua orang dibenarkan melawat untuk satu-satu masa. Laporan perubatan menyatakan tiada pendarahan pada kepala emak. Namun emak masih seperti itu juga, tidak boleh bercakap dan hanya sesekali membuka mata. Tangan dan kaki sebelah kiri masih aktif dan perlu diikat di sisi katil.

Kami masih terus mendoakan semuga emak sihat.

* Bapa yang menemani emak turut menerima rawatan di bilik 304.

Saturday, August 4, 2007

TAHNIAH NURUL, SEMUGA BAHAGIA

Menjadi saksi nikah bukanlah pertama kali buat saya. Tetapi menjadi saksi nikah yang ditunggu oleh mereka yang hadir terutamanya oleh Juru Nikah dan pengantin adalah pengalaman baru buat saya.

Bukan kerana tidak peka dengan masa, tetapi saya perlu menunaikan kewajipan kepada Allah dulu di tepi tiang dalam masjid Putrajaya, berhampiran tempat majlis angkat nikah diadakan (sementara menunggu persiapan tempat nikah diatur).


Ada empat jemaah bersama saya di tepi tiang itu termasuk Pak Sheikh taukeh Restoran Wong Solo Ampang dan Kampung Baru. Mungkin mereka yang lain yang hadir sudah menunaikan tanggungjawap itu bersama jemaah masjid atau menangguhkannya selepas majlis selesai.

Walaupun kami dalam kesedihan dengan keadaan emak di hospital, majlis angkat nikah anak saudara saya, NurulHidayah bersama pasangannya Syed Alman berjalan lancar dengan sekali lafaz. Alhamdulillah semuga Nurul dan Alman bahagia.

Namun yang lebih menjadi kenangan malam tadi ialah cenderahati sumbangan pengantin. Ia bukan bunga telur atau kotak gula-gula yang disertakan dengan bunga rampai, tetapi naskah ‘Majmu Syarif Kamil’. Buku agama saiz kecil dan berkulit tebal yang mengandungi pelbagai panduan agama termasuk surah Yasin, ayat dan surah terpilih, doa dan zikir serta hadiah Nabi Khidhir a.s.

Buku itu diterbitkan di Bandung dan saya kira Nurul membelinya dari sana. Ia amat praktikal dijadikan cenderahati untuk majlis-majlis seumpama itu dan lebih bermanfaat daripada bunga telur dan bunga rampai.

Syabas Nurul!


Bacaan Hadiah Nabi Khidhir a.s.

Baca surah al-Fathihah 7 kali.
Baca surah an-Nas 7 kali.
Baca surah al-Falaq 7 kali.
Baca surah al-Ikhlas 7 kali.
Baca surah al-Kafirun 7 kali
Baca ayat kursi 7 kali
Dan Baca tasbih, shalawat, istigfar dan doa terpilih 7 kali.

Friday, August 3, 2007

PENDERMA HATI DILUPAKAN

Semalam saya dapat panggilan daripada ADC Kebawah DYMM Sultan Selangor, Komander Ramli Kadri. "Orang kampung" saya ni adalah anggota kumpulan yang terjun di Khutub Utara dulu, dan bekas pegawai PASKAL (komando Navy). Beliau selalu menelefon saya sembang-sembang atau bila Shah Alam dan TTDI Jaya kena banjir kilat. Menyumpah habis dia, bila rumahnya asyik-asyik digenangi air!

Tapi panggilannya kali ini kerana beliau mendapat surat daripada seorang penderma hati yang telah dilupakan masyarakat. Penderma itu mengirimkan surat yang mengandungi rintihannya kepada Sultan Selangor, melalui setiausaha sulit sultan.

Penderma itu hilang pekerjaan dan hidupnya sempit selepas menjalani pembedahan pada hatinya. Surat itu difaks Komander Ramli kepada saya untuk saya hayati isi kandungannya. Beliau mahu saya lakukan sesuatu supaya masyarakat dapat membuka mata. Malangnya saya belum berkesempatan membaca sepenuhnya isi kandungan surat itu. Namun selepas membaca helaian pertama, hati saya agak tersentuh.

InsyaAllah selepas membaca sepenuhnya kandungan semua tiga helai surat itu nanti, saya akan lakukan sesuatu.

Thursday, August 2, 2007

MENTERI BESAR DAN KETUA MENTERI TAK SIBUK

Semalam Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dilarang memegang sebarang jawatan dalam persatuan sukan. Alasannya kerana mereka sibuk dan tidak mahu mengganggu tugas yang sedia ada.

Tapi Menteri Besar dan Ketua Menteri terkecuali.

Menteri Besar dan Ketua Menteri tak sibuk ke? Eeeehhhhh!

Wednesday, August 1, 2007

DOAKAN EMAK SIHAT


Hari ini sudah lima hari emak di hospital. Masih tidak bercakap sejak dibawa dari kampung sabtu lalu. Sebelum itu bapak beritahu emak tidak bercakap dan lemah sejak tiga hari, dan mahu anak-anak balik.

Kerana tiada siapa yang menjaganya (selain dua pembantu rumah Indonesia) kami adik-beradik sepakat membawanya ke Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC), hospital yang selalu emak dan bapak bertandang.

Setiap tiga bulan, sama ada emak atau bapak akan duduk di KBMC sekurang-kurangnya dua minggu. Staf di KBMC sehingga sudah hafal nombor bilik wad emak dan bapak berdua.

Tapi kali ini emak lain sikit. Ketika sampai di KBMC emak tidak mahu turun dari kereta saya, dan perlu dipujuk dan dibawakan katil bergerak ke tepi kereta. Semalam emak tarik balutan tangannya dan jarum yang melekat di kulitnya. Kami adik-beradik saban hari berkumpul di bilik 304 untuk menemani emak dan bapak yang sentiasa baring di katil di sebelahnya.

Doakan semuga emak cepat sembuh.

(Latest : Tadi jam 9:40 malam ketika saya menziarahi emak selepas habis "news" kedua-dua tangan emak diikat di tepi katil. Saya menjadi semakin sedih!)