Friday, August 10, 2007

ADAB MENZIARAHI ORANG SAKIT

(Diperturunkan sekali lagi entry mengenai adab menziarahi orang sakit yang pernah saya siarkan April lalu untuk ingatan saya dan mereka yang menziarahi emak yang kini dirawat di KBMC)

Baginda Rasullulahah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: “Alangkah bagus engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah bersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!’ (Hadis diriwayatkan oleh at-Tarmizi)

Namun untuk menziarah orang sakit perlu juga mengikut adab-adabnya. Diperturunkan beberapa adab-adab sebagaimana dipetik daripada beberapa rujukan;

a) Jangan duduk terlalu lama ketika menziarahi pesakit kerana perbuatan itu mungkin mengganggu pesakit yang hendak rehat, disarankan dengan bersederhana. Kekerapan boleh dilakukan selang sehari jika keadaan pesakit itu baik. Sebagaimana puisi Ibn Duraid: "Ziarahi dari semasa ke semasa, kalau kerap dilakukan merimaskan, Hujan kalau selalu turun menjemukan, kalau terhenti tangan menadahkan harapan"

b) Hendaklah disentuh dan pegang tangannya serta letakkan tangan didahinya dan tanya tentang penyakit serta keadaannya sekarang.

c) Hendaklah kita doakan agar cepat sembuh dengan menyebut: Semoga Allah menyembuhkan ....( sebut namanya).

d) Doakan dan ceritakan tentang kelebihan sakit yang dialami oleh para sahabat, Rasul, Nabi dan juga orang beriman supaya pesakit itu tidak merasa resah gelisah terhadap kesakitan yang dialaminya.

e) Berikanlah nasihat-nasihat yang baik. Serta ucapkan perkataan 'sabarlah sakit ini adalah satu ujian Allah dan cubaan semata-mata di atas ketakwaan seseorang terhadap Allah kerana sakit ini juga seseorang memperolehi ganjaran pahala yang banyak'.

f) Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya. Sekiranya kita makan makanan tersebut, hilanglah pahala ibadat ziarah itu.

g) Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud:"Ya Allah hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah. Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dari Mu jua sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit" . (At-Tarmizi)

h) Disunatkan orang yang menziarahi pesakit berdiri di sebelah kepala pesakit.

i) Mengingatkan pesakit tentang syahadah jika ia sedang nazak.

3 comments:

Suhana said...

Salam

Hendak minta izin ambil posting ini untuk dikongsi di web saya - www.jendelaku.com.

Terima kasih

Kusyi Hirdan

LEKLOOK said...

Silakan Kusyi untuk kebaikan semua.

Anonymous said...

salam, minta izin untuk dikongsi di blog saya. terima kasih.