Menjadi saksi nikah bukanlah pertama kali buat saya. Tetapi menjadi saksi nikah yang ditunggu oleh mereka yang hadir terutamanya oleh Juru Nikah dan pengantin adalah pengalaman baru buat saya.
Bukan kerana tidak peka dengan masa, tetapi saya perlu menunaikan kewajipan kepada Allah dulu di tepi tiang dalam masjid Putrajaya, berhampiran tempat majlis angkat nikah diadakan (sementara menunggu persiapan tempat nikah diatur).
Ada empat jemaah bersama saya di tepi tiang itu termasuk Pak Sheikh taukeh Restoran Wong Solo Ampang dan Kampung Baru. Mungkin mereka yang lain yang hadir sudah menunaikan tanggungjawap itu bersama jemaah masjid atau menangguhkannya selepas majlis selesai.
Walaupun kami dalam kesedihan dengan keadaan emak di hospital, majlis angkat nikah anak saudara saya, NurulHidayah bersama pasangannya Syed Alman berjalan lancar dengan sekali lafaz. Alhamdulillah semuga Nurul dan Alman bahagia.
Namun yang lebih menjadi kenangan malam tadi ialah cenderahati sumbangan pengantin. Ia bukan bunga telur atau kotak gula-gula yang disertakan dengan bunga rampai, tetapi naskah ‘Majmu Syarif Kamil’. Buku agama saiz kecil dan berkulit tebal yang mengandungi pelbagai panduan agama termasuk surah Yasin, ayat dan surah terpilih, doa dan zikir serta hadiah Nabi Khidhir a.s.
Buku itu diterbitkan di Bandung dan saya kira Nurul membelinya dari sana. Ia amat praktikal dijadikan cenderahati untuk majlis-majlis seumpama itu dan lebih bermanfaat daripada bunga telur dan bunga rampai.
Syabas Nurul!
Bacaan Hadiah Nabi Khidhir a.s.
Baca surah al-Fathihah 7 kali.
Baca surah an-Nas 7 kali.
Baca surah al-Falaq 7 kali.
Baca surah al-Ikhlas 7 kali.
Baca surah al-Kafirun 7 kali
Baca ayat kursi 7 kali
Dan Baca tasbih, shalawat, istigfar dan doa terpilih 7 kali.
1 comment:
Tahniah jgak utk Kak Nurul =)
Post a Comment