Saturday, August 18, 2007

SERONOK BERKERETA KARAT KE TEMPAT KERJA

Saya memandu kereta Toyota Corolla GL yang berusia lebih 20 tahun hari ini untuk ke tempat kerja. Kereta milik kedai membaiki kereta itu dipinjamkan kepada saya kerana kereta saya memakan masa dua hari untuk disenggara.

Bukan usia kereta itu yang menjadi persoalan, tetapi keadaan kereta itu yang tercompang camping. Berkarat di luar dan seperti reban ayam di dalam. Tapi itulah hakikatnya kenderaan milik mekanik kereta.

Anak saya hampir tidak mahu ke sekolah pagi tadi, apabila saya mengusik untuk menghantar mereka ke sekolah menggunakan kereta itu. Tetapi tersenyum sinis apabila saya menukarkannya dengan kereta ibu mereka selepas itu.

Di tempat kerja, sesampainya saya di tempat letak kereta, seorang rakan menegur, “cantik kereta?”. Saya hanya mampu tersenyum dan mengulangi ungkapannya, “aha cantik!”.

Anak bungsu saya, Diyana pula tidak sabar-sabar menelefon saya untuk mengetahui reaksi rakan-rakan terhadap saya.

Pada saya memandu apa jenis kereta sekalipun tidak menjadi masalah. Saya sebenarnya ‘enjoy’ memandu kereta berkarat itu hari ini. Sekurang-kurangnya ia memberikan keinsafan kepada saya dan sebagai terapi terhadap keegoan diri. Mungkin boss-boss selepas ini boleh mencuba kereta itu dan lihatlah reaksi pemandu lain terhadap kita di jalan raya.

No comments: