Sunday, July 8, 2007

DATUK SERI SHAHIDAN RASMI PERSIDANGAN UMNO PUCHONG

JAWATAN POLITIK JANGAN DIMINTA

Persidangan UMNO Bahagian telah bermula 1 Julai lalu di seluruh negara. Bagi UMNO Bahagian Puchong ia diadakan hari ini di IOI Palm Garden Hotel. Itulah tempat persidangan bahagian ini setiap tahun, selain Marriot Hotel, Putrajaya.

Jika tahun lalu ia dirasmikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Johor, Dato Ghani Othman, tahun ini Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim diberi tanggungjawab itu pula.

Sepatutnya Datuk Seri Shahidan tiba untuk merasmikannya pada sebelah pagi sebelum persidangan bermula. Tetapi kerana kenduri kahwin anaknya semalam yang berlarutan hingga awal pagi, Menteri Besar Perlis itu minta perasmian dibuat selepas persidangan selesai.

Oleh itu, persidangan dimulakan dengan ucapan dasar Ketua Bahagian, Dato’ Dr Mohd Satim Diman dan seterusnya diikuti pembentangan laporan daripada Setiausaha Bahagian dan Bendahari. Pembentangan dan sokongan usul Ekonomi, Pendidikan dan Agama serta Sosial menyusul kemudian.

Kerana pindaan aturcara, tiada perbahasan pada persidangan kali ini. Hanya seorang perwakilan yang terkenal dengan kepetahan berpidato dibenarkan mewakili perwakilan yang lain.

Saya hanya berkesempatan berada di barisan atas pentas sehingga usul pendidikan dibentangkan. Dato’ Dr Satim mengajak saya menjemput Datuk Seri Shahidan di bilik rehatnya di hotel berkenaan.

Sementara menunggu pembentangan dan perbahasan selesai menjelang tengahari, kami berbual bersama Datuk Seri Shahidan di biliknya, turut hadir Exco Pelancongan Perlis yang juga bekas wartawan YB Azihani Ali (Kak Cik).

Perbualan antara lain mengenai tanggungjawab sebagai orang politik dan ‘kegilaan politik’. Menurut Datuk Seri Shahidan, dalam politik jangan minta jawatan tetapi terima jawatan. Ia sebenarnya berkaitan dengan keiklasan melakukan kerja.

Mufti Kerajaan Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam rencananya di Mingguan Malaysia hari ini turut mengulas perkara itu.

Beliau memetik hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Daripada Abu Musa katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah! Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya.


Dalam hadis yang lain baginda menyebut: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya (riwayat al-Bukhari).

Itulah kelebihan negeri Perlis dengan mufti mudanya yang mempunyai pandangan-pandangan yang dinamik. Dr Asri mempunyai kepakaran dalam bidang hadith.

Namun bila ditanya sampai bila Dr Asri akan berkhimat di Perlis, Datuk Seri Shahidan berkata tugas mufti muda itu tidak lama kerana USM sudah beriya untuk menuntut perkhidmatanya semula. Lagipun Dr Asri sudah berada pada jawatan tinggi iaitu JUSA II yang tidak melayakan beliau menyandang jawatan itu.

Selain Dr Asri, Perlis mempunyai barisan anggota fatwanya yang muda-muda yang mempunyai Phd dalam pelbagai bidang disiplin agama. “Sayang jika ilmu yang ada pada mereka tidak dimanfaatkan”, kata Datuk Seri Shahidan.

Namun kebanyakan mereka bukan anak jati Perlis. Perlantikan Dr Asri dulupun setelah Datuk Seri Shahidan mendapat petunjuk selepas melaksanakan solat istiqarah.

Sebelum kami beredar turun ke dewan persidangan, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis itu sempat menghulurkan sumbangan wang tunai kepada UMNO Bahagian Puchong.

Yang tak sedapnya, wang tunai RM50 dengan jumlah RM10 ribu itu terpaksa saya bawa dalam poket seluar baju Melayu saya sehingga dapat saya serahkan kepada Bendahari Bahagian, Dato Aziz Singah.


No comments: