19 Julai, 2007 10:19 AM
Mayat Kapt Nor Azlan, Mangsa Terakhir Nahas Nuri Dibawa Keluar
KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Mayat terakhir mangsa nahas Nuri, juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi, 29, yang tersepit di dalam kokpit helikopter yang terhempas di Genting Highlands dekat sini, berjaya dikeluarkan pagi ini.
Jenazah Nor Azlan telah diterbangkan dari Genting Sempah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, pada pukul 9.35 pagi dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat M994-03.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berada di padang bola HKL menunggu ketibaan mayat Nor Azlan yang tiba pada pukul 9.40 pagi ini.Terdahulu, pada pukul 7.20 pagi ini dua mayat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas helikopter itu tiba di HKL.
Jenazah pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27, dan Kuatermaster Udara Sarjan Khusnizam Ariffin, 34, tidak dapat dibawa keluar dari lokasi nahas malam tadi kerana hujan lebat dan keadaan gelap.Kedua-dua mayat itu dibawa dengan helikopter Nuri.
Operasi menakal keenam-enam mangsa dari Nuri yang tersangkut di kawasan cerun kira-kira 70 darjah bermula sejak Selasa sebaik saja bangkai pesawat ditemui di Gunung Bunga Buah, tidak jauh dari terowong Genting Sempah, Genting Highlands pada pukul 1.24 petang.
Pesawat itu dilapor hilang dari pantauan radar kawalan 10 minit setelah berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Kuala Lumpur pukul 9.35 pagi Jumaat.
Sementara itu, jenazah tiga lagi mangsa nahas udara itu, iaitu Laskar Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad, 27; Sarjan Azmie Md Yassin, 35; dan Laskar Kanan Saifulizam Alias, 28 telah selamat dikebumikan di kampung masing-masing di Kedah, Melaka dan Johor malam tadi setelah diterbangkan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi.
Jenazah Nor Intan Asykeen dikebumikan di kampungnya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Abdul Rashid Sungai Dua, Butterworth dan Khusnizam di Tanah Perkuburan Bunut Payung, Kota Bharu, Kelantan.-- BERNAMA
1 comment:
Al-Fatihah dan Takziah kepada semua keluarga yang terkorban.
Post a Comment