Monday, July 30, 2007

DISIPLIN - PERTIMBANGAN GURU PENTING

Peraturan Disiplin Pelajar yang telah menjangkau 50 tahun sejak diperkenalkan memang perlu diubah. Selain banyak perkara yang ketinggalan zaman, pindaannya akan memberi ruang kepada golongan guru mendisiplinkan pelajar dengan lebih berkesan.

Namun dalam banyak perkara, pertimbangan guru dan pihak sekolah banyak membantu dalam menyelesaikan kes-kes disiplin tanpa terlalu rigid dengan peraturan yang sudah termaktub.

Seorang rakan mempertikaikan mengenai kesan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap anaknya. Anaknya yang bersekolah di Shah Alam digantung seminggu daripada tinggal di asrama.

Kesalahannya kerana dia dan enam lagi rakannya keluar asrama tanpa kebenaran warden. Mereka bermain futsal di luar sekolah. Kesalahan mereka wajar dikenakan tindakan itu. Namun minat mereka terhadap futsal tidak boleh ditolak kerana tiada kemudahan itu di sekolah.

Selama seminggu rakan itu terpaksa berulang alik dari rumahnya di Puchong untuk menghantar anaknya ke Shah Alam. Bagaimanapun dia tidak dapat mengambil anaknya pulang dari sekolah kerana berkerja. Anaknya terpaksa menggunakan bas awam dan sampai di rumah kira-kira jam 6 petang.

Sebenarnya hukuman itu memang dinanti oleh keenam-enam pelajar berkenaan. Pertama mereka dapat bersama keluarga di rumah, dan kedua mereka dapat bersiar-siar ketika pulang dari sekolah.

Kesan hukuman tidak memberi pengajaran kepada mereka. Tetapi yang sebenarnya mendapat hukuman bapa yang terpaksa menghantar anak-anak itu, awal pagi setiap hari.

Alangkah baiknya jika pelajar-pelajar berkenaan dihukum dengan memaksa mereka membuat kerja-kerja sosial dan kebajikan seperti mencuci tandas, mengecat bangunan asrama dan sebagainya yang memberi faedah kepada pelajar dan sekolah.

No comments: