Wednesday, July 25, 2007

ORANG MELAYU SEBENARNYA HEBAT

Program tiga hari dua malam bersama JASA bermula 20 Julai lalu di Selesa Beach Resort, Port Dickson memberikan banyak input. Selain ahli jawatankuasa bahagian, ia dihadiri pemimpin empat peringkat dari 81 cawangan, UMNO Bahagian Puchong iaitu Ketua Cawangan, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan.

Pemikir JASA Dato Dr Abdul Malik Munip mengambil tempat pada sesi pertama seminar “Wacana Ilmu Memertabatkan Jati Diri Melayu”. Saya ditugaskan menjadi moderator pada malam itu.

Dato Dr Malik adalah bekas pensyarah sejarah Universiti Malaya, bekas wakil rakyat dari Johor dan bekas Ketua UMNO Bahagian. Dalam pengenalan saya sebelum beliau berucap, saya memperkenalkannya sebagai adik kepada Kol (B) Mohamad Munip, bekas Komandan Maktab Tentera Diraja ketika saya berada di institusi latihan ketenteraan itu awal 80an.

Antara perkara yang dilontarkan beliau kepada peserta, mengenai halatuju umat Melayu selepas 50 tahun Malaysia Merdeka.

Menurutnya kemajuan orang Melayu banyak dikekang oleh budaya rendah diri atau “cultural inferiority complex”. Penjajahan pemikiran juga menghadang kemajuan dan kecemerlangan masyarakat Melayu.

Orang Melayu sebenarnya hebat tetapi kehebatannya telah diputar-belitkan menjadikan mereka seolah-olah bangsa yang malas. Ungkapan seperti “secupak tidak akan jadi segantang” dijaja untuk mengambarkan hakikat itu.

Namun kata-kata seperti “genggam bara api biar jadi arang” dapat menolak tanggapan Melayu sebagai bangsa pemalas. Ungkapan-ungkapan perangsang seperti itu seharusnya kini dijadikan hiasan di dinding pejabat orang-orang Melayu mengantikan ungkapan berbahasa penjajah.

Turut mengisi slot seminar yang berakhir 22 Julai lalu, Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang juga Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Dr Mohd Satim Diman.