Wednesday, June 13, 2007

TV3 SEMAKIN TUA

Melangkah ke bilik berita TV3 semakin terasing, walaupun masih ramai yang mengenali saya. Tetapi jumlah mereka yang boleh diajak duduk bersembang boleh dihitung dengan jari.

Bukan kerana mereka sombong atau saya tidak mahu bercampur dengan mereka. Tetapi jarak usia terasa diri sudah semakin tua. Topik perbualan sudah tidak lagi kena dengan cita rasa mereka dan begitulah sebaliknya.

Antara mereka yang boleh diajak berbual di kantin, Sukardi Ghani, Ghazali Yahaya (Pak Gaz), Fuad Rahman, Samat Mahat dan Shaharudin Latif (Cik Shah).

Jumlah ini akan berkurangan dari tahun ke setahun. Beberapa orang lagi rakan akan menempuh zaman pencen tahun depan.

Usia TV3 sudah menjangkau 23 tahun. Angka itu jika diletakkan pada usia manusia, yang perempuan boleh bergelar ibu dan yang lelaki sedang mengantal untuk berkahwin.

Rata-rata kumpulan pertama yang menyertai TV3 kini sudah berusia melebihi 40 tahun. Kalau dulu rambut hitam, kini semuanya beruban melain bagi mereka yang mewarna hitamkan rambut, kerana tidak percaya diri sudah tua.

Zaman TV3 di Bangsar mempunyai nilai sentimentalnya yang tinggi. Walaupun jabatan dan unit-unitnya bersepah dan terletak di beberapa bangunan secara berasingan di sepanjang Jalan Liku, tetapi hubungan diantara sesama kakitangan cukup akrab.

Kini dengan berpayungkan Media Prima di bawah satu bumbung di Sri Pentas, jangankan antara kakitangan TV3, 8TV, TV9, Hot FM dan GB kurang mengenali, mereka sesama kakitangan TV3 pun tidak tahu rakannya sekarang bertugas di jabatan mana. Itu belum lagi kakitangan NTV7 di Glenmarie, untuk berpeluang jumpa rakan seperti Mohsin Abdullah jauh sekali.

No comments: