Monday, June 4, 2007

PEMBANGUNAN DI MELAKA

DATARAN PAHLAWAN
Cantik dan serba lengkap. Ada kedai untuk barangan berjenama dan ruang khas untuk peniaga kraf tempatan. Tetapi untuk mencari ruang duduk bagi mengisi perut dan membasahkan tekak amat sukar terutama pada musim cuti sekolah dan cuti umum.

Di sebelah atas ada tanah lapang seakan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur untuk pelbagai acara.

Cuma yang agak terkilan, anak cucu-cicit kita nanti tidak dapat melihat tempat Tunku Abdul Rahman mengistiharkan kemerdekaan negara. Hanya yang boleh dilihat oleh mereka gambar-gambar dan filem-filem lama yang agak kabur di Muzium Kemerdekaan di hadapan Dataran Pahlawan ‘moden’.
BAS PANORAMA
Harganya murah, cuma RM2 untuk perjalanan ke mana-mana lebih 20 destinasi di sekitar bandar Melaka Bandaraya Bersejarah. Satu konsep pengangkutan pelancongan yang patut dipuji.

Tetapi perjalananannya agak membosankan kerana tiada penerangan diberikan apabila tiba di setiap destinasi.

Bagi pelancong yang baru pertama kali mengunjungi Melaka ia sudah semestinya suatu pengalaman yang menarik. Dan bagi penumpang tempatan pula, ia adalah perkhidmatan pengangkutan yang berbaloi kerana hanya bayar RM2 boleh ke mana-mana sahaja destinasi untuk satu hari.
BOT SG MELAKA
Menyusuli Sungai Melaka bukan sesuatu pengalaman yang indah. Sungai Melaka masih mengalir lesu dengan menyimpan lumpur di sepanjang tebing terutama ketika air surut.

Namun Kerajaan Melaka kini sedang melakukan projek menaiktaraf dan mendalamkan sungai itu untuk fasa kedua. Projek itu dijangka siap sebulan lagi walaupun mustahil daripada pandangan mata ia boleh dilaksanakan dalam tempoh itu, sebelum Pesta Air berlangsung Julai depan.

Sesetengah pihak mendakwa bot moden yang menggantikan sampan tradisional sebelum ini tidak mengambarkan keaslian budaya yang hendak ditonjolkan kepada pelancong asing.


MASJID PULAU MELAKA
Projek Pulau Melaka masih menjadi gajah putih walaupun pelbagai ulasan dan aduan sering dilaporkan. Nasib baik masjid bulat di pulau itu sudah dapat digunakan.

Sayangnya pelancong dan pengunjung luar tidak didedahkan dengan kewujudannya. Sekurang-kurangnya ada tanda arah ke masjid itu. Tetapi bukan sahaja tanda arah tidak ada, pintu pagar jalan menuju ke masjid itu ditutup dan yang hanya dibuka pintu pagar menghala keluar.

No comments: