Friday, June 15, 2007

ANUGERAH SERI ANGKASA DIBATAL

Anugerah Seri Angkasa Dibatal Ekoran Kegagalan Tv9 Dapat Penajaan

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Majlis Anugerah Sri Angkasa 2006 yang sepatutnya dianjurkan pertengahan tahun ini, dibatalkan berikutan kegagalan penganjurnya, TV9 yang mewakili Media Prima mendapatkan penajaan bagi menampung kos penerbitan dan hadiah bagi anugerah berprestij itu.Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya amat kesal dengan pembatalan itu.

Bagaimanapun menurutnya keputusan itu diambil atas kesedaran bahawa kini sudah ada banyak anugerah yang disediakan untuk mengiktiraf pengamal media penyiaran.

Ditanya mengapa kerajaan tidak menghulurkan bantuan untuk menjayakan majlis penyampaian anugerah tersebut, Ahmad Zahid berkata secara prinsipnya semua usaha untuk mendapatkan penajaan dijalankan oleh pihak penganjur sendiri.

"Kalau RTM, sebuah stesen kerajaan yang dikatakan tidak mempunyai wang untuk menganjurkan majlis tersebut (tapi) boleh melakukannya, tidak mustahil stesen swasta yang mempunyai keuntungan besar (juga) mampu menganjurkannya," katanya ketika membuat pengumuman tersebut kepada media di Angkasapuri hari ini.

Beliau berkata pihak Astro berjaya menganjurkan majlis penyampaian anugerah tersebut dengan baik tahun lepas.Beliau turut menekankan bahawa Anugerah Seri Angkasa yang diperkenalkan oleh Kementerian Penerangan bagi menghargai semua warga stesen penyiaran bukan lagi hak RTM, tetapi sebaliknya hak semua stesen penyiaran dalam negara, di mana penganjuran kini dijalankan secara bergilir-gilir.

Oleh itu menurutnya sebarang kejayaan dan kelemahan penganjuran majlis itu tidak lagi boleh ditujukan kepada RTM semata-mata, sebaliknya turut membabitkan semua stesen penyiaran."Penganjuran majlis penyampaian anugerah tersebut akan diserahkan kepada RTM tahun depan," katanya.

Sementara itu Media Prima Berhad (MPB) dalam satu kenyataan petang ini melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman Ahmad Zahid itu.Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda berkata MPB yang diberikan tanggungjawab menerbit ASA 2006 tidak dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut."Kami ada memohon supaya acara itu ditangguhkan kerana MPB masih di dalam usaha untuk mendapatkan pembiayaan bagi menampung kos acara itu.

Sebagai sebuah syarikat swasta, MPB perlu mendapat penaja bagi menampung kos yang begitu besar."Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak RTM melalui beberapa mesyuarat dan perbincangan," menurutnya.

MPB sudah memaklumkan kepada Pengerusi Jawantakuasa Kerja ASA 2006, merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Siti Balkish Shariff, untuk memohon penangguhan acara ASA 2006 ke tarikh baru iaitu 17 November bagi memberi masa kepada MPB untuk mendapatkan penajaan dan pembiayaan bagi anugerah tersebut.-- BERNAMA

No comments: