Wednesday, June 20, 2007

ANTARA SALMAN RUSHDIE DAN PALESTIN


Salman Rushdie – orang yang dicela oleh masyarakat Islam seluruh dunia kerana bukunya "Satanic Verses" yang menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dianugerahkan Knighthood yang membawa gelaran "Sir".

Anugerah oleh Ratu Elizabeth itu menandakan satu pengiktirafan terhadap kedurjanaan beliau kepada Islam dan penganutnya.

Tindakan kerajaan British itu juga disifatkan sebagai penghinaan kepada umat Islam dan juga satu provokasi Barat.

Di Malaysia penganugerahan itu tidak memberi impak yang besar. Rasa kekecewaan umat Islam setakat ini hanya dipamerkan melalui penyerahan memorandum bantahan kepada kerajaan Britain oleh Dewan Pemuda PAS.

25 penyokong parti itu berhimpun di hadapan Suruhanjaya Tinggi Britain di Jalan Ampang, untuk menyerahkan memorandum itu kepada Ketua Bahagian Politik dan Ekonomi Kedutaan itu, James Paver.

Sebenarnya umat Islam sejak dahulu lagi sudah diperkotak-katikan. Kelemahan umat Islam yang tidak mahu bersatu antara punca utama masyarakat Islam diperlekehkan.

Negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak dapat berbuat apa-apa, hanya sekadar termampu mengeluarkan kenyataan demi kenyataan. Walau negara manapun yang menerajuinya nada suaranya tetap sama…ohhhh I see!

Kemelut di bumi Palestin satu lagi pendedahan pekung dunia Islam. Krisis diantara Fatah dan Hamas bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi rejim Israel dan imperialis Amerika Syarikat.

Hamas yang memenangi pilihan raya sebelum ini dinafikan haknya. Atas dasar tolak ansur, Hamas bersedia menubuhkan kerajaan campuran dengan Fatah. Susulan persetujuan itu, Mahmoud Abbas (Fatah) dilantik sebagai Presiden manakala Ismail Hanieya (Hamas) sebagai Perdana Menteri.

Namun kerajaan perpaduan hanya bertahan beberapa bulan sahaja. Segalan usaha mengekalkan mereka bersatu, musnah.

Hamas ditendang keluar daripada kerajaan Palestin dan Mahmoud Abbas menubuhkan kabinet darurat dengan Salam Fayyad sebagai Perdana Menterinya. Pentadbiran George W Bush tanpa berlengah, menarik balik sekatan ekonomi dan diplomatik dikenakan ke atas kerajaan Palestin sejak 15 bulan lalu.

Inilah cabaran dunia Islam yang tidak habis-habis menerima tekanan kerana sikap sendiri yang tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

No comments: