Monday, June 4, 2007

JADI WARTAWAN JANGAN KABUR


Membaca sebuah majalah yang dibeli oleh anak saya ketika dalam perjalanan ke Melaka, membuatkan hati saya terguris.

Saya membaca majalah itu kerana tertarik dengan paparan beberapa foto majlis perkahwinan anak ADUN Seri Kembangan, Dato’ Dr. Haji Mohd Satim Diman dengan pemain bolasepak Selangor, Amri Yahyah.

Saya terpanggil untuk mengetahui kandungan isi ceritanya kerana saya juga turut hadir pada majlis itu.

Sebenarnya saya tidak mengetahuipun nama majalah itu sehinggalah menyedari banyak kesalahan fakta dilakukan penulisnya, Akhrun Musa.

Antara kesalahannya, Datuk Seri Satim (belum lagi mendapat anugerah gelaran itu), Tuan Haji Ismail Jaafar, Pengerusi Tetap UMNO (sebenarnya Tan Sri Onn Ismail) dan Timbalan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Selangor untuk jawatan Dato Dr Satim (sebenarnya Timbalan Speaker).

Setelah saya belek, rupanya nama majalah itu HAI. Tak apalah bisik hati saya mungkin majalah hiburan pecisan, yang tidak mementingkan fakta sebegitu.

Tetapi setelah saya teliti lagi di ruangan Sidang Redaksi, rupanya ia terbitan Kumpulan Utusan. Kini baru saya sedar ia memang antara majalah popular di kalangan remaja.

Apa sudah jadi dengan ‘gate-keeper’ majalah itu? Mungkin kerana ia majalah hiburan ringan, fakta sebegitu tidak penting bagi mereka untuk diteliti.

Tetapi sebagai wartawan, kesalahan fakta yang kecil masih menjadi sesuatu yang serius. Ia akan hanya menjejaskan kredibiliti sesuatu penerbitan, tidak kira berupa majalah, akhbar atau program TV dan radio.

Pernah saya menegur seorang wartawan mengenai jawatan ‘Setiausaha Kementerian’ yang ditulisnya. “Kamu yakin ke dengan jawatan itu?”tanya saya.

Dia seolah-olah hairan dengan teguran saya itu. “Yang ada cuma Setiausaha Parlimen Kementerian atau Ketua Setiausaha Kementerian, jadi yang mana satu? tanya saya lagi.

Dia seakan bingung, tapi saya sudah mendapat jawapannya kerana dia ditugaskan membuat liputan sidang di Dewan Rakyat.

Satu lagi kesalahan (bukan cuai tapi tidak tahu) yang pernah saya temui dan hampir disiarkan, apabila seorang lagi wartawan memaksudkan pangkat Kpl (kopral) sebagai Leftenan Kolonel.

Mungkin mereka baru belajar, tetapi kesalahan yang amat kecil itu boleh dielak jika mereka rajin meneroka dan bertanya. Bukankah bertanya itu antara sifat wartawan?

3 comments:

ibrahim yahaya said...

Sdr Look,

Nama dan jawatan adalah antara perkara penting yang perlu diberi perhatian seperti juga fakta lain dalam penulisan berita.

Kalau kita merasa tidak sedap hati jika orang lain menulis nama kita lain daripada yang tertera di kad pengenalan, sudah pasti orang lain juga akan merasakan sedemikian.

Oleh itu, berhati-hatilah ketika membuat laporan kerana sudah pasti satu hari nanti laporan yang salah akan dikesan. Jangan bersikap sambil lewa tetapi rajin-rajinlah membaca dan membuat rujukan.

LEKLOOK said...
This comment has been removed by the author.
LEKLOOK said...

Datuk,
Ingatan seperti itu penting kepada mereka yang mahu menjadikan Wartawan sebagai kerjaya mereka.