Thursday, June 28, 2007

MALAM ANUGERAH MEDIA PERTAHANAN


Anugerah Media Pertahanan(AMP) bakal muncul kembali tahun ini. Ia akan diadakan di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 2 Julai ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya AMP 2006 diadakan sebagai tanda penghargaan Kementerian Pertahanan kepada pihak media yang telah banyak membuat liputan dan paparan bagi aktiviti yang dilaksanakan kementerian.

Majlis itu akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak

Jika tahun lalu tema pakaian majlis Merah dan Hitam, kali ini penganjur mengalu-alukan tetamu dan jemputan berpakaian yang bertemakan “Jalur Gemilang”.

Lapan anugerah akan diberikan pada malam itu nanti iaitu; Jurugambar Tentera Terbaik, Persembahan Video Tentera Terbaik, Wartawan Akhbar Terbaik, Wartawan Majalah Terbaik, Jurugambar Terbaik, Laporan TV Terbaik dan Akhbar Terbaik.

Selain itu 150 hadiah cabutan bertuah menanti tetamu dan jemputan diantaranya motosikal, TV Plasma, Komputer Riba, Telefon Bimbit, Kamera Digital dan barangan elektrik. Majlis turut diserikan dengan persembahan hiburan.

Tuesday, June 26, 2007

MEJAR FAUZI INGATKAN SKOT

Mej (B) Fauzi bekas pegawai di Kor Jurutera Diraja amat merindui rakan-rakan skot, begitu juga diri saya. Diperturunkan antara komen beliau.

Assalamualaikum Sdr Lokman,Saya seronok juga bila tengok blog yang sdr tuliskan ni. Sekurang-kurangnya dapat juga mengetahui perkembangan sdr. Tetapi bila buka cerita regular21, tak ada response daripada kekawan kita.

Agaknya mereka dah lupa kat kita kut? Harap-harap sebaliknya la ya! Saya sekarang ni banyak masa diutara kadang2 kat Penang dan kadang2 kat Perlis. Biz agak slow masa ni, tu yang tak dapat nek ke KL. Walaubagaimanapun saya akan meneruskan perjuangan ini...Insyaallah mungkin satu hari nanti Allah SWT akan memberikan razeki kepada kita. Sekian, terima kasih.Mej(B) Mohd Fauzi Abdullah (3001679)

Komen balasan saya dalam tajuk "Surat Untuk Regular 21"

Saturday, June 23, 2007

FAIZAL TINGGALKAN BERITA TV9


Team Berita TV9 kehilangan seorang kakitangan yang berwibawa. Mohd Faizal Kasmani, salah seorang anggota perintis Berita TV9 telah menamatkan perkhidmatanya semalam.

Beliau yang masih muda adalah kakitangan yang serba boleh. Berkebolehan dari segi pemberitaan dan penerbitan, malah mahir dalam banyak perkara mengenai sokongan penerbitan (production support).

Faisal yang menyandang ijazah dari luar negara, sebelum ini adalah kumpulan perintis bahagian berita 8TV. Kini kehilangannya akan dirasai pula oleh semua kakitangan Berita TV9. Namun kerana kegigihannya dan cita-cita yang tinggi, kami merestui pemergiannya.

Faizal akan melanjutkan pengajiannya di peringkat Kedoktoran dan menjadi pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi di Nilai, Negeri Sembilan.

Kami doakan semuga Faizal berjaya……..!

(Maaf Faizal kerana tidak dapat menyertai anda dalam majlis perpisahan malam semalam)

RM90 JUTA UNTUK SEMUA DAERAH DI SELANGOR


90 juta ringggit - itu jumlah yang disalurkan kepada sembilan daerah di Selangor bagi menunaikan janji pilihan raya dan kemudahan infrastruktur.

Peruntukan khas kerajaan negeri Selangor itu perlu diselesaikan sebelum akhir Disember tahun ini. Ia disalurkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional

Jika dihitung, setiap daerah akan mendapat peruntukan 10 juta ringgit. Nampak banyak tetapi tidak mencukupi.

Bagi daerah yang tidak mempunyai banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), ADUNnya boleh tersenyum lebar. Rata-rata setiap DUN mendapat lebih satu juta ringgit peruntukan.

Lebih menguntungkan lagi, bagi kawasan DUN yang terletak di dua daerah. Kawasan DUN seperti itu mendapat dua peruntukan. Dato’ Salamon Selamat (ADUN Batu Tiga) misalnya mendapat peruntukan dari daerah Petaling dan Klang.

Bagi ADUN lain di daerah Petaling mereka terpaksa garu kepala. Ada 14 DUN di daerah itu, antaranya Sri Serdang (Dato Dr Satim), Kota Damansara (Dato Mokhtar Dahlan), Seri Setia (Datin Paduka Seripah Noli) dan Kinrara (Dr Kow Cheong Wei). Mereka hanya mendapat RM714 ribu untuk disalurkan kepada kawasan masing-masing.

Daerah Petaling cuba juga meminta peruntukan itu ditambah, tetapi tidak dilayan oleh Menteri Besar. Alasannya kerana daerah Petaling juga mempunyai peruntukan besar daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Peruntukan sebanyak RM714 ribu kepada DUN di Petaling perlu disalurkan segera. Oleh itu semua Pejabat ADUN perlu menghantar senarai projek, nama kontraktor dan kos projek kepada Pejabat Daerah Dan Tanah Petaling dalam tempoh dua minggu, selepas tarikh Mesyuarat Pembangunan semalam.

Pertama kali mewakili YB Dato’ pada mesyuarat itu bersama-sama ADUN yang lain banyak juga pendedahan diterima. Walaupun diri terasa kecil berbanding semua ADUN yang hadir, tetapi daripada perbincangan itu, mereka dilihat tidaklah terlalu pandai daripada saya.

Thursday, June 21, 2007

FRIENDS WORLDWIDE


Abdul Rashid Ahmad dan Shahrein Zainal Abidin bukanlah nama yang besar di dalam dunia perniagaan khususnya bidang pengiklanan dan komunikasi. Namun berkat kegigihan dua sahabat ini, mereka kini semakin hampir untuk duduk sebarisan dengan tokoh Melayu di dunia korporat.

Syarikat mereka, Friends Advertising and Communications Sdn Bhd (Friends Worldwide) antara yang digeruni oleh pesaing antarabangsanya yang bertapak di negara ini.

Setahun lalu syarikat itu mengumumkan pelebaran sayapnya ke beberapa negara ASEAN.

Beberapa perjanjian kerjasama turut ditandatangani. Antaranya dengan PT Fortune Indonesia, Tropical Communications (Singapore) Pte Ltd dan beberapa rakan kongsi di Manila, Bangkok dan Vientiane.

Rashid yang berperanan sebagai Pengarah Eksekutif dan Shahrein sebagai Pengarah Urusan Kumpulan bekerja keras untuk mencapai sasaran jumlah kutipan syarikat iaitu diantara RM32 juta dan RM34 juta ringgit sehingga Julai ini.

Dan bagi mencapai matlamat itu, mereka disertai Shahar Noor sebagai Pengerusi Eksekutif.

Tahun sebelum ini kutipan tahunan syarikat meningkat sehingga RM26 juta. Pengiklanan ‘above the line’ menyumbang 70% kepada kutipan tahunan syarikat.

Mereka kini boleh berbangga kerana memiliki bangunan sendiri di sebidang tanah bekas banglo di Jalan Tun Razak.

Rashid dan Shahrein yang saya kenali adalah manusia yang ‘humble’ tetapi kuat bekerja. Shahrein yang lebih muda daripada saya, sama-sama belajar sambilan di Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) pada pertengahan tahun 80an.

Manakala Rashid yang seusia dengan saya, mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang berkaitan.

Kedua-dua mereka masih berjiran dengan saya. Rashid di Kinrara dan Shahrein di Subang Jaya. Mereka jugalah diantara rakan yang mengunjungi saya ketika saya menjalani pembedahan kecil di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) beberapa tahun lalu.

Perjalanan kita masih jauh, Brother!

Wednesday, June 20, 2007

ANTARA SALMAN RUSHDIE DAN PALESTIN


Salman Rushdie – orang yang dicela oleh masyarakat Islam seluruh dunia kerana bukunya "Satanic Verses" yang menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dianugerahkan Knighthood yang membawa gelaran "Sir".

Anugerah oleh Ratu Elizabeth itu menandakan satu pengiktirafan terhadap kedurjanaan beliau kepada Islam dan penganutnya.

Tindakan kerajaan British itu juga disifatkan sebagai penghinaan kepada umat Islam dan juga satu provokasi Barat.

Di Malaysia penganugerahan itu tidak memberi impak yang besar. Rasa kekecewaan umat Islam setakat ini hanya dipamerkan melalui penyerahan memorandum bantahan kepada kerajaan Britain oleh Dewan Pemuda PAS.

25 penyokong parti itu berhimpun di hadapan Suruhanjaya Tinggi Britain di Jalan Ampang, untuk menyerahkan memorandum itu kepada Ketua Bahagian Politik dan Ekonomi Kedutaan itu, James Paver.

Sebenarnya umat Islam sejak dahulu lagi sudah diperkotak-katikan. Kelemahan umat Islam yang tidak mahu bersatu antara punca utama masyarakat Islam diperlekehkan.

Negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak dapat berbuat apa-apa, hanya sekadar termampu mengeluarkan kenyataan demi kenyataan. Walau negara manapun yang menerajuinya nada suaranya tetap sama…ohhhh I see!

Kemelut di bumi Palestin satu lagi pendedahan pekung dunia Islam. Krisis diantara Fatah dan Hamas bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi rejim Israel dan imperialis Amerika Syarikat.

Hamas yang memenangi pilihan raya sebelum ini dinafikan haknya. Atas dasar tolak ansur, Hamas bersedia menubuhkan kerajaan campuran dengan Fatah. Susulan persetujuan itu, Mahmoud Abbas (Fatah) dilantik sebagai Presiden manakala Ismail Hanieya (Hamas) sebagai Perdana Menteri.

Namun kerajaan perpaduan hanya bertahan beberapa bulan sahaja. Segalan usaha mengekalkan mereka bersatu, musnah.

Hamas ditendang keluar daripada kerajaan Palestin dan Mahmoud Abbas menubuhkan kabinet darurat dengan Salam Fayyad sebagai Perdana Menterinya. Pentadbiran George W Bush tanpa berlengah, menarik balik sekatan ekonomi dan diplomatik dikenakan ke atas kerajaan Palestin sejak 15 bulan lalu.

Inilah cabaran dunia Islam yang tidak habis-habis menerima tekanan kerana sikap sendiri yang tidak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

Saturday, June 16, 2007

PESANAN IMAM AL-GHAZALI

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka Teki ) :

Imam Ghazali = ' Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1 = ' Orang tua
'Murid 2 = ' Guru
'Murid 3 = ' Teman
'Murid 4 = ' Kaum kerabat '
Imam Ghazali = ' Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = ' Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Negeri Cina
'Murid 2 = ' Bulan
'Murid 3 = ' Matahari '
Murid 4 = ' Bintang-bintang
'Iman Ghazali = ' Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama'.

Iman Ghazali = ' Apa yang paling besar didunia ini ?
'Murid 1 = ' Gunung
'Murid 2 = ' Matahari
'Murid 3 = ' Bumi
'Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.

'IMAM GHAZALI' Apa yang paling berat didunia?
'Murid 1 = ' Baja
'Murid 2 = ' Besi
'Murid 3 = ' Gajah
'Imam Ghazali = ' Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

'Imam Ghazali = ' Apa yang paling ringan di dunia ini ?
'Murid 1 = ' Kapas
'Murid 2 = ' Angin
'Murid 3 = ' Debu
'Murid 4 = ' Daun-daun
'Imam Ghazali = ' Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat

'Imam Ghazali = ' Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?
'Murid- Murid dengan serentak menjawab = ' Pedang
'Imam Ghazali = ' Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri '

'sampaikanlah walau satu ayat'..

Friday, June 15, 2007

ANUGERAH SERI ANGKASA DIBATAL

Anugerah Seri Angkasa Dibatal Ekoran Kegagalan Tv9 Dapat Penajaan

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Majlis Anugerah Sri Angkasa 2006 yang sepatutnya dianjurkan pertengahan tahun ini, dibatalkan berikutan kegagalan penganjurnya, TV9 yang mewakili Media Prima mendapatkan penajaan bagi menampung kos penerbitan dan hadiah bagi anugerah berprestij itu.Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya amat kesal dengan pembatalan itu.

Bagaimanapun menurutnya keputusan itu diambil atas kesedaran bahawa kini sudah ada banyak anugerah yang disediakan untuk mengiktiraf pengamal media penyiaran.

Ditanya mengapa kerajaan tidak menghulurkan bantuan untuk menjayakan majlis penyampaian anugerah tersebut, Ahmad Zahid berkata secara prinsipnya semua usaha untuk mendapatkan penajaan dijalankan oleh pihak penganjur sendiri.

"Kalau RTM, sebuah stesen kerajaan yang dikatakan tidak mempunyai wang untuk menganjurkan majlis tersebut (tapi) boleh melakukannya, tidak mustahil stesen swasta yang mempunyai keuntungan besar (juga) mampu menganjurkannya," katanya ketika membuat pengumuman tersebut kepada media di Angkasapuri hari ini.

Beliau berkata pihak Astro berjaya menganjurkan majlis penyampaian anugerah tersebut dengan baik tahun lepas.Beliau turut menekankan bahawa Anugerah Seri Angkasa yang diperkenalkan oleh Kementerian Penerangan bagi menghargai semua warga stesen penyiaran bukan lagi hak RTM, tetapi sebaliknya hak semua stesen penyiaran dalam negara, di mana penganjuran kini dijalankan secara bergilir-gilir.

Oleh itu menurutnya sebarang kejayaan dan kelemahan penganjuran majlis itu tidak lagi boleh ditujukan kepada RTM semata-mata, sebaliknya turut membabitkan semua stesen penyiaran."Penganjuran majlis penyampaian anugerah tersebut akan diserahkan kepada RTM tahun depan," katanya.

Sementara itu Media Prima Berhad (MPB) dalam satu kenyataan petang ini melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman Ahmad Zahid itu.Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda berkata MPB yang diberikan tanggungjawab menerbit ASA 2006 tidak dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut."Kami ada memohon supaya acara itu ditangguhkan kerana MPB masih di dalam usaha untuk mendapatkan pembiayaan bagi menampung kos acara itu.

Sebagai sebuah syarikat swasta, MPB perlu mendapat penaja bagi menampung kos yang begitu besar."Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak RTM melalui beberapa mesyuarat dan perbincangan," menurutnya.

MPB sudah memaklumkan kepada Pengerusi Jawantakuasa Kerja ASA 2006, merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Siti Balkish Shariff, untuk memohon penangguhan acara ASA 2006 ke tarikh baru iaitu 17 November bagi memberi masa kepada MPB untuk mendapatkan penajaan dan pembiayaan bagi anugerah tersebut.-- BERNAMA

Wednesday, June 13, 2007

TV3 SEMAKIN TUA

Melangkah ke bilik berita TV3 semakin terasing, walaupun masih ramai yang mengenali saya. Tetapi jumlah mereka yang boleh diajak duduk bersembang boleh dihitung dengan jari.

Bukan kerana mereka sombong atau saya tidak mahu bercampur dengan mereka. Tetapi jarak usia terasa diri sudah semakin tua. Topik perbualan sudah tidak lagi kena dengan cita rasa mereka dan begitulah sebaliknya.

Antara mereka yang boleh diajak berbual di kantin, Sukardi Ghani, Ghazali Yahaya (Pak Gaz), Fuad Rahman, Samat Mahat dan Shaharudin Latif (Cik Shah).

Jumlah ini akan berkurangan dari tahun ke setahun. Beberapa orang lagi rakan akan menempuh zaman pencen tahun depan.

Usia TV3 sudah menjangkau 23 tahun. Angka itu jika diletakkan pada usia manusia, yang perempuan boleh bergelar ibu dan yang lelaki sedang mengantal untuk berkahwin.

Rata-rata kumpulan pertama yang menyertai TV3 kini sudah berusia melebihi 40 tahun. Kalau dulu rambut hitam, kini semuanya beruban melain bagi mereka yang mewarna hitamkan rambut, kerana tidak percaya diri sudah tua.

Zaman TV3 di Bangsar mempunyai nilai sentimentalnya yang tinggi. Walaupun jabatan dan unit-unitnya bersepah dan terletak di beberapa bangunan secara berasingan di sepanjang Jalan Liku, tetapi hubungan diantara sesama kakitangan cukup akrab.

Kini dengan berpayungkan Media Prima di bawah satu bumbung di Sri Pentas, jangankan antara kakitangan TV3, 8TV, TV9, Hot FM dan GB kurang mengenali, mereka sesama kakitangan TV3 pun tidak tahu rakannya sekarang bertugas di jabatan mana. Itu belum lagi kakitangan NTV7 di Glenmarie, untuk berpeluang jumpa rakan seperti Mohsin Abdullah jauh sekali.

Monday, June 11, 2007

"MATAG" CERIAKAN PENANAM KELAPA BAGAN DATOH

Oleh Zuhafizah Ahmad Zaki
BAGAN DATOH, 11 Jun (Bernama) -- Mukim Bagan Datoh dan Rungkup di Daerah Hilir Perak, kira-kira 150 km dari Ipoh, memang dikenali sebagai kawasan penanaman kelapa sejak dari dulu lagi.


Industri berkenaan menjadi sumber pendapatan utama sebahagian besar penduduk setempat.

Selepas lebih 50 tahun meraih hasil dengan mengusahakan kelapa jenis Malaya Tinggi, industri itu mengalami zaman kemerosotan dan dijangka terus malap sekiranya tiada rancangan pemulihan.

Zaman 'malap' yang dihadapi sejak lebih 20 tahun lalu disebabkan, antaranya, kejatuhan harga dan kurangnya permintaan terhadap kopra kerana diganti dengan kelapa sawit.

Lebih 12,000 penduduk daerah tersebut, yang bergantung kepada tanaman kelapa, pengusahakan kawasan seluas 16,239 hektar dengan purata pengeluaran 3,500 biji setiap hektar setahun.

Bagaimanapun angka tersebut adalah tidak begitu memberangsangkan. Namun musim gelap industri kelapa mempunyai harapan kembali menyerlah apabila bekalan kelapa mentah di pasaran tidak dapat menampung permintaan.

Manakala para penyelidik pula telah menemui nilai tambah kelapa iaitu minyak kelapa dara yang bermutu tinggi dan mempunyai pasaran yang luas.

Permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa terhadap kelapa turut mengalami peningkatan mendadak terutama dalam penghasilan produk perubatan, makanan, rawatan serta produk kesihatan tambahan.

Industri kelapa dijangka akan melalui era perubahan apabila kerajaan memperkenalkan kelapa jenis Matag yang mampu memberi pulangan lumayan untuk para pengusaha.

Kelapa matag adalah jenis kacukan kelapa tempatan Malaya Rendah (Malayan Dwarf) dengan Tagnanan Tinggi dari Filipina. Ia boleh menghasilkan kira-kira 30,000 biji buah setiap hektar setahun.

Pokoknya lebih rendah, kira-kira 5.0-6.0 meter tinggi, dan mula berbuah lima tahun lepas di tanam.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan dan Pemulihan Kelapa kawasan Bagan Datoh, Burhanuddin Yusof, usaha menampung permintaan sektor industri dan pasaran tidak akan tercapai sekiranya tidak dibuat secara berpusat dan bersepadu.

"Sekiranya masalah yang melanda pengusaha di peringkat kebun tidak dapat diselesaikan, usaha kerajaan untuk memulihkan tanaman kelapa akan juga gagal seperti dulu," kata beliau.

Beliau berkata keadaan industri kelapa akan terus mengalami zaman kegelapan seperti yang berlaku dalam tiga Rancangan Malaysia yang lepas di mana tanaman kelapa tidak mendapat pemulihan secara serius.

Bagi kawasan Bagan Datoh dan Rungkup, kerajaan negeri Perak menggalakkan para pengusaha menanam kelapa jenis Matag.

Kelapa jenis ini boleh menghasilkan 25,000 hingga 30,000 biji buah sehektar setahun berbanding baka Malaya Tinggi yang hanya menghasilkan 2,500 biji sehektar setahun.

Kelapa jenis ini mempunyai hasil yang lebih baik, berisi tebal dan lebih berat apabila menghasilkan kelapa kering.

Kelapa Matag juga bersaiz lebih besar daripada kelapa jenis Mawar dan turut mampu memberi pulangan yang baik kepada penanam kerana isinya lebih tebal dan rasa yang enak.

Bagaimanapun tanpa pengurusan dan penyelenggaraan yang sewajarnya kelapa Matag juga berupaya menghidap ancaman makhluk perosak seperti kumbang tanduk, babi dan monyet pada peringkat awal pertumbuhannya.

Burhanuddin memberi contoh projek perintis penanaman kelapa Matag di Bagan Datoh iaitu seluas 220 hektar di Kampung Sungai Haji Mohamad dan Kampung Sungai Pergam pada awal 1997 dan pada tahun 2000 yang menemui kegagalan kerana tiada bantuan yang mencukupi.

"Input baja, racun, bekalan benih dan penyelenggaraan tidak diambil perhatian dan kemudiannya tanah-tanah ini dibiarkan tanpa mendatangkan pendapatan pada penanam yang terlibat," ujar beliau.

Pada tahun 2004, melalui penubuhan jawatankuasa bertindak berkenaan, pekebun kecil memohon kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Unit Perancang Ekonomi (UPE) bagi menambah peruntukan.

Lantas, projek kelapa Matag seluas 170 hektar yang mengalami kegagalan dipulihkan semula pada tahun 2005 namun ia masih gagal kerana mengalami masalah input dan ketiadaan anak benih yang dibekalkan oleh sebuah syarikat perladangan di Teluk Intan atas alasan masalah cuaca.

Sekiranya kerajaan ingin menyelesaikan masalah berkaitan penanaman kelapa tanpa melibatkan kos yang banyak, penekanan kepada aspek infra-pertanian yang sempurna dan penyediaan peruntukan penyelenggaran bagi empat tahun penanaman perlu dipertimbangkan.

"Ini meliputi benih berkualiti, racun, baja, sistem pengairan, jalan ladang. Setakat ini Kementerian telah meminta Jabatan Pertanian membuat kertas cadangan untuk memohon peruntukan tambahan," kata Burhanuddin.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kawasan Bagan Datoh telah berbincang dengan UPE dan Jabatan Perdana Menteri supaya mereka turut memberi perhatian terhadap cadangan penanaman kelapa dijalankan secara mini estet.

Sekiranya pelbagai masalah pekebun kecil kelapa tidak diselesaikan oleh pihak yang berkenaan, beliau berkata negara akan terus mengimport kelapa dari Indonesia dan Thailand dengan jumlah dan nilai yang terus meningkat.

Penanam kelapa Matag kini boleh tersenyum kerana kerajaan telah menambah bantuan kepada mereka daripada RM3,500 kepada RM6,500 setiap hektar bagi keperluan benih, pagar, pembersihan kawasan dan perparitan.

Bagaimanapun jumlah peruntukan itu tidak termasuk bantuan baja, racun rumpai dan serangga, kawalan penyakit dan penyelenggaraan tanaman, kata Burhanuddin.

"Ketika ini keperluan sebenar bagi penanaman kelapa Matag adalah RM13,000 setiap hektar bagi tempoh 4 tahun penanaman.

"Kerajaan perlu menaikkan peruntukan kadar siling dari RM6,500 kepada RM13,000 untuk mengelakkan kegagalan seterusnya," kata Burhanuddin.

Kebanyakan penanam adalah pekebun kecil yang hanya berpendapatan RM400 sebulan dan ada juga yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan tegar iaitu RM168 sebulan.

Beliau berkata potensi besar sedang menanti mereka yang terbabit dengan penanaman kelapa kerana bekalan kelapa pada masa sekarang tidak mencukupi setelah penyelidik menemui nilai tambah kelapa iaitu minyak kelapa dara tambahan yang bermutu tinggi dan mempunyai pasaran yang luas.

Pasaran kelapa muda juga amat menggalakkan di mana permintaan pasaran tempatan kini melebihi 100 juta biji setahun dan ia juga terpaksa ditampung dengan import dari Thailand dan Indonesia.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim baru-baru ini berkata minyak kelapa dara berpotensi besar meningkatkan nilai produk kelapa.

Minyak yang kini hangat diperkatakan itu mempunyai pelbagai kegunaan dalam bidang farmaseutikal untuk rawatan penyakit kulit dan sebagai bahan asas penjagaan diri, ujar beliau.
-- BERNAMA

Saturday, June 9, 2007

PAK LAH NIKAH HARI INI

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diijabkabulkan dengan Jeanne Abdullah selepas Zuhur tengahari ini.

Arahan daripada Jabatan Perdana Menteri semua kakitangan media tidak dibenarkan berkumpul di pintu pagar kediaman rasmi, Seri Perdana. Foto majlis pernikahan akan diedarkan kepada media oleh JPM kemudian. Cuma untuk mendapatkan visual dan foto daripada media rasmi, tidaklah secepat yang diharapkan.

Mengapa Pak Lah perlu kahwin pada usia sekarang?
1. Beliau keseorangan selepas kematian Datin Seri Endon. Urusan rumahtangga tiada orang yang mengambilberat walaupun beliau ramai pembantu.
2. Sebagai Ketua kerajaan Pak Lah memerlukan isteri untuk mendampinginya dalam urusan-urusan rasmi dan lebih manis dipandang.
3. Jawatan Pengerusi Bakti kosong, Datin Seri Rosmah Mansor tidak mahu memangku terlalu lama. Nanti lain pulak ceritanya.
4. Tugas untuk mengurus 'rumahtangga' sudah serasi dengan Jeanne Abdullah yang lama bekerja dengan Pak Lah termasuk sebagai Pengurus Kompleks Kediaman Perdana Menteri.
5. Anak-anak dan menantu-menantu Pak Lah sudah serasi dengan Auntie Jeanne.
6. Ramai sangat orang yang memohon jawatan Wanita Pertama terutama yang muda-muda sehingga mengganggu tugas PM (iya ke?..entah!)
7. Orang kata pada usia 40, 50, 60 dan seterusnya 70 tahun daya rangsangan lelaki semakin tergugat dan memerlukan pasangan yang lebih muda untuk bertindak balas. Dalam kes Pak Lah tak taulah faktor ini boleh diambil kira.
8. Perkahwinan ini akan memperkukuhkan lagi perpaduan antara kaum, kerana isteri Perdana Menteri seorang keturunan cina.
9. Yang paling PENTING Pak Lah perlu sentiasa gembira kerana orang yang gembira akan menghasilkan mutu kerja yang lebih cemerlang.

Tetapi yang tak menyempat-nyempat dah ada orang beri hadiah foto Pak Lah dengan Jeanne Abdullah pada majlis rasmi semalam. Ia memang molek dan tak salah, tetapi ada orang cakap janganlah 'bodek' cepat sangat.

Akhbar hari inipun dah banyak muka surat ditempah untuk ucapan itu. eloklah tu.....negeri lain tak nak ikut macam Melaka dan Pahang ke? Selamat Pengantin Baru Pak Lah!

Monday, June 4, 2007

PEMBANGUNAN DI MELAKA

DATARAN PAHLAWAN
Cantik dan serba lengkap. Ada kedai untuk barangan berjenama dan ruang khas untuk peniaga kraf tempatan. Tetapi untuk mencari ruang duduk bagi mengisi perut dan membasahkan tekak amat sukar terutama pada musim cuti sekolah dan cuti umum.

Di sebelah atas ada tanah lapang seakan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur untuk pelbagai acara.

Cuma yang agak terkilan, anak cucu-cicit kita nanti tidak dapat melihat tempat Tunku Abdul Rahman mengistiharkan kemerdekaan negara. Hanya yang boleh dilihat oleh mereka gambar-gambar dan filem-filem lama yang agak kabur di Muzium Kemerdekaan di hadapan Dataran Pahlawan ‘moden’.
BAS PANORAMA
Harganya murah, cuma RM2 untuk perjalanan ke mana-mana lebih 20 destinasi di sekitar bandar Melaka Bandaraya Bersejarah. Satu konsep pengangkutan pelancongan yang patut dipuji.

Tetapi perjalananannya agak membosankan kerana tiada penerangan diberikan apabila tiba di setiap destinasi.

Bagi pelancong yang baru pertama kali mengunjungi Melaka ia sudah semestinya suatu pengalaman yang menarik. Dan bagi penumpang tempatan pula, ia adalah perkhidmatan pengangkutan yang berbaloi kerana hanya bayar RM2 boleh ke mana-mana sahaja destinasi untuk satu hari.
BOT SG MELAKA
Menyusuli Sungai Melaka bukan sesuatu pengalaman yang indah. Sungai Melaka masih mengalir lesu dengan menyimpan lumpur di sepanjang tebing terutama ketika air surut.

Namun Kerajaan Melaka kini sedang melakukan projek menaiktaraf dan mendalamkan sungai itu untuk fasa kedua. Projek itu dijangka siap sebulan lagi walaupun mustahil daripada pandangan mata ia boleh dilaksanakan dalam tempoh itu, sebelum Pesta Air berlangsung Julai depan.

Sesetengah pihak mendakwa bot moden yang menggantikan sampan tradisional sebelum ini tidak mengambarkan keaslian budaya yang hendak ditonjolkan kepada pelancong asing.


MASJID PULAU MELAKA
Projek Pulau Melaka masih menjadi gajah putih walaupun pelbagai ulasan dan aduan sering dilaporkan. Nasib baik masjid bulat di pulau itu sudah dapat digunakan.

Sayangnya pelancong dan pengunjung luar tidak didedahkan dengan kewujudannya. Sekurang-kurangnya ada tanda arah ke masjid itu. Tetapi bukan sahaja tanda arah tidak ada, pintu pagar jalan menuju ke masjid itu ditutup dan yang hanya dibuka pintu pagar menghala keluar.

JADI WARTAWAN JANGAN KABUR


Membaca sebuah majalah yang dibeli oleh anak saya ketika dalam perjalanan ke Melaka, membuatkan hati saya terguris.

Saya membaca majalah itu kerana tertarik dengan paparan beberapa foto majlis perkahwinan anak ADUN Seri Kembangan, Dato’ Dr. Haji Mohd Satim Diman dengan pemain bolasepak Selangor, Amri Yahyah.

Saya terpanggil untuk mengetahui kandungan isi ceritanya kerana saya juga turut hadir pada majlis itu.

Sebenarnya saya tidak mengetahuipun nama majalah itu sehinggalah menyedari banyak kesalahan fakta dilakukan penulisnya, Akhrun Musa.

Antara kesalahannya, Datuk Seri Satim (belum lagi mendapat anugerah gelaran itu), Tuan Haji Ismail Jaafar, Pengerusi Tetap UMNO (sebenarnya Tan Sri Onn Ismail) dan Timbalan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Selangor untuk jawatan Dato Dr Satim (sebenarnya Timbalan Speaker).

Setelah saya belek, rupanya nama majalah itu HAI. Tak apalah bisik hati saya mungkin majalah hiburan pecisan, yang tidak mementingkan fakta sebegitu.

Tetapi setelah saya teliti lagi di ruangan Sidang Redaksi, rupanya ia terbitan Kumpulan Utusan. Kini baru saya sedar ia memang antara majalah popular di kalangan remaja.

Apa sudah jadi dengan ‘gate-keeper’ majalah itu? Mungkin kerana ia majalah hiburan ringan, fakta sebegitu tidak penting bagi mereka untuk diteliti.

Tetapi sebagai wartawan, kesalahan fakta yang kecil masih menjadi sesuatu yang serius. Ia akan hanya menjejaskan kredibiliti sesuatu penerbitan, tidak kira berupa majalah, akhbar atau program TV dan radio.

Pernah saya menegur seorang wartawan mengenai jawatan ‘Setiausaha Kementerian’ yang ditulisnya. “Kamu yakin ke dengan jawatan itu?”tanya saya.

Dia seolah-olah hairan dengan teguran saya itu. “Yang ada cuma Setiausaha Parlimen Kementerian atau Ketua Setiausaha Kementerian, jadi yang mana satu? tanya saya lagi.

Dia seakan bingung, tapi saya sudah mendapat jawapannya kerana dia ditugaskan membuat liputan sidang di Dewan Rakyat.

Satu lagi kesalahan (bukan cuai tapi tidak tahu) yang pernah saya temui dan hampir disiarkan, apabila seorang lagi wartawan memaksudkan pangkat Kpl (kopral) sebagai Leftenan Kolonel.

Mungkin mereka baru belajar, tetapi kesalahan yang amat kecil itu boleh dielak jika mereka rajin meneroka dan bertanya. Bukankah bertanya itu antara sifat wartawan?

Friday, June 1, 2007

SURAT UNTUK REGULAR 21


Panggilan daripada Kolonel Kamarul dan Kolonel Masrani semalam membuat saya perlu melakukan sesuatu untuk mengumpulkan semula Regular 21.

Cadangan Kolonel Masrani supaya Regular 21 mewujudkan laman webnya sendiri perlu dilaksanakan segera. Cadangan ini pernah diusulkan dahulu tetapi masih terbantut sehingga kini.

Lt Kol Aziz mungkin boleh membantu untuk menyediakan asas dan tapaknya kerana kepakaran bidang tugasnya.

Kewujudan laman web itu seharusnya tidak lagi tersekat selepas ini. Dan untuk permulaan jika skot semua setuju, saya boleh membuka satu lagi blog khas untuk kita.

Kita semua hendak juga tahu cerita Lt Kol Fadzellette selepas bersara, apa yang Kol Masrani dan Kol Kamarul lakukan di Mindef, apa cerita pula dengan Lt Kol Kenali, sudah ke dia bergelar Dr?

Lt Kol Fuad Hamzah sudah balik ke belum dari Poland? Bagaimana pula dengan Brig Jen. Dato Ackbal kita? Kita pun hendak juga ‘up-date’ pangkat skot-skot kita. Nanti tersalah sebut pangkat kena pulak ‘discharge’, tambah lagi jika ada yang sudah bergelar Dato.


Intake lain ada yang sudah tubuhkan Yayasan, kita bila lagi?

Oleh itu, pandangan dan maklum balas daripada semua skot amat diperlukan. War-warkanlah ye!