Saturday, October 4, 2008

TANDING KERANA NAJIB AKAN MENGAMBIL ALIH JAWATAN PRESIDEN PARTI

MASJID TANAH, 3 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesediaannya bertanding jawatan timbalan presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini berdasarkan telahan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan presiden Umno.

Katanya apabila ada kekosongan jawatan timbalan presiden, beliau telah diminta oleh akar umbi untuk menawarkan diri ke jawatan berkenaan."Saya tidak berhajat untuk "mendahului" mana-mana pemimpin, bagi saya keputusan yang saya buat berdasarkan telahan saya, Najib akan mengambil-alih jawatan sebagai presiden," katanya kepada pemberita di sini pada satu majlis rumah terbuka di kediaman mertuanya di Kampung Empang Batu, Durian Daun, di sini.

Akhbar hari Jumaat melaporkan Zahid yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno sebagai pemimpin yang pertama menyatakan kesediaannya bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Sementara itu, Naib Presiden Umno yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menyatakan hasrat bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno sekiranya berlaku kekosongan.

Ahmad Zahid, 55, ketika ditanya sama ada pengumuman beliau untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu terlalu awal, beliau berkata pengumuman itu perlu kerana persidangan mesyuarat bahagian-bahagian akan bermula Khamis ini (9 Okt).

"Kenapa perlu saya melambatkan pengumuman (jawatan itu), perwakilan bahagian akan membuat pencalonan bermula tarikh itu dan biarlah akar umbi yang akan menentukan," katanya.

Ketika ditanya hirarki dalam Umno, jawatan timbalan presiden adalah terdiri dari kalangan mereka yang telah berkhidmat sebagai naib presiden, beliau berkata bekas timbalan perdana menteri allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman ketika memenangi jawatan timbalan presiden Umno ketika itu beliau bukanlah penyandang jawatan naib presiden Umno.

"Sudah ada precedent dalam Umno, jawatan timbalan pernah dimenangi di kalangan mereka yang bukan terdiri daripada naib presiden," katannya.

Ahmad Zahid pernah memenangi jawatan pemilihan Ketua Pemuda Umno bagi 1996 dan secara automatik jawatan ketua pemuda juga setaraf naib presiden.Mengenai reaksi setelah pengumuman itu, Ahmad Zahid berkata ramai yang sokong tetapi ada juga yang memintanya bertanding sekali lagi jawatan naib presiden.
-- BERNAMA

No comments: