Monday, October 20, 2008

AHMAD ZAHID TERIMA Ph.D

Oleh HATA WAHARI

Foto : Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalam dengan Ahmad Zahid Hamidi sambil diperhatikan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis pada majlis Konvokesyen UPM, Serdang, Selangor, semalam.

SERDANG 18 Okt. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan antara 176 graduan yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) pada sesi pertama Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-32 hari ini.

Beliau yang menerima Ijazah Ph.D dalam bidang Komunikasi Kemanusiaan merupakan menteri Kabinet pertama menamatkan pengajian dalam peringkat PhD ketika masih berkhidmat.
Ahmad Zahid berkata, selama tujuh tahun sejak Januari 2001 melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD, beliau kesal dengan kata-kata sinis yang mencemuhnya.

''Kata-kata sinis yang mencemuh 'maha-situa' seperti itu mahu apa lagi untuk mengejar tanpa noktah beberapa gulung ijazah tambahan yang hanya memuaskan rasa keegoan.

''Sindiran yang lebih memualkan terdapat tanggapan dalam sekelumit tulisan oleh seorang kolumnis di media cetak apabila menganggap pengajian pasca-siswazah oleh golongan karyawan boleh dibeli dan kerja-kerja kursus diswastakan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Ph.D itu daripada Canselor UPM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, walaupun terpaksa mengambil tempoh masa yang panjang untuk menyiapkan tesis tersebut, beliau merasa puas.

Menurutnya, beliau membuat tesis bertajuk Manifesto Barisan Nasional (BN) sebagai Agenda Akhbar Bahasa Melayu Semasa Tempoh Kempen Pilihan Raya Umum.

''Terpaksa berkejar-kejar untuk menyiapkan tugasan yang kesemuanya mempunyai tempoh akhir dan adakalanya terpaksa membuat pindaan apabila persembahan kajian ditolak oleh jawatankuasa penilaian, namun itu tidak menghalang saya untuk menamatkan pengajian,'' katanya.

Pada majlis itu, UPM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Ekonomi) kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan.

Hadiah Pingat Emas Canselor pula dianugerahkan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Aini Marina Ma'rof dan penerima Anugerah Pelajaran Diraja kategori bumiputera pula ialah Faizura Rohaizad yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) sementara graduan Ijazah Sarjana Muda Sains, Yap Wing Fen pula ialah penerima kategori bukan bumiputera.

Penerima Pingat Emas Alumni ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Lee Inn Thing, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian, A'fifah Abdul Razak pula menerima Pingat Emas Yayasan Pak Rashid manakala Hadiah Syed Kechik dianugerahkan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia, Ahmad Zamri Alimin.

Sebanyak 7,846 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.
(Mingguan Malaysia 19 Oktober 08)

2 comments:

Mummy Dzeiqry et Dzahra said...

tahniah wak zahid!akan menjadi inspirasi kpd anak2buah utk blaja lg pd mase2 akan dtg! insyallah

LEKLOOK said...

Semua kena kerja kuat!