Saturday, December 29, 2007

ZAHID DITUGASKAN PANTAU KAWASAN PILIHAN RAYA

KANGAR 28 Dis. – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan mendengar dan meneliti setiap permasalahan yang wujud di kawasan pilihan raya tertentu di seluruh negara dan akan kembali ke kawasan berkenaan dalam tempoh 44 hari untuk cuba pula menyelesaikannya.

Katanya, beliau perlu turun padang untuk melihat sendiri dan mendengar setiap permasalahan yang berlaku supaya mendapat gambaran yang lebih jelas mengenainya.

“Saya akan berusaha menyelesaikan segala masalah yang berlaku di setiap kawasan pilihan raya sebaik dan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan agensi di bawah Kementerian Penerangan dan pemimpin UMNO Perlis pelbagai peringkat di sini, hari ini.

Dalam perjumpaan selama sejam itu, beliau turut diberi taklimat oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai persiapan jentera pilihan raya Perlis selain berdialog dengan pemimpin-pemimpin UMNO negeri.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Menteri Penerangan diberi tanggungjawab oleh pucuk pimpinan parti untuk memantau kawasan pilihan raya setiap negeri menjelang pilihan raya umum akan datang.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak hanya melihat atas kertas kerana katanya, ada kalanya atas kertas dipandang cantik tetapi realitinya tidak begitu.
Sumber : Utusan Online

No comments: