Tersentuh hati apabila membaca sebuah laporan di Berita Minggu hari ini. “Anak bekas penerbit TV3 dapat kerusi roda” – begitulah tajuk pada sebuah ruang berita di halaman 8 seksyen nasional.
Ahmad Ibrahim Jofri, 4 tahun iaitu anak kepada bekas Penerbit Kanan Berita Allahyarham Jofri Ibrahim yang menghidap penyakit celebral palsy menerima kerusi roda daripada UMNO Bahagian Pandan.
Otak kiri Ahmad Ibrahim bertakung air sejak kecil. Ketika hayatnya, allahyarham Jofri sering meminta kebenaran saya atau meminta menukar jadual kerja bagi menghantar anaknya itu untuk menjalani rawatan di hospital.
Saya lebih tersentuh apabila berita itu melaporkan balu Jofri, Fatehah Ahmad, 42 tahun tidak mampu menyediakan kemudahan seperti itu untuk anaknya. Menurutnya kos saraan Ahmad Ibrahim melebihi RM400 sebulan, tidak termasuk perubatan dan saraan dua lagi anaknya yang masih bersekolah.
Menurut Fatehah bebanan yang dipikulnya bertambah berat sejak kematian suaminya dua tahun lalu. Dan selama ini dia hanya menggunakan wang simpanan peninggalan suaminya untuk meneruskan hidup kerana dia tidak bekerja.
Selain penyakit Ahmad Ibrahim yang memerlukan perhatian kerana dia tidak mampu bergerak mahupun bercakap, keluarga ini juga memerlukan bantuan perumahan..
Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Datuk Mad Aris Mad Yusof selaku Ketua UMNO Bahagian yang sudi menghulurkan bantuan itu. Walaupun bekas majikan Allahyarham Jofri pernah menghulurkan bantuan pada saat lepas kematiannya, tetapi saya belum mendapat tahu kesusahan keluarga ini mendapat perhatian TV3 pada masa ini.
Terima kasih juga kepada Berita Harian kerana melaporkan berita mengenai keluarga Allahyarham Jofri. Saya juga berharap agar rakan-rakan yang mengenali Allahyarham Jofri dapat membantu keluarga ini. Insyaallah kita juga boleh berusaha untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan beban keluarga ini.
No comments:
Post a Comment