Wednesday, December 30, 2009

RASIONAL GANTI MiG-29N


Oleh AZMI HASSAN (Utusan)
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini telah mengumumkan bahawa pihak Kementerian Pertahanan sedang meneliti perolehan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) dari empat negara pengeluar iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Sweden sebagai ganti kepada pesawat pejuang sedia ada iaitu MiG-29N.

Pengumuman tersebut yang dibuat pada 28 Oktober lalu telah mengesahkan bahawa perkhidmatan pesawat tempur MiG-29N dari Rusia yang sedang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia akan ditamatkan pada penghujung tahun 2010. Pada ketika ini TUDM mempunyai 16 pesawat MiG-29N yang berpangkalan di Kuantan.

Keputusan menggantikan MiG-29N tersebut menarik perhatian ramai bukan sahaja kerana kos yang tinggi tetapi juga ia bakal merubah senario penguasaan udara rantau Asia Pasifik.


Sememangnya tidak dapat dinafikan setiap pembelian aset pesawat tempur sudah pasti akan menelan perbelanjaan yang tinggi dan keputusan yang dibuat itu sudah pun dikaji dengan mendalam.

Perolehan 18 pesawat pejuang Sukhoi SU-30 MKM sudah pasti menarik perhatian kerana ia melibatkan perbelanjaan yang agak besar iaitu sebanyak RM3.42 bilion. Tetapi kos yang tinggi tersebut dengan mudah dapat mengimbangi kepentingan strategik pemilikan SU-30 dalam konteks pertahanan dan kedaulatan negara.

Jika ada pihak yang masih mempertikaikan perolehan SU-30, suara tersebut hanyalah merangkumi golongan minoriti.

Jika ada pihak yang mempertikaikan penggantian MiG-29N, ia banyak berkisar kepada logik bahawa pesawat tersebut masih boleh digunakan kerana usia penggunaannya oleh TUDM baru menjangkau 20 tahun.

Menggunakan dalil tersebut pihak berkenaan juga telah menghujahkan bahawa keputusan penggantian MiG-29N itu bakal menguntungkan pihak tertentu yang sering berurusan dengan Kementerian Pertahanan.

Sememangnya boleh diterima bahawa MiG-29N masih mempunyai peranan dalam TUDM tetapi sepanjang dua dekad operasinya, pesawat tersebut banyak mendatangkan masalah terutama sekali berkaitan dengan kos baik pulih.

Secara puratanya kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM260 juta setahun hanya untuk senggara 16 MiG-29N iaitu satu nisbah kos senggara per pesawat antara paling tinggi di dunia.

Pada pembentangan Bajet 2010 yang lepas, Angkatan Tentera Malaysia menerima peruntukan yang agak terhad untuk urusan operasi dan pembangunan pertahanan negara.

Peruntukan pembangunan pertahanan tahun 2010 sebanyak RM1.9 bilion umpamanya adalah jauh berkurangan jika hendak dibandingkan dengan tahun sebelumnya sebanyak RM2.3 bilion.

Tambahan pula dengan perolehan dua kapal selam Scorpene, sudah pasti kos operasi aset Angkatan Tentera Malaysia akan naik dengan begitu mendadak.

Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan doktrin pertahanan Singapura umpamanya kerana Angkatan Tentera Singapura (SAF) mampu menyusun strategi pertahanan mereka dengan begitu rapi kerana mempunyai peruntukan tahunan yang agak lumayan sehingga mencapai 6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik tersebut.

Perolehan aset pertahanan SAF tidak kira sama ada melibatkan pesawat pejuang, kapal selam atau helikopter tempur, lazimnya tidak mengambil endah kos yang bakal ditanggung kerana peruntukan pertahanan Singapura membenarkannya.

Setiap keputusan perolehan aset hanya mengambil kira satu faktor, iaitu kepentingan strategik yang mampu menjamin kedaulatan negara tersebut.

Sebab itu keputusan menggantikan MiG-29N dianggap sebagai dasar yang strategik bukan sahaja untuk kepentingan menjamin kedaulatan negara tetapi juga untuk memastikan bahawa perbelanjaan sama ada untuk operasi atau pembangunan pertahanan digunakan sebaik-baiknya. Membelanjakan sebanyak RM16 juta setahun untuk operasi satu pesawat MiG-29N adalah tidak berbaloi kerana keupayaan pesawat tersebut jauh ketinggalan berbanding dengan SU-30.

Jika diteliti dari sudut strategik pula, gandingan pesawat pejuang SU-30 dengan MRCA yang bakal dibuat adalah begitu menakjubkan tidak kira MRCA tersebut dari AS, Perancis, Itali atau Sweden.

Kemampuan SU-30 sahaja dapat menandingi malah melebihi kemampuan yang dimiliki oleh jet pejuang canggih buatan AS seperti F-22 Raptor. Malah tidak keterlaluan jika dinyatakan jet pejuang AS yang lain seperti F5, F15 dan F16 seperti yang dimiliki oleh Tentera Udara Singapura (RSAF) adalah jauh ketinggalan dengan kemampuan SU-30.

Jika perolehan 18 jet pejuang SU-30 sudah menakrifkan TUDM sebagai kuasa udara yang dominan di rantau ini, maka amat pasti sekali gandingan SU-30 dan MRCA yang bakal diperolehi sudah tentu akan menjadikan TUDM sebagai kuasa udara yang perlu dihormati.

Persepsi sedemikian rupa bukan sahaja penting untuk pertahanan negara malah lebih penting untuk menjamin kedaulatan Malaysia.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Pelawat ISIS Malaysia.

4 comments:

inijoe0760 said...

Bro

Che Det tak setuju...your comment please.

Anonymous said...

Dia tak setuju sebab dia yang beli dulu. Nampaklah macam keputusan dia dulu salah. Artikel ini tepat untuk memberi alasan supaya aset itu diganti.

MacZulu said...

Pada masa tu MiG-29 terbaik, tapi Rusia dah tak minat improve MiG-29 sebaliknya semua ruble diperuntukkan untuk Sukhoi. Di Rusia, hanya 30% MiG-29 serviceable/flyable. Algeria dah reject penghantaran. India pula terpaksa menghabiskan banyak rupee utk upgrade sebab MiG-29 di India & Malaysia digunakan 2x lebih kerap dari yang sepatutnya.

leklook said...

Terima kasih Blueblood,

Good info.

Saya juga pernah melawat bengkel Sukhoi dan MiG-29 di India beberapa tahun dulu dalam lawatan Datuk Seri Najib sebagai Menteri Pertahanan.

Kawasan industrinya seperti bengkel kereta di Malaysia.