Hari ini orang UMNO mula berkumpul di PWTC. Perhimpunan Agung UMNO bagaikan pesta bagi orang UMNO.
Mereka datang dari ceruk rantau dari Perlis hingga ke Sabah. Mereka yang menjadi perwakilan sudah tentu duduk di dalam dewan. Tetapi yang meramaikan majlis akan berkeliaran membeli belah di gerai-gerai yang disediakan dan melepak di Kompleks beli-belah bersebelahan.
Pindaan perlembagaan yang akan dilakukan pada Perhimpunan Agung Khas pada persidangan kali ini banyak signifikannya. Namun berapa ramai dikalangan pemerhati di PWTC nanti faham dari segi pelaksanaannya?
Persidangan kali ini akan memperlihatkan perubahan susunan tempat duduk. Di atas pentas Majlis Tertinggi, muka-muka baru pemimpin yang dipilih pada persidangan lalu mengambil tempat.
Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Presiden akan diapit oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Naib-Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Di atas pentas mereka juga diapit oleh barisan kepimpinan yang dilantik termasuk Ketua Penerangan yang muda dan baru mendapat gelaran iaitu Dato Ahmad Maslan.
Di barisan kedua perwakilan akan melihat sendiri wajah-wajah pemimpin mereka yang dipilih menganggotai Majlis Tertinggi.
Tanpa meminggirkan pemimpin dahulu yang akan duduk di bawah, perwakilan dan ahli UMNO berharap pemimpin baru di atas pentas itu dapat bergerak mencorakkan semula parti serta berkayuh ke tebing untuk ‘mengambil’ semula (bukan ‘merampas’) maruah bangsa pada PRU akan datang.
Salam perjuangan!
No comments:
Post a Comment