Saturday, October 31, 2009

MASIH AMAL SISTEM FEUDAL UNTUK TADBIR SEKOLAH

Tak faham. Setiap tahun perkara yang sama perlu dilakukan. Tiada sistem penyimpanan data dan rekod pelajar yang kemas dan teratur.

Sakit hatipun ada. Setiap tahun ibubapa dikehendaki mengisi butiran peribadi yang sama secara manual. Nama penuh, kad pengenalan, pekerjaan, tangga gaji dan entah apa lagi……

Satu lagi yang memualkan, anak yang sudah masuk tahun kelima dikehendaki mengisi borang kemasukan ke asrama sebagaimana ketika dia menjejaki kaki ke tingkatan satu dahulu.

Kalau perlu cemerlang akademik dan sahsiah diri dan disiplin, itu tak jadi soal sebagai syarat kemasukan semula. Ini yang diminta; borang perlu diserahkan dengan sampul surat dan bersetem, salinan sijil-sijil, salinan sijil lahir dan kad pengenalan pelajar. Dokumen yang sama dulu mana perginya?

Lagi satu yang menjadi menyampah, terpaksa mencari saksi di kalangan penghulu, ketua kampung, pengawa atau pegawai kumpulan A. Ini berlaku setiap tahun di sekolah dan asrama yang sama. Pihak sekolah dan warden tak kenal ke anak didiknya yang sudah tinggal di asrama dan belajar di situ hampir lima tahun?

Apabila isteri menceritakan perkara itu kepada pengetua sebuah sekolah untuk mendapatkan tandatangan sebagai saksi, diapun terkejut beruk. Itu belum terpaksa berbaris di kaunter Pejabat Pos untuk membuat 'money order' bayaran tambahan PIBG sebanyak RM20.

Adakah kaedah ini memang menjadi amalan sekolah-sekolah yang berasrama? Kalau tidak, Kementerian Pelajaran atau Jabatan Agama Islam Selangor yang bertanggungjawab terhadap Sekolah-Sekolah Agama Menengah Tinggi di negeri itu, mengambil inisiatif memantau sistem pentadbir sekolah yang masih mengamalkan sistem feudal ini.

Wednesday, October 28, 2009

BARAH TIDAK PERLUKAN UBAT KLINIKAL

BARAH adalah penyakit yang akan terus merebak dan memberi ancaman jika puncanya tidak dihapuskan. Namun barah juga tidak memberi erti secara literalnya sebagai penyakit yang memerlukan ubat klinikal.

Dalam kontak organisasi, kewujudan kakitangan yang dianggap barah juga akan mencetuskan situasi tidak sihat. Maka akan berlakulah masalah yang tidak berkesudahan - dengki mendengki, iri hati dan menganggap diri sendiri lebih baik daripada yang lain, jesteru tidak boleh disentuh.

Barah ini akan menganggap kemerosotan prestasinya - sering datang lewat, tidak tumpu kepada tugas dan MIA sebagai berpunca daripada masalah orang lain. Situasi itu jika tidak dibendung akan menjejaskan prestasi organisasi itu secara keseluruhan.

Ubat untuk mengurangkan serangan barah itu boleh diaplikasikan dengan pelbagai cara termasuk nasihat, amaran dan surat tunjuk sebab, namun ia tidak berkesan untuk jangka panjang.

Langkah yang paling efektif, mengeluarkan kakitangan yang menjadi barah atau duri dalam daging.

Renungan : Orang yang berjaya adalah mereka yang menggunakan masalah yang dihadapi sebagai peluang.

ARAFAH - SETAHUN BERLALU


Padang Arafah sekali lagi bakal menerima tetamunya pada hari Wukuf nanti. Jutaan umat Islam akan berhimpun di kawasan ini dan menjadikannya sebagai perhimpunan umat manusia terbesar di dunia. Seminggu sebelum wukuf pekerja kontrak akan sibuk mendirikan khemah-khemah jemaah yang dikendalikan muasasah. Di kawasan perkhemahan Asia Tenggara ini, biasanya penempatan jemaah Malaysia berada bersebelahan jemaah dari Indonesia. Khutbah hari wukuf sesuatu yang amat hening dan sayu.......banyakkan doa dan minta sesuatu yang baik daripada Allah. Insyaallah diperkenankan.

Saturday, October 24, 2009

SIARAN 'BAJET' YANG PALING SUKAR DISEDIAKAN

Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri siang tadi banyak memberi manfaat kepada rakyat jelata sejajar dengan slogan ‘rakyat diutamakan’.

Namun bagi sebahagian pengamal media terutama kakitangan media elektronik yang terlibat secara langsung menyediakan produksi siaran langsung pembentangan bajet, ia sesuatu yang paling sukar dilakukan.

Biasanya sebelum pembentangan, pegawai dari Perbendaharaan akan membawa salinan teks ucapan diiringi beberapa orang anggota polis ke bilik berita.

Tahun-tahun sebelum ini mereka tiba pada sekitar jam 10 hingga 11 pagi. Namun sejak setahun dua ini mereka semakin lewat tiba. Kelewatan berlaku kerana dikatakan ada beberapa pindaan pada teks ucapan pada saat akhir.

Tetapi tahun ini kelewatan agak keterlaluan iaitu kira-kira jam 12 tengahari.

Tim produksi diketua seorang penerbit kanan semakin gelisah. Grafik, slide dan visual perlu disediakan lebih awal berdasarkan teks ucapan itu.

Tolak masa untuk bersolat Jumaat dan makan tengahari, mereka hanya ada satu setengah jam untuk menyiapkan semua keperluan produksi itu.

Lagi memeningkan kepala mereka bila pegawai Perbendaharan yang datang tahun ini tidak membenarkan mereka yang dikuarintin menyentuh teks ucapan itu, kononya untuk memelihara tahap Embargo.

Walaupun borang menyimpan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi ditandatangani, kali ini mereka tidak dibenarkan memiliki sesalin teks ucapan itu.

Buat pertama kali sejak puluhan tahun, kandungan teks dibacakan oleh pegawai Perbendaraan untuk diambil nota oleh petugas produksi di bilik tertutup.

Hasilnya, ketika ucapan pembentangan bajet, tiada banyak grafik, slide dan visual dapat disediakan untuk kemudahan penonton.

Monday, October 19, 2009

TV3 BUKAN KILANG JADI SOMEBODY

Ramai bekas kakitangan TV3 hadir pada majlis Aidil Fitri di Sri Pentas hari ini. Bertemu rakan lama, banyak cerita yang menarik daripada mereka. Ada yang jadi usahawan, bekerja dengan menteri, tapi tak ramai yang jadi ‘somebody’.

Mungkin TV3 bukan kilang untuk jadi somebody tetapi cukup setakat jadi busy body yang lebih baik daripada jadi celebrity.

Saya lebih suka jadi no body.

Sunday, October 18, 2009

LAPORAN HAJI TV9 BERMULA


Foto Fail : Kumpulan Media 2008

Musim haji bermula. Kali ini Rangkaian Televisyen Kumpulan Mediaprima masih menghantar krew untuk membuat liputan di Tanah suci. Mereka terdiri daripada seorang wartawan diwakili Pengarang Tugasan TV9 (Ghoni Ahmad) dan jurukamera TV3 (Zubir Kassim).

Mereka sudah berlepas ke Makkah pada 15 Oktober lalu dan memulakan laporan semalam (17 Oktober).

Tidak seperti tahun lalu, kali ini Tabung Haji mengenakan bayaran lebih RM12,000 seorang untuk semua kos sepanjang musim haji. Dengan syarat baru itu, RTM tahun ini tidak menghantar wakilnya ke sana. Dan kumpulan Mediaprima juga dikatakan menimbang untuk menjadikan krew ini sebagai kumpulan terakhir bersama Tabung Haji.

Tahun-tahun sebelum ini Tabung Haji bersifat pemurah dan bertolak ansur untuk melaksanakan tanggungjawab sosial bersama.

Dengan liputan media yang meluas diberikan kepada Tabung Haji, dan ruang akhbar dan masa siaran yang percuma diberikan bagi laporan haji setiap hari, kini Tabung Haji masih rela untuk mengenakan bayaran itu.

Namun demi faedah jemaah haji dan keluarga yang ditinggalkan, TV9 dan TV3 masih sanggup mengetepikan semua kekangan itu bagi melaporkan perkembangan jemaah haji di Madinah, Makkah, Arafah dan Mina.

Semuga usaha kami diberkati Allah.

Tuesday, October 13, 2009

UMNO TERUS MARA...........

Hari ini orang UMNO mula berkumpul di PWTC. Perhimpunan Agung UMNO bagaikan pesta bagi orang UMNO.

Mereka datang dari ceruk rantau dari Perlis hingga ke Sabah. Mereka yang menjadi perwakilan sudah tentu duduk di dalam dewan. Tetapi yang meramaikan majlis akan berkeliaran membeli belah di gerai-gerai yang disediakan dan melepak di Kompleks beli-belah bersebelahan.

Pindaan perlembagaan yang akan dilakukan pada Perhimpunan Agung Khas pada persidangan kali ini banyak signifikannya. Namun berapa ramai dikalangan pemerhati di PWTC nanti faham dari segi pelaksanaannya?

Persidangan kali ini akan memperlihatkan perubahan susunan tempat duduk. Di atas pentas Majlis Tertinggi, muka-muka baru pemimpin yang dipilih pada persidangan lalu mengambil tempat.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Presiden akan diapit oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Naib-Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Di atas pentas mereka juga diapit oleh barisan kepimpinan yang dilantik termasuk Ketua Penerangan yang muda dan baru mendapat gelaran iaitu Dato Ahmad Maslan.

Di barisan kedua perwakilan akan melihat sendiri wajah-wajah pemimpin mereka yang dipilih menganggotai Majlis Tertinggi.

Tanpa meminggirkan pemimpin dahulu yang akan duduk di bawah, perwakilan dan ahli UMNO berharap pemimpin baru di atas pentas itu dapat bergerak mencorakkan semula parti serta berkayuh ke tebing untuk ‘mengambil’ semula (bukan ‘merampas’) maruah bangsa pada PRU akan datang.

Salam perjuangan!

Monday, October 12, 2009

JUMPA DI PWTC ESOK

JADUAL PERHIMPUNAN AGUNG UMNO ke-60
13 OKTOBER 2009 (SELASA)
9.00 pagi - Pendaftaran perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri
Tempat - Bilik Melati, kaunter pendaftaran aras 2.
3 petang Majlis taklimat Presiden (Pre-council) oleh Bahagian Penerangan Umno.
Tempat - Dewan Merdeka, aras 4.
8 malam Majlis perasmian perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri Umno yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

14 OKTOBER 2009 (RABU)
8.30 pagi - Perhimpunan Agung tahunan Pergerakan Wanita Umno oleh Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Tempat- Dewan Merdeka, aras 4.
8.30 pagi - Perhimpunan Agung tahunan Pergerakan Pemuda Umno oleh Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Tempat - Dewan Tun Dr. Ismail, aras 2.
8.30 pagi - Perhimpuan Agung tahunan Pegerakan Puteri Umno Oleh Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Tempat - Dewan Tun Hussein Onn, aras 2.
9.00 pagi - Pendaftaran perwakilan Bahagian.
Tempat - Bilik Melati, kaunter pendaftaran aras 2.
9 malam Mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno.
Tempat - Menara Dato' Onn, tingkat 39.

JADUAL PERHIMPUNAN AGUNG KHAS UMNO
15 OKTOBER 2009 (KHAMIS)
9.00 pagi - Upacara menaikkan bendera Umno Oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Tempat - Plaza Merdeka, aras 4.
9.30 pagi - Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Umno oleh Presiden, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Tempat - Dewan Merdeka, aras 4.
10.30 pagi - Sesi bergambar Ahli Majlis Tertinggi, Exco Wanita, Pemua dan Puteri Umno.
Tempat - Dewan Merdeka, aras 4.
11 pagi - Perhimpunan Agung Khas (Pindaan Perlembagaan) oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tempat - Taman Merdeka, aras 4.
8 malam - Jamuan Perhimpunan Agung Umno
Tempat - Dewan Tun Razak 1.

PERHIMPUNAN AGUNG HARI KEDUA
16 OKTOBER 2009 (JUMAAT)
8.00 pagi - Perhimpunan Agung Umno ke-60, (Hari ke-2)
Tempat- Dewan Merdeka, aras 4.
6.45 petang pagi - Sesi bergambar urusetia bersama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tempat - Dewan Merdeka, aras 4

TAHNIAH DATO MIOR

TAHNIAH DATO MIOR, ZAINI, RIDZUAN DLL!

MELAKA, 9 Okt (Bernama) -- Seramai 11 pengamal media merupakan antara 1,230 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena harijadi ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob esok.

Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mior Kamarulbaid Mior Shahid dianugerahi Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Malaysia Zaini Hassan dan Ketua Biro Berita Harian Perak Ridzuan Yop masing-masing menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM).

Penerima bagi anugerah Bintang Khidmat Terpuji (BKT) pula ialah Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Melaka Mohamad Bakri Darus, Ketua Biro Bernama Perak Mohamad Zabidi Othman, Ketua Biro Berita Harian Melaka Amirullah Andi Nur, wartawan sambilan Melaka Hari Ini Ibrahim Idris dan bekas ketua biro Sin Chew Daily Melaka Chew Eng Sui.

Wartawan sambilan Harian Metro Melaka Nazri Abu Bakar, wartawan Sinar Harian Melaka Sharizanerni Norramlai dan wartawan sambilan Melaka Hari Ini Vincent Low pula menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
-- BERNAMA

Sunday, October 11, 2009

RUMAH TERBUKA MENTERI PERTAHANAN

Jebek - antara artis yang hadir.

David Teoh - kat sini pun nak jadi Pengarah Filem. Kan ko Penerbit Filem. Dah kaya hasil kreativiti dan talent orang Melayu.

Papa Rock turut hadir mengisi halwa telinga.

Datin Seri Tiara - hey kat sinipun nak berlakon jugak ke?

Antara tetamu di sudut ahli keluarga.

Lisa : Hey...! lama tak jumpa. Salam-salam. Nadia : Ala...Kak Lisa dah glamour. Lisa : Tak la.....


Bersama isteri tercinta.

Friday, October 9, 2009

RAKYAT MALAYSIA MEMANG BAIK

Tatkala kebanyakan sukarelawan asing lain mula meninggalkan Sumatera Barat, pasukan Malaysia masih aktif membantu. Keikhlasan Malaysia membuktikan semangat persaudaraan rakyat negara ini tetap tinggi tanpa mengira kontroversi yang melanda kedua-dua negara sebelum ini.

Menurut wartawan Berita TV9, Ahmad Fitri Che Musa yang membuat liputan ke padang, Sumatera Barat sejak 3 Oktober, rata-rata mangsa gempa bumi yang ditemui menyanjung tinggi bantuan daripada Malaysia itu.

Seorang penduduk, Aspendra mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana sanggup datang membantu mereka.

Amy Hasmawati pula mengakui mereka satu rumpun dengan rakyat Malaysia dan musibah yang melanda di Sumatera Barat turut dirasai oleh rakyat Malaysia. "Kitakan sama-sama Melayu gitu," tambahnya.

Menurut Fitri ketika pencarian korban mangsa gempa dihentikan kerajaan Indonesia, bantuan sukarelawan Malaysia kepada mangsa masih diteruskan.

Pasukan Malaysia disertai anggota mencari dan menyelamat, SMART - petugas Kementerian Kesihatan, Persatuan Bulan Sabit Merah dan anggota tentera tidak serik untuk terus membantu.

Mereka tidak mengenal penat lelah, dan sanggup mendaki bukit dan meredah hutan, semata-mata menyelamatkan mangsa di kawasan pedalaman.

"Pasukan kita tetap akan berada di sini kerana sebagai masyarakat serumpun, kita memenuhi tanggungjawab sosial. Kita masih boleh buat kerja kemanusiaan di sini. Kalau kita tenguk di daerah Pariaman, masih banyak lagi kawasan-kawasan yan g belum mendapat bantuan." jelas Sophian Isswandy Ismail, Ketua Misi Pasukan Bantuan Kemanusiaan Malaysia Ke Padang, Indonesia.

Bagi penduduk Padang, keikhlasan pasukan dari Malaysia membuatkan mereka terharu.
Kesungguhan sukarelawan Malaysia membantu, mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara.
"Selama gempa di sini belum ada yan g memerhatikan kami, kami berterima kasih kepada Malaysia kerana memerhatikan kami." ujar Hava Sitepu yang menjadi mangsa gempa.

(Laporan penuh Fitri dapat diikuti dalam Berita TV9 malam ini)

Sunday, October 4, 2009

BUNGA API KASTAM


Mercun dan bunga api kastam. Sejak hari raya pertama 20 haribulan September lalu, baru Sabtu lalu ia dapat dinyalakan. Itupun terpaksa import juru-pasang mercun dan bunga api dari Pulau Pinang.

Usop dan rakan serta sepupunya yang datang beraya ke rumah menjadi ‘gunner’ untuk menyalakan mercun dan bunga api. Anak-anak saya sekadar menjadi pemerhati. Sesekali si-bapak nak lepaskan jugak gian.

Sabtu semalam foto-foto hasil kerja tangan Usop saya terima melalui email.

Friday, October 2, 2009

BUKHARI CHE MUDA TINGGALKAN TV9


TV9 kini tiada lagi COO. Bukhari Che Muda dipindahkan ke Prime Work Studio (PWS) sebuah anak syarikat Media Prima Berhad.

Perkhidmatannya lebih diperlukan di sana sebagai pengarah yang bertanggungjawab terhadap penyediaan kandungan rancangan berbentuk keagamaan.

Semalam secara kebetulan Jabatan Berita Dan Ehwal Semasa TV9 mengadakan majlis kecil hari raya. Selain Pengarang Kumpulan NT7, 8TV dan TV9, Dato Manja Ismail, Bukhari Che Muda dijemput untuk sama-sama memeriahkan majlis.

Di akhir ucapannya, beliau menyatakan keputusan pengurusan itu dan tugas barunya yang bermula semalam.

Dato Manja dan kakitangan lain seakan terkejut dengan keputusan itu. Bagaimanapun saya yang sudah diberitahu lebih awal hanya sekadar mendiamkan diri.

Sebenarnya keputusan saya menjemput beliau pagi semalam ke majlis berkenaan juga bagi meraikan beliau dalam ‘majlis perpisahan’, walaupun ramai yang tidak tahu.

Walaupun Bukhari berpuasa enam tetapi kehadirannya memberi banyak makna kepada kakitangan Berita TV9.

Semuga Encik Bukh cemerlang di tempat baru seperti yang telah beliau lakukan pada awal kewujudan TV9 dahulu.