Sunday, May 10, 2009

SELAMAT HARI IBU

Sejak awal pagi lagi semalam saya sudah menguruskan untuk membawa semula bapa ke hospital.

Kira-kira jam 10 pagi, saya dan isteri mula bergerak ke Tanjung Malim untuk membawa bapa ke Hospital Al-Islam di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sejak keluar dari hospital Isnin lalu, bapa mengadu lututnya semakin sakit dan tidak boleh berjalan.

Di hospital bapa dirawat di wad kecemasan sebelum dibawa ke bilik 309. Beberapa tiub cecair dari lututnya dikeluarkan. Doktor memberitahu, bapa diberikan ubat yang termahal untuk lututnya, tetapi mungkin tiada keserasian.

Hari ini Hari Ibu, saya menziarahi semula bapa. Emak yang turut berada di hospital sejak dua minggu lalu balik semula ke Tanjung Malim rabu lalu. Emak terus terlantar di katil di rumah kakak.

Kedua-dua mereka berada di Hospital Al-Islam di dalam bilik berasingan secara bertentangan.

Saya tidak dapat meraikan Hari Ibu bersama emak di Tanjung Malim. Hanya doa untuk emak ketika saya berada di sisi katil bapak.

Dalam perjalanan menziarahi bapak pagi tadi, saya sempat singgah di Suria KLCC untuk menunaikan permintaan anak-anak bagi meraikan Hari Ibu buat isteri saya.

Sekurang-kurangnya saya bertuah dapat meraikan Hari Ibu bersama anak-anak untuk mendidik mereka menghargai pengorbanan insan yang bergelar ibu.

Selamat Hari Ibu.

No comments: