Sunday, May 17, 2009

KEMELUT KAYVEAS-MURUGIAH GAMBARKAN WATAK PEMIMPIN PPP

Kemelut yang melanda kepimpinan PPP bukan hanya berkisar kisah tarik tali diantara Datuk Keyveas dan Datuk Murugiah, tetapi ia mengambarkan keseluruhan watak pemimpin dalam PPP.

Plot cerita dalam parti kerdil itu adalah realiti yang berlaku terhadap orang kecil yang berjiwa besar tetapi tanpa kekuatan. Itulah imej PPP yang ditonjolkan oleh Datuk
Keyveas sejak memimpin PPP 15 tahun lalu.

Sebutlah majlis politik apa sekalipun yang membabitkan Barisan Nasional, imej PPP pastinya lebih menonjol berbanding parti gabungan BN lain yang jauh lebih besar. Setidak-tidaknya ahli-ahli PPP akan memakai baju seragam parti dengan bendera bintangnya, menengelamkan ahli parti lain. Namun kekuatan sebenar PPP tidaklah seperti yang digambarkan itu.

Kayveas mendakwa angka lebih 500 ribu anggota partinya adalah benar berdasarkan kad keahlian yang ditanda tanganinya sendiri. Namun seorang bekas pemimpin Melayu PPP bergelar Datuk yang rapat dengan saya mendakwa, angka itu hanya benar di atas kertas. Jika dibuat audit secara terperinci ia jauh lebih kecil daripada yang diawar-warkan.

Tidak dinafikan pemimpin-pemimpin PPP pandai mengambil kesempatan dalam apa juga keadaan. Berikanlah mereka apa juga jawatan, lagaknya melebihi apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Kalau diberikan mereka jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan (PBT) lagaknya seperti Yang Dipertua Majlis (YDP). Dan kalau diberikan jawatan Timbalan Menteri, lagak mereka sudah tentu macam Menteri.

Ketika saya menjadi YDP PIBG di sebuah sekolah di Puchong, seorang AJK PIBG (rapat dengan Keyveas) mengesyorkan beliau (ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dijemput sebagai tetamu dalam satu majlis sekolah bagi meraikan pelajar-pelajar keturunan India.

Tanpa memikirkan soal politik dan kelayakan beliau untuk hadir di sekolah, saya bersetuju dengan cadangan itu. Itupun atas kapasiti beliau diantara pemimpin masyarakat India yang dapat dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar berkenaan.

Tetapi janji-janjinya terhadap pentadbiran sekolah melebihi Menteri Pelajaran. Menyedari sikap beliau itu saya hanya tersenyum apabila beliau berjanji untuk membina bangunan tambahan sekolah bagi dijadikan dewan serta menyumbang beberapa unit alat pendingin udara.

Namun sebagaimana yang saya sangka sebelumnya, janji itu tinggal janji sehinggalah beliau kalah di Parlimen Taiping pada PRU-12 yang lalu. Dan tempat beliau menduduki kerusi Timbalan Menteri yang diperuntukan kepada PPP diberikan kepada bekas Ketua Pemuda PPP yang juga ahli Majlis Tertinggi parti, Datuk Murugiah. Yang saya kira itu antara punca kemelut kepimpinan PPP sekarang.

Bukan itu sahaja sikap yang ditunjukan oleh pemimpin PPP.

Selepas saya menolak untuk dicalonkan semula sebagai YDP PIBG, seorang pemimpin PPP pusat dipilih mengantikan saya di sekolah berkenaan.

Beberapa bulan selepas saya meninggalkan jawatan dalam PIBG, saya dihubungi oleh pengetua sekolah. Pengetua mengadu YDP baru telah memasukkan ramai kalangan pemimpin PPP sebagai AJK dilantik ke dalam PIBG, tanpa peraturan dan restu AJK serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Sekolah seolah-olah telah dijadikan markas PPP. Pengetua meminta nasihat saya kerana sukar untuk mengawal pemimpin PIBG dikalangan PPP yang dilihat seolah-olah mengawal pentadbiran sekolah.

Namun tidak dinafikan pemimpin PPP kuat bekerja! Antara buktinya ketika BN sibuk berkempen semasa Pilihanraya kecil di Ijok dahulu, pemimpin PPP sibuk menyediakan meja untuk menambahkan ahlinya.

3 comments:

JP said...

Macam-macam-lah PPP ni..

Scorfield said...

saya melihat dlm suasana politik hari ini perlunya untuk kita bersatu dan bekerjasama merealisasikan idea PM - 1Malaysia. Bukan terus berbalah sesama komponen dalam parti pemerintah. Pembangkang yang untung, itu bukan sesuatu yg sewajarnya kita biarkan.

Ada baik BN tak bertanding di Manik Urai. Tumpu sahaja untuk kukuhkan BN dan laksanakan projek untuk rakyat. Biarkan pembangkang bernyanyi dengan rentak mereka sendiri.

Anonymous said...

Kemelut dalam parti politik adalah perkara biasa tidak kira besar atau kecil parti tersebut. Apa yang dilihat oleh saudara leelok ialah berkaitan dengan perkara yang berlaku di sekeliling saudara tetapi cuba lihat dari kacamata yang lebih luas. Semua pemimpin mahu pengaruh dan kuasa, maka apa yang dilakukan oleh ahli PPP adalah serupa atau tidak lebih daripada ahli parti lain. Jika PIBG di sekolah yang saudara maksudkan dikuasai oleh ahli PPP, hampir semua PIBG sekolah lain dikuasai oleh ahli-ahli parti tertentu. Tidak hairanlah perkara itu berlaku di negara kita. Tapi ingat, PPP adalah parti berbilang etnik dan saya pasti AJK PIBG sekolah itu juga terdiri daripada 1Malaysia!!!!!!!!!! BOLEH