Wednesday, May 20, 2009

BINCANG ISU PALESTIN DI JALAN U THANT BERSAMA DUTA



Tiba di perkarangan kediaman Duta Palestin ke Malaysia, Abdolaziz Aboughosh di Jalan U Thant Kuala Lumpur malam semalam diri terasa tenang.

Berdiri di depan pintu sudah menunggu Abdolaziz ditemani suami kepada bekas ahli parlimen Kota Bharu, Hajjah Illani Ishak.

Kami dibawa masuk ke ruang tamu. Seorang teman bertanya sama ada perlu membuka kasut atau tidak, sebelum masuk rumah. Tetapi saya secara selamba yakin kasut tak perlu dibuka kerana tiada sebarang kasut ditinggalkan di depan pintu.

Di ruang tamu beberapa editor kanan media tempatan sudah duduk di sofa.

Sebelum makan malam dihidang, kami disajikan perbualan yang agak panjang lebar bersama Abdolaziz. Cerita lama mengenai Palestin tetapi dipersembahkan sendiri oleh dutanya ke Malaysia dengan versi dan visi baru.

Seperti pemimpin Palestin lain, beliau menyatakan kekesalan mengenai sesetengah pemimpin dunia yang memperalatan isu Palestin untuk kepentingan negara mereka. Antaranya Presiden Mahmoud Ahmadinejad dari Iran yang menukar pendirian terhadap Israel bagi mendapatkan peluang daripada Amerika Syarikat.

Menurut Abdolaziz rakyat Palestin berterima kasih kepada negara yang membantu dan tidak membantu negaranya. Tetapi amat menyesali negara lain yang mengadai isu Palestin untuk kepentingan mereka.

Ketika ditanya mengenai Hamas dan Hezbollah, Abdolaziz seakan cuba mengelak dan mendakwa media di Malaysia banyak menyiarkan laporan berdasarkan sumber barat dan sedikit melaporkan daripada sumber asal di pihak Palestin.

Apapun alasannya, rakyat Palestin akan terus dihimpit kekecewaan dan kekejaman rejim zionis selepas lebih 60 tahun berhadapan dengan situasi itu, jika umat Islam khususnya OIC tidak bersatu. Bumi Palestin akan terus bergolak, jauh lagi untuk merasa tenang seperti suasana di kediaman dutanya di Jalan U Thant.

Kami kemudian dijamu dengan pelbagai juadah Palestin yang enak yang disediakan sendiri oleh isteri Abdolaziz, Hatim keturunan Lubnan. Perbincangan mengenai Palestin kemudian diteruskan di meja makan!
Foto : Cenderahati daripada Duta Palestin.

1 comment:

Siswa UTP said...

... media di Malaysia banyak menyiarkan laporan berdasarkan sumber barat ..

Bukan sumber barat..tapi ikut telunjuk UBN (lebih afdhal dan jitu lagi jawapan yang patut diberikan).

Kenapa di Utusan (media arus perdana?) x kluar pulak berita Shahidan akui "Ahli Umno keluar parti kerana dibuang dari JKKK"

Sekarang dah pukul 6.38 petang. Berita tu kluar pukul 3.48 petang. Wartawan BN lembab buat kerja ke?

Cakap aje lah pilih bulu nak sampaikan maklumat kepada rakyat. Takut isteri Rosmah marah kan?

Kami mahu penyampaian maklumat yang lebih telus dan tepat.

Ubahlah sebelum kami balun UBN sampai rebah.

Sumber Malaysiakini:
Berita yang tak keluar kat utusan