Tuesday, June 3, 2008

PENGURUSAN PELANCONGAN BELUM BERTARAF GLOBAL

Kompleks Sejarah Pasir Salak :
Cuti panjang persekolahan seperti yang lazimnya, saya akan membawa anak-anak melancong di dalam negara. Oleh kerana cuti yang saya ambil tidak lama, saya hanya membawa mereka menziarahi bapak di kampung.

Dan untuk menghilangkan rasa bosan bapak, saya membawanya bersama anak-anak ke beberapa destnasi yang tidak jauh dari kampung.

Kali ini ke Pasir Salak, tempat J.W.W Birch dibunuh. Walaupun tidak sampai 30 minit dari kampung, saya sendiri tidak pernah menjenguk ke tempat itu. Kali ini saya terpanggil untuk singgah ke “Kompleks Sejarah Pasir Salak” itu kerana anak-anak juga begitu kepingin untuk melihatnya. Lagipun ia berada dalam perjalanan kami ke destinasi utama Damai Laut.

Dan apa yang sering kami alami ketika melancong di dalam negara sebelum ini, rupanya masih kami hadapi ketika mencari lokasi sebenar Pasir Salak kali ini. Masalah papan tanda arah, itu yang membuatkan kami menyampah!

Papan tanda itu begitu gah dipasang dari Lebuhraya utara-selatan, kemudian keluar dari Bidor ke Teluk Intan dan dari Teluk Intan ke Bagan Datoh serta sebaliknya.

Namun paling akhir kami menemui papan tanda itu di satu simpang (Kampung Dedap) dalam perjalanan diantara Jambatan Sultan Yusof dan Lumut.

Tetapi di sepanjang jalan dari simpang itu ke lokasi Birch dibunuh, tiada satu papan tanda wujud walaupun kami melalui beberapa simpang lagi selepas itu. Kesabaran saya hampir tercabar apabila kanak-kanak sekolah (depa cuti sekolah dan sedang lepak di pondok tepi jalan) yang kami tanya seolah-olah tidak tahu tempat bersejarah itu.



(Tempat Birch dibunuh - kini kurang dikunjungi pelancong)


Setelah beberapa kali berhenti untuk bertanya orang di tepi jalan, akhirnya kami tiba di lokasi yang dituju.
(Foto : Kawasan kolam yang terbiar di Resort)
Sekali lagi kami dikecewakan kerana rupanya “kompleks sejarah” itu sudah “mati”. Sudah seperti rumah yang ditinggalkan penghuni. Dan ia seakan mengiyakan laporan yang kami baca sebelum ini bahawa “Kompleks Sejarah Pasir Salak” sudah tidak diselenggarakan lagi.

Mujurlah Resort yang bersebelahan masih mampu dikunjungi pelawat ketika cuti sekolah begini. Itupun nampak malap saje.....

Teluk Batik :
Tempat ini sering saya kunjungi semasa dalam alam persekolahan dulu. Saya sering berbasikal dengan rakan-rakan ketika cuti sekolah dan berkhemah di tepi pantai. Untuk berbasikal memakan masa kira-kira dua jam. Itupun merentasi Sungai Perak dari jeti Bagan Datoh ke jeti Kampung Kayan di Seberang Perak.



(Teluk Batik sudah bertukar wajah)



Terlalu banyak perubahan yang telah berlaku. Banyak bangunan penginapan muncul bagaikan cendawan tumbuh.

Di pinggir pantai, dataran pejalan kaki terbentang luas seperti laluan depan Mahkamah Keadilan di Putrajaya.

Perubahan-perubahan itu mengambarkan sudah lama benar saya tidak berkunjung. Mungkin hampir sepuluh tahun.

(Lantai dataran sudah mengalami retak)

Namun saya rasa sedih bercampur gembira. Gembira dengan pembangunan pesat Teluk Batik yang sehingga kini kerja-kerja menaik taraf masih berjalan. Sedih kerana cara kerjanya masih bertaraf ‘cincai’.

Belumpun sebahagian kawasan sempurna kerjanya. Sebahagian lagi kawasan yang sudah siap mengalami kerosakan.

Swiss-court Holiday Appartments Damai Laut :
Kawasan peranginan yang pernah memenangi Anugerah Pelancongan Terbaik 2005/2006, kini kualitinya terlalu jauh daripada taraf itu. Banyak kemudahan tidak diselenggarakan dengan sempurna. Mereka yang datang berkunjung pastinya merasakan pemilihan percutian kali ini tidak berbaloi.

Sudahlah perjalanan dari Lumut agak jauh. Ia terpaksa melalui jalan Lumut-Pantai Remis kemudian melalui jalan sepi sejauh 7 km ke dalam. Kalau melakukan perjalanan malam lebih baik berteman! Dan jika dibandingkan dengan apartment di Teluk Batik dengan kemudahan makanan dan pantai, disyorkan lebih baik memilih Teluk Batik. Harganya lebih murah dan kemudahan lebih menarik.

Namun bagi mereka yang memerlukan kedamaian di samping bermain golf di padang yang botak, Damai Laut masih boleh dijadikan pilihan.

1 comment:

Unknown said...

Maklumat yang menarik. InsyaAllah akan balik bercuti selama sebulan di tanah air bulan Julai.
Memang tercari-cari tempat untuk melepas angin lama dan mendapat angin baru.
Cuma dengan kenaikan harga petrol yang melampau, kena fikir dua kali untuk kembara setiap tahun sejak 8 tahun lalu.
Mungkin lebih murah naik Air Asia pergi ke vietnam atau Hong Kong dari memandu di tanah air sendiri dengan petrol yang 40% naik dan tol yang tidak pernah turun walau jalan tidak diselenggara dengan baik.
Walau apapun, mahu juga singgah Sri Pentas bertemu kawan-kawan lama, itupun kalau masih dibenarkan masuk...