Wednesday, November 28, 2007

RUPANYA NAMA KAMI SAMA




Bercuti panjang ketika musim cuti persekolahan memberi peluang untuk saya membawa anak-anak ke luar dari Kuala Lumpur. Destinasi kali ini Cameron Highlands.

Pemilihan Cameron Highlands kerana kami terpanggil untuk ke bukit tinggi itu setelah kedua-dua anak kembar mengikuti rombongan sekolah mereka di minggu-minggu terakhir persekolahan mereka.

Sudah lama tidak ke Cameron Highlands, saya baru diberitahu ada jalan alternatif lain selain melalui Tapah. Rupanya jalan ke pusat peranginan itu lebih mudah dan selesa melalui Simpang Pulai.

Menggunakan jalan dari Simpang Pulai kami terus menuju ke pekan Brinchang yang letaknya lebih tinggi daripada pekan Tanah Rata. Kalau dulu Tanah Rata menjadi pekan utama, kini fungsinya telah diambilalih oleh Brinchang.

Sebelum mendaftar di hotel penginapan jam 2:00 petang, dalam perjalanan kami singgah di beberapa ladang bunga, kaktus dan teh. Ternyata anak-anak seronok dengan suasana itu.

Ketika pendaftaran di hotel, sesuatu yang tidak diduga berlaku. Semasa pegawai di kaunter hadapan hotel memanggil nama saya untuk mengambil kunci, tiba-tiba seorang lagi lelaki yang duduk berhampiran saya di lobi hotel bangun dan bergegas mendapatkan pegawai itu. Ternyata orang yang dipanggilnya adalah saya.

Namun ketika saya mengambil bag untuk memasuki lif, sekali lagi nama saya dipanggil. Saya turut bergegas ke kaunter hadapan, tetapi ternyata orang yang dipanggilnya kali ini adalah lelaki yang duduk di sebelah saya tadi.

Rupanya nama kami sama, seorang Lokman Hamidi manakala seorang lagi Lokman Hamid. Mereka yang duduk di lobi sama-sama ketawa, termasuk anak-anak dan isteri kedua-dua Lokman.

Sunday, November 25, 2007

PENYOKONG HINDRAF TERUSKAN PERHIMPUNAN HARAM

Pertubuhan Hindu Rights Action Force (Hindraf) terus mengadakan perhimpunan haram walaupun tanpa permit polis dan mendapat perintah mahkamah. Sehingga waktu ini beberapa tempat di Kuala Lumpur dipenuhi oleh sekumpulan penyokong Hindraf.

Wakil TV9, Zulkifli Che Sab yang berada di KLCC melaporkan kira-kira 20 ribu orang berhimpun di situ manakala wartawan Nurul Aishah Ab Rahman pula berkata kira-kira 5,000 orang berhimpun berhampiran City Square.

Sementara itu Presiden MIC Datuk Seri S Samy Velly dalam kenyataannya yang di hantar beberapa minit lalu, melalui SMS oleh setiausaha akhbarnya berkata MIC tidak menyokong demontrasi jalanan. Parti itu yakin untuk bekerja dalam sistem dan sentiasa melaksanakan pendekatan itu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat India.

"MIC adalah parti utama dalam menyuarakan hak masyarakat India dan akan terus melaksanakan tanggungjawab itu. Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk masyarakat India dan MIC akan meneruskan perjuangan itu. Perhimpunan ini adalah didalangi pembangkang bagi mencalar imej kerajaan", kata beliau.

Saturday, November 24, 2007

BUNGA CINTA LESTARI - SEMPENA 19 TAHUN KAHWIN

23 NOVEMBER 1988

MALAYSIA AIRPORTS ANJUR MEDIA EXPLORE HUNT

Di sebalik peristiwa ini rupanya ada sesuatu aksi yang berlaku di luar pengetahuan saya. Sama-samalah menjaga jenama diri dan organisasi. Nasihat itu pedih tetapi ia amat berharga.

LELAKI MAKAN SAMPAH

Dalam kehidupan moden ini masih ada orang hidup tanpa rumah. Di Klang ada seorang lelaki tinggal di pinggir hutan, tanpa rumah. Lelaki dalam lingkungan awal 40an itu dikatakan dihalau dari rumah oleh bapanya yang sudah berkahwin lain.

Sebelum ini dia tinggal di bawah jambatan. Kerana selalu diejek dan dihina dia berpindah ke pinggir hutan. Ramai beranggapan dia gila, tetapi rupanya lelaki itu berilmu dan mahir dalam sejarah negeri M
elaka, malah dia pandai berbahasa Jerman.

Yang amat menyedihkan dia hanya mampu makan daripada sisa yang dibuang di tempat pembuangan sampah. Apabila krew berita TV9 menemuinya setelah menjejaki lorong ‘kediamannya’, lelaki itu sedang menjamah nasi basi dari bungkusan yang dibuang orang.

Ikuti kisah lelaki makan sampah dalam Berita TV9 esok, bersama Zuhairah Mustafa Al-Husin.

Wednesday, November 21, 2007

KENA JAWAP DI MAHKAMAH KERANA SIARKAN BERITA

Sehari tidak bekerja hari ini banyak perkara boleh dilakukan. Namun saya memilih untuk bersenang lenang selepas pada sebelah pagi pergi ke pejabat ADUN Seri Serdang yang juga Ketua UMNO Bahagian Puchong, untuk urusan surat sokongan.

Di pejabat UMNO Bahagian itu, saya turut bertemu Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Senan Wahid. Banyak perkara dibualkan termasuk strategi memperkukuhkan pengurusan parti peringkat bahagian. Antaranya saya cadangkan supaya jawatankuasa pengurusan parti turun padang melawat cawangan-cawangan bermasalah.

Selain itu majlis-majlis penerangan secara besar-besaran turut dicadangkan lagi dan meminta bantuan daripada Jabatan Penerangan Khas (JASA).

Dan ketika berehat di rumah sambil melayari internet, saya mengambil telefon tangan dan terpandang ada pesanan SMS. Pesanannya ringkas meminta saya menghubungi pengirim.

Pengirim adalah setiausaha bekas bos di jabatan berita. Beliau memberitahu bahawa laporan berita dari Pahang yang disiarkan lebih setahun lalu mendapat perhatian mahkamah.

Dalam hati saya berkata, “sejak berkhidmat di jabatan berita tak pernah kena saman, ingatkan boleh terlepas kerana selama ini orang lain aje yang sangkut. Rupanya kena jugak”.

Saya sepatutnya diminta hadir pada mesyuarat hari ini mengenai tindakan mahkamah berhubung penyiaran berita itu. Tetapi kerana saya bercuti, saya hanya dimaklumkan mengenai tindakan saman itu.

Sebagai editor atau penerbit berita yang menjadi pengamal media memang terdedah dengan tindakan saman seperti itu. Untuk memegang jawatan itu seseorang harus bersedia meletakkan sebelah kaki di penjara.

Oleh itu sebagai ‘gate-keeper’ mereka perlu peka dengan fakta dan kesahihan berita yang ‘dilepaskan’. Bagaimanapun tanggungjawap wartawan di lokasi terutama yang bertugas di luar daerah amat penting dalam menentukan kesahihan sesuatu berita. Ini kerana mereka dekat dengan sumber maklumat.

Dan seperti biasa jika laporan berita itu mempunyai bukti kukuh, tindakan saman boleh dicabar di mahkamah. Di sinilah peranan wartawan yang menulis berita itu untuk menegakkan kebenaran.

Kepintaran wartawan memberikan bukti akan membantu organisasi media dan ‘gate-keeper’ yang bertugas daripada dikenakan tindakan mahkamah. Berdoa aje le……..

Tuesday, November 20, 2007

HAJI SIRAJUDDIN MOKHTAR DALAM KENANGAN

(Israfil mewakili keluarga menyampaikan kata-kata sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan di Cheras Baru)
Foto : Agenda Daily

(Datuk Zahid antara keluarga terdekat yang hadir) Foto : Agenda Daily

Sepupu saya bekas wartawan Utusan, Haji Sirajuddin Mokhtar kembali ke rahmatullah Ahad lalu (18 November) dalam usia 66 tahun.

Sejurus selepas menerima SMS daripada adiknya Israfil (bukan malaikat) malam itu, yang menyatakan abang sulungnya meninggal dunia, saya sudah merancang untuk menulis sesuatu mengenai Allahyarham di sini. Namun disebabkan tiada masa terluang saya tidak dapat melakukannya.

Semalam sekembali dari menziarahi dan menyertai saudara -mara dan sahabat-handai melakukan solat jenazah ke atas Allahyarham, saya juga tidak berkesempatan untuk menulis. Saya hanya singgah di rumah untuk mandi sebelum pergi kerja.

Malam kematiannya juga saya tidak dapat pergi ke rumah Allahyarham di Ampang kerana giliran saya menunggu emak di hospital.

Malam tadi saya merancang lagi untuk menulis mengenai Allahyarham tetapi tidak menjadi. Hasrat saya untuk menyiarkan foto Allahyarham dalam entry tidak kesampaian. Foto terakhir Allahyarham yang saya ambil ketika penamaan calon Pilihanraya Kecil di Ijok hilang dalam simpanan di komputer.

Allahyarham Haji Sirajuddin adalah satu-satunya saudara saya yang terlibat dalam bidang kewartawanan sebelum ada ahli-ahli keluarga lain menyertainya.

Selepas menamatkan tugas di Utusan, Allahyarham aktif dalam pelbagai pertubuhan. Di dalam politik beliau adalah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ampang Jaya.

Sifat mudah mesra beliau menyebabkan Allahyarham mempunyai ramai kenalan. Ini terbukti apabila ramai sahabat beliau datang memberi penghormatan terakhir.

Antara yang kelihatan hari itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Khalid Mohd, bekas wartawan utusan yang bertukar menjadi ahli politik Datuk Rosnah Majid, bekas Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Badrul Hisham, Ketua Pengarang Agenda Daily Rosli Ismail dan orang kuatnya, Hanafiah Man serta ramai lagi wartawan-wartawan veteran yang saya tidak kenal kecuali Aimi Jar.

Untuk mengetahui di sebalik nama Haji Sirajuddin Mokhtar, sila ikuti sebahagian tulisan daripada seorang sahabat Allahyarham yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir di surau berhampiran rumahnya, Isnin lalu.

Saya fokuskan catatan saya kali ini kepada seorang rakan senior yang baru kembali menyahut seruan Ilahi tatkala saya baru sahaja membuka komputer kira-kira pukul 8.00 malam Ahad 18 November. Ketika itulah telefon bimbit saya berbunyi memberi isyarat ada pesanan ringkas yang baru diterima.

Bukan satu, tetapi dua sekali. Satu SMS datangnya daripada Rosli Ismail (Ketua Pengarang Agendadaily) dan satu lagi daripada Rosle Azmi, pegawai Utusan yang cukup rapat dengan saya. Kedua-dua mereka menghantar SMS yang sama iaitu memberitahu Haji Sirajuddin Mohktar, wartawan Utusan yang kemudiannya menjadi Pegawai Kebajikan, telah kembali ke rahmatullah kira-kira setengah jam sebelumnya. Sambil membaca Al-Fatihah, saya lantas terkenangkan Allahyarham ketika saya mula-mula menyertai Utusan Melayu.

Allahyarham Sirajuddin, mempunyai kolumnya sendiri dalam Utusan Malaysia yang disiarkan setiap Isnin. Kolumnya diberi nama Dari Fail Polis manakala beliau menggunakan nama HC Raj.

Saya amat gemar membaca ruangannya sejak sebelum menyertai Utusan lagi. Ruangannya dipenuhi dengan catatan semula penuh dramatis mengenai kisah-kisah benar yang beliau liputi.

Cara penyampaiannya amat menarik, sehingga terasa seolah-olah beliau berada di tempat kejadian kerana penggarapan yang realistik. Sebahagian daripada ratusan rakan dan saudara-mara yang menziarah jenazah Allahyarham Sirajudin Mohktar di Ampang, Selangor, Isnin.

Satu lagi ruangan yang cukup menarik ialah Kisah Dari Mahkamah, catatan semula oleh Ahmad Jais Hashim – wartawan dari meja mahkamah. Seperti juga HC Raj, Ahmad Jais menulis dengan penuh lakaran dan perincian walaupun beliau hanya mendapatkan bahan berdasarkan fakta-fakta yang diperoleh dari mahkamah. Susah untuk mendapat ruangan menarik seperti kedua-dua orang wartawan cemerlang Utusan berkenaan.

Tatkala menyetai Utusan pada tahun 1984, saya dapati hanya HC Raj wartawan veteran yang masih turun padang mendapatkan berita untuk meja jenayah. Yang seusia dan seangkatan dengan beliau, semuanya telah dipindahkan ke meja penyunting atau berada di pejabatr-pejabat cawangan yang berselerakan di seluruh Negara. Ramai juga yang meninggalkan Utusan kerana menyertai Allahyarham Khalid Jeffri yang menjadi ‘boss’ Harian Nasional yang dibuka pada tahun 1983.

Walaupun kelihatan ‘miss-fit’ dengan kelompok wartawan muda, sebahagiannya layak dipanggil anak, namun HC Raj tetap pandai menyesuaikan diri. Di pejabat, panggilan glamornya ialah Haji. Tidak ada yang memanggil namanya Siraj kerana nama yang sama dirujuk kepada seorang lagi wartawan tersohor iaitu Ketua Penyunting dan kemudiannya Penolong Ketua Pengarang, Dato’ Sirajuddin Rafia.

Pada waktu petang, akan terdengarlah jeritan Siraj kepada HC Raj bertanyakan apa berita besar yang boleh dijadikan berita utama. “Belum ada lagi, nanti kita cari.’’ Begitu HC Raj memberi jaminan kepada Siraj tatkala menghadapi suasana kering iaitu tiada berita menarik yang layak dijadikan berita utama.

Ada, ketikanya, HC Raj boleh menghasilkan berita-berita besar dengan membuat satu panggilan telefon sahaja kepada sumber beritanya. Sumber-sumber beliau memang hebat, kalau setakat Ketua Polis Daerah, beliau tak perlu telefon kerana pegawai-pegawai berkenaan akan menelefon beliau.

Pegawai-pegawai kanan di Bukit Aman adalah rakan sepermainan dan rakan semakan-minumnya. Begitulah HC Raj.

Allahyarham seorang yang pemurah. Banyak selok belok penulisan berita dan rencana jenayah yang saya pelajari daripada beliau. Beliau tidak lokek ilmu, sentiasa mahu menunjukajar – bukan sahaja cara-cara penulisan yang baik, tetapi menjalin dan mengekalkan perhubungan dengan sumber .

Suatu petang, tatkala kami menurun tangga pejabat untuk pulang, HC Raj menjerit-jerit memanggil nama saya dan beberapa rakan yang lain. “Di Kajang, ada bas ekspres dari Singapura terhumban. Boleh tolong pergi tak…” . Beliau tidak mengarahkan kami pergi, tetapi sekadar bertanya. Begitulah diplomasi dan ‘public relations’ yang beliau amalkan.

Kami semua, iaitu saya, Wahi Ahmad (raja gelak Utusan), Mohd. Nor A. Samad (pelatih ITM ketika itu – kini pengarang di akhbar Kosmo) serta pelatih dari UKM, Shamsiah Mohd. Amin, setuju pergi.

Kami menghala ke Kajang dan apabila selesai tugas, kami kembali ke pejabat kira-kira pukul 9.30 malam untuk menghasilkan berita. HC Raj juga, rupa-rupanya tidak balik ke rumah, beliau menunggu kami untuk ‘clear story’. Begitulah sifat kepimpinan beliau walaupun beliau bukan ketua meja jenayah (ketika itu tiada jawatan ketua), tetapi rasa bertanggungjawabnya sangat tinggi.

Suatu hari, kira-kira pukul 9.00 malam, ketika menghala ke kereta untuk pulang, HC Raj bertanya bolehkah saya membantunya untuk meninjau lokasi kemalangan jalan raya di Lebuhraya KL-Seremban iaitu berdekatan dengan Bangi.

“Ada kamerakan… cuba ambil gambar, kalau menarik, esok boleh pakai,;; katanya dengan penuh sopan.

Oleh kerana lokasi tidak jauh dari rumah, saya pergi ke tempat kejadian. Melihat kesan-kesan kemalangan, memang menyahat hati. Saya ternampak botol susu, kereta sorong dan anak patung bertaburan di celah-celah semak. Tidak lama kemudian, kelihatan beberapa orang kakitangan PLUS dan anggota polis berkejar ke arah semak berkenaan.

Rupa-rupanya mereka terdengar tangisan bayi….. Ya Allah.. masih ada mangsa yang belum dapat dikesan……

HC Raj sentiasa tersenyum orangnya. Mukanya sentiasa kelihatan manis – sama seperti sepupunya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi iaitu Timbalan Menteri Penerangan. Sirajuddin Mohktar dan Ahmad Zahid Hamidi kedua-duanya nama Melayu, tetapi mereka keturunan Jawa.

Sekali-sekala HC Raj pandai juga membuat lawak, apatah lagi jika beregu dengan seorang lagi rakan veteran berjiwa muda iaitu Wahi Ahmad, wartawan sukan yang fanatik kepada pasukan bolasepak Selangor.

Hampir setiap petang, rakan-rakan wartawan dari akhbar lain, khususnya yang berbahasa Cina akan menelefon HC Raj. “Haji, ini hari apa ada..?’’ begitulah pertanyaan yang sering dihamburkan kepada beliau kerana rakan-rakan lain memang cukup takut kena scoop iaitu istilah taboo di kalangan wartawan.

Skup bermaksud hanya satu akhbar sahaja yang dapat sesuatu berita berkenaan manakala yang lain ternganga sahaja. Jika kena skup, maka panaslah punggung kena sapu dengan boss.

Jika ada rakan yang sakit dan terlantar di hospital, HC Raj adalah di antara orang yang terawal memaklumkan kepada rakan-rakan dan menganjurkan program ziarah. Begitu jugalah jika ada kematian di kalangan rakan-rakan sepejabat atau ahli-ahli-ahli keluarga, HC Raj jugalah yang akan sibuk bersama Ali Marican membuat pelbagai urusan dan persiapan.

Jiwanya terpahat di Utusan hingga ke akhir hayat. Selepas bersara dari Utusan, HC Raj bergiat pula bersama-sama Datuk Zainuddin Maidin dalam Kelab Veteran Utusan Melayu – satu badan yang menggabungkan semua bekas kakitangan Utusan demi merapatkan siratulrahim.
Banyak rakan di Utusan tertanya-tanya kenapa HC Raj ‘tercicir’ di meja jenayah. Ramai yang dapat mengagak, tetapi biarlah ia menjadi rahsia Utusan.

Rezeki tetap ada. HC Raj akhirnya dipelawa menjadi pegawai di Jabatan Korporat. Saya rasa, majikan telah membuat pemerhatian dan penilaian terbaik terhadap kakitangan yang seorang ini. Memang begitulah HC Raj, beliau memang terlibat dalam banyak hal berkaitan kebajikan kakitangan di samping menjadi salah seorang penggerak utama surau di Utusan.

Malah, di luar Utusan, beliau juga terlibat dalam banyak urusan kebajikan dan khairat kematian. Oleh itu memang wajarlah beliau dilantik sebagai Pegawai Kebajikan – satu jawatan yang paling sesuai dan dipegang hingga ke akhir perkhidmatannya.

Sekali lagi…Al-Fatihah untuk Allahyarham Sirajuddin Mokhtar. Semoga rohnya dicucuri Rahmat. - 19/11/2007

(dipetik daripada Agenda Daily)

Saturday, November 17, 2007

ANUGERAH PENYAPU - APA HAL SAMA LU?

Semua orang heboh apabila MB Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo menganugerahkan penyapu kepada PBT yang gagal mencapai sasaran kutipan cukai.

Di Dewan Rakyat, perkara itu turut dibangkitkan. Tidak kurang tokoh-tokoh kesatuan sekerja dan orang perseorangan. TV3 juga tidak ketinggalan cuba memanipulasi isu itu, menyertai beberapa media lain.

Selain yang menyanggah, tidak kurang pula yang memberikan reaksi positif. Ulasan daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) perlu diambil kira.

Yang Dipertuanya, Tan Sri Rozali Ismail berkata MB Selangor sudah berbincang dan mendapat persetujuan semua jabatan dan setiap Yang Dipertua majlis daerah sejak lebih setahun lalu.

Saya juga berpendirian begitu ketika isu itu mula dihebohkan. MB ketika mengumumkan keputusan itu dulu selepas mensyuarat EXCO, pernah menjelaskan keputusan menganugerah penyapu telah dipersetujui oleh semua pihak berkenaan.

Jadi apa nak dihebohkan? Kalaupun bantahan atau memorendum nak diberikan, mengapa tidak ketika ia mula diumumkan dahulu?

Isu itu ibarat bapak menghukum anak, jiran buat bising. Sebelum melaksanakan hukuman, bapak dan emak yang disertai anak-anak mereka duduk berbincang. Semua setuju dengan hukuman yang akan dilaksanakan.

Apabila seorang anak bersalah dan dihukum dengan denda yang telah dipersetujui keluarga, tiba-tiba jiran di luar bising dan komen hukuman tidak sesuai dan tidak kena. "Apahal pulak kau orang nak buat bising?" kata si bapak.

Friday, November 16, 2007

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TEMPAT BERSANTAI

Perhimpunan Agung UMNO 2007 sudah seminggu berlalu. Kesan daripada usul yang dibahaskan oleh perwakilan tidak banyak dapat diulas oleh ahli-ahli di peringkat bahagian atau cawangan.

Ahli-ahli akar umbi lebih berminat membincangkan mengenai apa barang yang mereka beli pada perhimpunan itu dan apa peristiwa yang melucukan sepanjang persidangan berlangsung.

Apa kisah sangat dengan ucapan dasar Presiden, usul ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial. Apalah sangat dengan pengulungan oleh Presiden, Timbalan Presiden dan ahli Majlis Tertinggi yang lain. Janji dapat bilik hotel, makan ‘free’ dan tambang orang bayarkan sudah cukup sebagai upah menjadi orang politik akar umbi – jadi permerhati.

Ketika perwakilan sibuk membahaskan usul, lorong-lorong di kawasan jual-beli sesak sehingga tak ada ruang untuk bergerak. Tetapi ruang di depan skrin besar di lobi PWTC masih banyak kosong untuk berlari.

Di kompleks beli belah bersebelahan PWTC tidak kurang juga wanita berbaju putih dan berkain merah, perempuan berbaju merah jambu serta lelaki berbaju Melayu berlegar untuk membeli belah.

Tidak kurang juga lelaki muda berbaju Melayu serba putih bersamping merah lambang keris bersilang, berborak di dalam bilik hotel. Apa kisah orang nak bahas apapun!

Yang penting bila orang tanya apa dibincangkan dalam dewan, esok boleh baca surat khabar dan boleh cakap perkara yang sama, seolah-olah sepanjang masa berada dalam dewan. Apa hal itu semua, yang penting ‘work smart’.

Selain itu belumpun pemilihan UMNO, agen-agen sudah ramai berkeliaran dan berjinak-jinak dengan orang media. Masa inilah baru nak telefon kawan di media. “Ada slot tak untuk siAnu, bagilah sikit ruang”, itu antara kata-kata agen.

Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri pula begitu senang untuk diajak diwawancara. Biasanye orang media akan mengekori mereka di kawasan mereka. Tapi di PWTC orang media pula macam bos, diekori oleh YB.

Ada seorang EXCO dari Pahang yang dulu sama-sama jadi ‘balaci’ cukup senang diajak berbual, walaupun sebelum ini bila bertembung, macam tak nampak aje muka kita.

Perhimpunan Agung UMNO tahun depan pasti lebih hebat apabila pemilihan parti berlaku. Seperti biasa orang medialah yang akan menjadi sasaran untuk mendapatkan publisiti……..

Friday, November 9, 2007

JOM JADI PENGEDAR SURAT KHABAR

Perbahasan yang hangat, idea yang bernas dalam Perhimpunan Agung UMNO - tapi kalau masalah pengedaran surat khabarpun tak mampu kita atasi, nak ke mana kita 50 tahun akan datang? Jom pakat jadi pengedar surat khabar dan penanam sayur!...

Ambil iktibar daripada tulisan di bawah.

Benda ni mungkin kecil.Dicelah kemeriahan dan gah Perhimpunan Agung UMNO kali ini baru ada yang terfikir hal ini.

Kebetulan Khamis 8 November hari kedua perhimpunan jatuh bersamaan dengan perayaan Hari Deepavali.Kita pun sedia maklum siapa control pengedaran surat khabar di negara ini.

Nasib baik Utusan dan sebuah akhbar Cina terbit juga.Kalau tidak alamatnya orangramai hanya dapat mengikuti kisah perhimpunan itu di TV dan internet saja.

Masa sembang dengan beberapa orang perwakilan ada yang tepuk dahi mengenangkan bagaimana masih lemahnya orang melayu dalam kebanyakan sektor perniagaan di negara ini.

“Deepavali…orang kaum India cuti kita dah jem tak ada orang nak edar suratkhabar,”kata salah seorang kawan tu.

Ini kita baru cakap bab edaran suratkhabar.Cuba fikir tentang macam-macam barangan lain yang strategik seperti bahan binaan dan peralatan itu ini.

Sekarang boleh tahan juga pasal sudah ada banyak pasaraya besar-besar di merata tempat.

Dulunya bila Tahun Baru Cina melilau orang nak cari ikan dan sayur sebab kebanyakan orang Cina yang berniaga di pasar cuti panjang.

Berapa ramai orang Melayu tanam sayur? Nelayan mungkin ramai Melayu tetapi siapa control pengedarannya ke pasar-pasar?

Kita sudah 50 tahun Merdeka dan bab ekonomi orang Melayu sudah berbuih di perbahaskan di Perhimpunan Agung UMNO,kongres dan macam-macam forum lain.

Seorang lagi kawan merungut kalau difikir makin dalam…makin dalam …makin nampak bagaimana lemah orang Melayu.

“Apa sektor perniagaan yang kita control ?”katanya.

Seorang lagi mencelah mengaku orang Melayu memang amat lemah dari segi networking perniagaan tak macam orang Cina dan India.

“Kita masih kuat lagi dengan sikap Melayu nak bunuh Melayu dari nak saling tunjang menunjang…bayangkan kalau bab nak edar suratkhabar pun kita tak ada networking ,”katanya.

Bab sikap ni memang tak boleh salahkan kerajaan ataupun parti pemerintah. Sebab segala macam dasar menang dah cantik.Macam-macam agensi nak tolong Melayu dah bertahun-tahun ada. Mana salah silapnya?

“Memang letih kalau nak fikir...” kata kawan tadi.

(Sumber : Agenda Daily)

Tuesday, November 6, 2007

DAGING BABI HALAL DI SINGAPURA?


Email yang saya terima daripada seorang teman membuatkan hati tersentak dan segera menyiarkannya di sini.

Diperturunkan email berkenaan, untuk kita berkongsi dukacita bersama.

Subject: FW: FW: Halal Pork in SingaporeBe Cautious !!!

Subject: Halal Pork

Assalamualaikum,I would like to raise a concern on an incident. I was given the attachedpic from a fellow Chinese colleague asking if its possible for pork togohalal.

This pic was taken from an SIN NTUC with the date at thebottom but however, the person refuse to reveal which exact branchthis is from.

I hope you are able to step up some investigation on this. It reallyscares me thinking teenagers who would try out of curiousity or maybe amaid who don't know much reading and depend on the Halal logo.
Kindly revert.

JADI BIDAN TERJUN


Hari ini saya berkesempatan menjengah studio TV di PWTC sempena Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Sepanjang perjalanan ke sana dari gerai jualan, ramai kenalan sama ada media dan ahli UMNO menyapa.

Saya terpaksa mengambil masa lama untuk sampai ke studio sementara TV kerana tersekat beberapa kali mengambil peluang berbual dengan mereka. Nasib baik ‘orang rumah’ yang pertama kali mengikuti saya, memahami keadaan itu.

Antara rakan media yang membenarkan saya menjengah ialah rakan-rakan di TV3, RTM, NTV7 dan UMNOtv.

Editor Eksekutif, Shaharuddin Latif antara bos TV3 yang saya temui. Manakala di studio NTV7 saya berkesempatan berbual panjang dengan Editornya, Zainal Epi yang saya kenali lebih 20 tahun lalu ketika bertugas di akhbar The Star.

Namun ketika berada di luar bilik operasi TV3, saya diminta menjadi ‘bidan terjun’ oleh Setiausaha Penerangan UMNO, saudara Nasir Jantan bagi mengiringi Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib meninjau bilik operasi TV3.

Ketika lawatan bekas Menteri Besar Selangor itu, tiada bos TV3 berada di sekitar bilik itu kecuali ‘orang kuat’ berita TV3 di Pahang, Khaidir Ahmad.

Namun ketika berbual dan menerangkan sedikit sebanyak operasi berdasarkan pengalaman yang saya alami, saya memberitahu Tan Sri, “saya kini tiada lagi bersama mereka”.

Seorang Penerbit Berita TV3 mengusik ketika saya sedang berbual dengan Shaharuddin, “Tempat jatuh lagi dikenang, ini kan pula tempat…..”

Tapi yang membuat saya pilu apabila Tan Sri Muhammad bertanya “mana dia studio TV9?” Dalam hati saya menjawap, “mungkin bila Republikan atau Demokrat Amerika Syarikat bersidang di Dewan Merdeka”.

FAKTA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2007


1. Jumlah perwakilan Perhimpunan Agung UMNO >> 2,522 orang
2. Jumlah perwakilan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO >> 791 orang
3. Jumlah perwakilan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO >> 787 orang
4. Jumlah perwakilan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO >> 773 orang
5. Sebanyak 33 parti politik dari 31 negara telah diundang untuk menghadiri perhimpunan kali ini.
6. Setakat ini, 12 parti politik dari 12 negara telah mengesahkan kehadiran >> 34 orang delegasi 7. Seramai 57 wakil Kelab UMNO Luar Negara telah mengesahkan kehadiran daripada 68 kelab yang diundang.
8. Usul-usul yang akan dibahas ialah Ucapan Dasar Presiden, Usul Ekonomi dan Pendidikan, serta Usul Agama dan Sosial.

(sumber : Utusan online)

SAMY VELLU TIDAK ADAKAN RUMAH TERBUKA

Setiausaha Akhbar Menteri Kerja Raya, saudara Sivabalan menghantar dua SMS yang bercanggah. Semuanya berhubung majlis rumah terbuka sempena Deepavali dan kaitannya dengan perobohan kuil Hindu.

SMS pertama pada jam 1:18 petang memaklumkan, Presiden MIC itu menyatakan partinya tidak akan mengadakan majlis sambutan Deepavali. Kenyataan penuh akan difakskan kemudian.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian pula menyebut, Presiden MIC menasihatkan pemimpin parti termasuk Timbalan Menteri dan Setiauasaha Parlimen dari partinya tidak perlu mengadakan majlis rumah terbuka bagi menghormati perasaan masyarakat Hindu.

Ia berpunca daripada tindakan merobohkan kuil Hindu di Selangor. Bagaimanapun majlis sambutan Deepavali hanya akan diadakan secara tertutup di kalangan rakan dan sahabat terdekat.

Namun SMS kedua yang diterima pada jam 6.54 petang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Mesej itu menyatakan disebabkan permintaan ramai dari kalangan penganut Hindu supaya MIC mengadakan rumah terbuka, maka semua Wakil Rakyat MIC akan meneruskan untuk mengadakan majlis rumah terbuka pada hari Deepavali.


Menurut SMS Siva lagi, "sila abaikan kenyataan terdahulu Datuk Seri S Samy Vellu. Kenyataan terbaru daripada Presiden MIC akan menyusul".

Kenyataan itu juga menyebut Datuk Seri Samy Vellu tidak akan mengadakan rumah terbuka tahun ini berikutan kematian seorang saudara kandungnya baru-baru ini.

Monday, November 5, 2007

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO ADA NILAI SENTIMENTAL

Perhimpunan Agung UMNO bermula malam ini dengan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sejak pagi tadi ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dipenuhi ahli-ahli UMNO dan pemerhati dari seluruh negara.

Keadaan ruang legar itu akan menjadi semakin sesak Rabu ini apabila Perhimpunan Agung UMNO bermula dengan ucapan dasar Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sebelah pagi. Ia akan terus sesak sehingga petang Jumaat ini apabila Presiden parti dan kepimpinan tertinggi UMNO membuat pengulungan.

Sebagaimana dijangka, perbahasan akan berkisar kepada perjuangan UMNO untuk 50 tahun akan datang dengan merujuk sumbangan UMNO untuk tempoh 50 tahun lalu.

Isu yang dibangkitkan pada perhimpunan tahunan itu semestinya dilapor dan dikupas oleh semua media, dan tidak perlu diulas di sini. Begitu juga dengan cerita-cerita sampingan di sepanjang persidangan itu.

Bagi anggota media, selain mencari bahan berita, kehadiran mereka juga untuk bertemu rakan-rakan lama. Walaupun tidak bertugas, hadir pada Perhimpunan Agung UMNO setahun sekali, seakan menjadi satu kemestian.

Pernah beberapa tahun lalu selepas beberapa hari menjalani pembedahan, saya hadir juga di PWTC semata-mata untuk menikmati suasana di sekitar persidangan selain untuk bertemu rakan lama media dan politik.

Sesungguhnya Perhimpunan Agung UMNO ada nilai sentimental yang menakjubkan dan sukar dipisahkan. Walaupun tahun ini kurang berperanan kerana pertukaran tuntutan kerja, kehadiran di PWTC masih pasti.