Menerima senaskah tabloid daripada seseorang yang tidak dikenali, hujung minggu lalu, menimbulkan rasa kecurigaan terhadap maksudnya. Ia penuh sarat dengan pelbagai rencana mengenai kedurjanaan gerakan komunis antarabangsa yang telah mencelakan umat manusia selama lebih satu abad, khususnya Parti Komunis China (PKC).
Kehadiran beberapa orang (lebih kurang empat orang, lelaki dan wanita) ketika penduduk taman perumahan meraikan majlis sambutan Tahun Baru Cina, hanya beberapa minit sahaja. Setelah habis mengedarkan beberapa naskah, mereka dilihat meninggalkan majlis yang 90% terdiri daripada rakan kita kaum Cina. Kehadiran saya atas jemputan sebagai pemimpin kecil masyarakat.
Tabloid berkertas kualiti (seakan The Edge) dengan “maskhead” bertajuk “9 Komentar terhadap Parti Komunis” itu, disertai subheading dengan tajuk “sebuah buku yang menghancurkan Parti Komunis”.
Sembilan komentar yang termuat adalah; Apa ialah Parti komunis, Permulaan Parti Komunis China, Mengkomenkan Kezaliman Parti Komunis China, PKC Merupakan Kuasa yang Menentang Alam Semesta, Jiang Zemin dan PKC Saling memperalat untuk Menindas Falun Gong, Mengomentarikan Parti Komunis China Membinasakan Kebudayaan Bangsa, Sejarah Pembunuhan Parti Komunis China, Hakikat Parti Komunis China Ialah agama Sesat dan Sifat Gengsterime Parti Komunis China.
Yang menjadikan saya tertanya-tanya apakah desakan untuk mengedarkan risalah itu. Apakah sudah ada tanda-tanda fahaman itu mula berputik lagi di kalangan sebahagian masyarakat negara ini? Mungkinkah juga ia sebagai protes terhadap permohonan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng untuk menghadiri prosiding mahkamah di negara ini berhubung permohonannya kembali bermastautin di Malaysia bersama pengikutnya.
Chin Peng @ Ong Boon Hua, 84 tahun dalam permohonannya meminta defendan menyediakan dokumen sementara atau passport bagi memudahkannya dan bekas anggota PKM menghadiri perbicaraan itu yang ditunda kepada 30 April ini di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).
Apapun kedurjanaan PKM meninggalkan parut yang tak mudah padam di hati rakyat Malaysia. Ia lebih menusuk sanubari anggota keselamatan (polis dan tentera) dan waris mereka yang terbunuh atau cacat seumur hidup kerana mempertahankan negara daripada angkara Pengganas Komunis.
No comments:
Post a Comment