"Balik Kampung", lagu Sudirman yang sering didengar di radio menjelang Hari Raya. Kanak-kanak seusia setahun yang tidak pernah kenal dengan Allahyarhampun terhibur. Dan setiap kali menjelang raya itulah lagu yang menjadi siulan kanak-kanak seusia itu untuk mengambarkan kegembiraan mereka untuk balik kampung.
Dan hari ini walaupun bukan musim raya anak kecil saya turut menyanyikannya. Bukan untuk beraya di kampung tetapi janji saya untuk membawa mereka pulang ke kampung hari ini, akan tertunai. Cuti panjang raya Cina dulu saya terpaksa berkerja, orang media mana tentu cutinya. Kebanyakan adik-beradik pulang ke kampung cuti raya Cina dulu. Bagi anak-anak saya, saya janjikan hari ini, cuti penggal sekolah untuk balik kampung.
Sebenarnya saya dan adik-beradik serta anak-anak saudara saya bertuah. Dalam usia menjangkau separuh abad, saya masih mempunyai kedua-dua Emak dan Bapak. Namun mereka yang sudah melebih 80 tahun sunyi di kampung, bertemankan pembantu rumah, orang Indonesia. Layanan sudah semestinya bukan seperti layanan daripada anak-anak. Kesian mereka!
Mereka sekarang selalu sakit-sakit. Emak sudah tidak tahan duduk lama, baring di bilik dengan Air-Cond sentiasa terpasang. Berjalan ke dapur sudah tidak segagah dulu. Bapak, sebelah mata sudah tidak dapat melihat, setelah pembedahan di Hospital Teluk Intan yang tidak sempurna. "Mungkin kerana dia selalu baca Quran, Alhamdulilah penglihatan sebelah lagi mata masih cerah", kata Pakar Mata hospital UKM, Cheras.
Setiap tiga bulan mereka akan bermalam di "rumah kedua" mereka, iaitu Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC). Kadang-kadang sehingga dua tiga minggu. Dr Ishak Mas'ud sudah macam anak mereka. Kerana terlalu lama di hospital, rumah anak-anak di KL tak sempat dijenguk, kerana mahu cepat pulang. "Lama tinggalkan kampung", kata mereka. Itulah rutin kehidupan mereka.
Sakit mereka akan beransur sembuh bila anak-anak dan cucu-cucu balik kampung. Sebenarnya kalau dijadualkan, anak-anak dan cucu-cucu boleh balik kampung setiap minggu tanpa gagal. Enam anak lelaki ada di KL, dua perempuan di Tanjung Malim. Kalau ikut jadual, seorang anak hanya balik kampung dua bulan sekali jenguk Emak dan Bapak. Tapi itu tidak berlaku kerana masing-masing "sibuk".
Kami sentiasa doakan semuga Emak dan Bapak selalu sihat! Amin
(Insyaallah petang ni kami sampai.)
1 comment:
tak tahu la kan lek..? seorang mak boleh jaga 10 anak..10 anak belum tentu boleh jaga seorang emak.. May Allah Bless our family..
Post a Comment