Tuesday, March 13, 2007

BALIK KAMPUNG




Hari Jadi Emak

Pulang ke kampung hujung minggu lalu banyak menemui peristiwa yang tidak diduga. Hasrat utama balik kampung untuk bertemu Emak dan Bapak, rupa-rupanya dikesampingkan dengan sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Emak.

Ia diraikan bersama-sama pelajar tahfizah yang menuntut di institusi tahfiz di sebelah rumah. Majlis ringkas dan bermakna itu dipenuhi dengan bacaan tahlil yang diketuai oleh Bapak. Semuga
Allah panjangkan usia Emak. (lihat foto di Pena Tumpul)


Pertandingan Memancing Ikan Tilapia (Macrognathus aculeatus)

Selepas subuh, ruang di sebelah rumah dan tepi jalan di hadapan rumah semakin dipenuhi orang ramai. Rupa-rupanya mereka menyertai pertandingan memancing ikan tilapia. Sebanyak 100 ekor ikan tilapia merah dilepaskan ke dalam saliran air di depan rumah Jumaat lalu.

Bayaran penyertaan paling murah yang pernah saya temui, hanya RM3 setiap peserta. Pertandingan memancing bersama keluarga itu dianjurkan sempena majlis perasmian Pusat Pengumpulan Hasil-Hasil Pertanian di Kampung Sungai Nipah Darat oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Saya yang tidak bersedia ditawarkan untuk turut sama. Saya mendaftar untuk empat ahli keluarga dan bayaran RM3 lagi untuk setiap pancing beserta joran. Hadiah tidaklah mahal sangat sesuai dengan bayaran penyertaan; Johan RM300, Naib Johan RM200 dan Ketiga RM100.


Haji Omar – Usahawan Jaya

Haji Omar Haji Sufian , seorang anak jati Kampung Sungai Nipah Darat yang gigih. Bermula dengan bekerja sebagai pengopek kelapa. Pada tahun 1995, beliau kemudian membuka perniagaan secara kecil-kecilan menjual santan kelapa dengan modal permulaan RM1,500.

Kini beliau telah berjaya memasarkan perniagaannya dengan mengumpul dan memasarkan kelapa bulat dengan purata 5,000 biji sehari, kelapa muda 500 biji sehari dan pisang 3 tan sehari. Beliau memasarkan hasil pertanian itu di sekitar Ipoh, Kuala Lumpur dan Selangor. Kini hasil perniagaannya mencecah lebih sejuta ringgit setahun.

Keberkatan rezeki Haji Omar kerana beliau seorang yang pemurah!



Zahid - Anak Emak

Dalam kesibukan menghadiri pelbagai majlis (Ahad lalu tujuh majlis), sempat juga Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa untuk ibunya.

Aksi Zahid bersama ibunya (lihat foto di atas) dirakamkan ketika orang ramai menyambut ketibaan beliau untuk merasmikan Pusat pengumpulan hasil-hasil pertanian di kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh.


No comments: