Saturday, July 23, 2011

OPS PASIR 2011 - CATATAN 1



Tahun 2008, dan kini tahun 2011 saya menyertai lagi lawatan Menteri Pertahanan bersama Editor Kanan ke barisan hadapan pertahanan negara.

Ops Pasir, di perairan Sabah kali ini tertumpu di bahagian Selatan. Kalau dulu lawatan diketuai Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kali ini ia diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penerbangan dengan pesawat Udara C-130 TUDM dari Pangkalan Udara Subang berlepas kira-kira jam 8:45 pagi menuju Lapanga Terbang Tawau. Penerbangan mengambil masa kira-kira empat jam berbanding pesawat komersil lebih dua jam.

Selain Datuk Seri Zahid, Editor Kanan, wartawan, jurugambar dan blogger turut serta dalam penerbangan pagi itu Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Datuk Razak dan Assistan Ketua Staf  Pengurusan Strategik TUDM, Brig Jen Karim Abdul.

Oleh kerana lama tidak bertemu dan berbual bersama, saya diarah duduk oleh menteri bersebelahan dengannya sejurus selepas beliau tiba dengan rombongan. Manakala tempat duduk saya di dalam pesawat itu diambil alih oleh MA1 (Penasihat Ketenteraan Satu)  Menteri Pertahanan, Brig Jen Dato' Md Dzahir Abd Rashid.

Terdapat beberapa perubahan dalam senarai asal rombongan. Antara yang tidak menyertai walaupun telah disenaraikan; KSU Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Hj Ismail Ahmad,  ADUN Rungkup, Dato' Sharani Mohammad dan MA2 Lt Kol Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Dalam penerbangan,  saya turut diajak naik  oleh Menteri Pertahanan ke bahagian hadapan tempat juruterbang. Juruterbang, Lt Kol Ishak, Datuk Seri Zahid dan saya kemudian berbual banyak perkara termasuk hal ehwal kebajikan pegawai dan anggota tentera serta pelan strategi pembangunan kementerian tanpa peningkatan dalam peruntukan perbelanjaan.

Setibanya di Lapangan Terbang Tawau, kami disambut oleh beberapa pegawai kanan tentera termasuk Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Kamarulzaman, Panglima Armada, Laksamana Datuk Jamil dan Panglima 1 Div, Lt Jen Dato Awie Suboh. Kami kemudian terus dibawa ke Kem Kukusan untuk menjamu selera makan tengahari seterusnya menghadiri sesi taklimat Ops Pasir yang disampaikan oleh Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brig Jen Ezam Wan Chik dan seterusnya melawat ATB 2 - Joint Regional Command Centre.

Selepas acara di Kem Kukusan kami dibawa ke tempat penginapan di Hotel Marco Polo. Kedatangan saya di hotel ini kali ini adalah yang kedua selepas lebih sepuluh tahun.  Kunjungan pertama dulu bersama rombongan EXCO Pemuda UMNO yang diketuai Datuk Seri Mohd Najib.

Dan pada sebelah malamnya, tepat jam 7 kami bergerak ke kapal KD Mahawangsa untuk majlis Barbeque.

No comments: