Sunday, July 24, 2011
OPS PASIR 2011 - CATATAN 2
Setibanya kami di kapal KD Mahawangsa, rombongan diketuai Menteri Pertahanan disambut oleh Pegawai Memerintah (CO) kapal berkenaan, Kapt Jamil Abd Rahman TLDM serta anak buahnya seramai 136 pegawai dan anggota.
KD Mahawangsa adalah sebuah kapal dalam kategori Multi Purpose Command Surpport Ship (MPCSS). Kapal yang berusia kira-kira 30 tahun itu telah ditauliahkan ke dalam TLDM pada 16 Mei 1983.
Ia berkeupayaan mengangkut 17 buah kereta perisai dan 600 anggota tempur. Kapal berkenaan juga mampu bergerak dengan kelajuan 16.5 knot. Ia turut dilengkapi dengan persenjataan berat, radar dan keupayaan kargo dalam jumlah yang besar.
Kapal berkenaan juga pernah mendapat pelbagai anugerah antarabangsa dan TLDM kerana perkhidmatannya.
Kumpulan rombongan yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kemudian dibawa turun ke bahagian bawah menggunakan platform (lantai). Lantai yang boleh memuatkan kira-kira 50 orang pada satu-satu masa itu bergerak perlahan menuruni empat tiang untuk sampai ke bawah.
Di lantai bawah yang digunakan untuk membawa anggota dan kenderaan tempur kini dijadikan dewan banquet untuk majlis barbeque malam itu.
Pada majlis jamuan itu saya diletakkan di meja utama bersama-sama menteri, Panglima Angkatan Bersama (PAB) - Laksdya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Armada TLDM - Laksdya Datuk Jamil, Panglima 1 Div - Lt Jen Dato Awie Suboh, CO KD Mahawangsa - Kapt Jamil serta editor kanan dari NST - Santha Oorjitham dan Pengurus Besar Berita & Ehwal Semasa TV Al-Hijrah - Saadullah Che Nor.
Dan sebagai acara selingan sambil menjamu selera, majlis diserikan dengan pertandingan karaoke di kalangan pengamal media. Acara karaoke dimulakan dengan dendangan lagu daripada tuan rumah, CO Kapt Jamil, anak Perak dari Ipoh.
Pemenang pertama ditawarkan hadiah wang tunai RM1000, kedua RM750 dan ketiga RM500. Jumlah hadiah yang lumayan menarik ramai peserta mengambil bahagian termasuk yang bersuara 'katak' dan 'penyu'.
Kami pulang ke hotel kira-kira jam 10 malam kerana sebahagian wartawan dan jurugambar perlu bertolak jam 4 pagi keesokannya untuk bergerak menaiki bas ke jeti Semporna yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment