Thursday, July 28, 2011

OPS PASIR 2011 - CATATAN 5











Lawatan sempena Ops Pasir diteruskan dengan mengunjungi masyarakat di Pulau Danawan. 

Pulau Danawan berkeluasan 0.63km persegi dan terletak di garisan Lat 4' 18.39 N dan Long 118' 51.56 E.

Pulau ini mula diterokai oleh Maharaja Mahmud bin Sangkalang dan Panglima Abu Sari bin Goni pada sekitar 1911.

Kedua-dua pemimpin itu berasal dari Derawan, Indonesia. Dan sebagai mengenangkan kampung kelahiran mereka, maka penempatan yang diterokai itu telah dinamakan sebagai Danawan, seakan-akan nama tempat asal mereka.

Kini pulau ini didiami oleh seramai 1400 orang penduduk. kebanyakan mereka adalah sukun kaum Bajau dan hampir keseluruhannya merupakan nelayan tradisonal. Diantara kemudahan prasarana yang ada di pulau ini ialah sekolah rendah, balai raya dan surau.

Pada lawatan kali ini, Menteri Pertahanan bermesra dengan penduduk dan menyertai projek Jiwa Murni dengan mengecat balairaya. Selain itu beliau melakukan lawatan ke lokasi rawatan perubatan dan pergigian yang diberi oleh angkatan tentera secara peecuma.

Selepas menikmati juadah tengah hari bersama penduduk, Datuk Seri Dr Zahid turut  bersama-sama mereka bersolat jumaat di surau. Bacaan khutbah Jumaat disampaikan oleh pegawai agama tentera manakala solat Jumaat diimamkan oleh Datuk Seri Dr Zahid.

Selepas solat jumaat jemaah luar yang terdiri daripada anggota tentera dan rombongan dari Kementerian Pertahanan dan media meneruskan solat Jamak dan Qasar untuk solat Asar. Namun rata-rata penduduk tempatan yang kurang didedahkan dengan solat itu kebingungan walaupun sudah diberitahu untuk tidak menyertai solat berkenaan.

Selepas solat Datuk Seri Dr Zahid menyerahkan sejadah, Al-Quran serta buku-buka agama. Beliau juga menyerahkan sumbangan peribadi untuk membina tandas di surau itu,  yang ketika ini tiada kemudahan berkenaan.

Ketika menyertai rombongan Datuk Seri Najib ke pulau ini tahun 2008, banyak kemudahan masih tidak disediakan. Kini beberapa bangunan lain di sekitar bangunan sekolah sudah wujud termasuk balairaya dan bangunan sistem solar.

Tamat lawatan, dua helikopter Nuri membawa rombongan Menteri Pertahanan yang disertai pegawai kanan tentera dan editor kanan ke Sandakan, manakala kumpulan wartawan dan jurugambar menaiki bot CB-90 TLDM ke jeti Semporna sebelum menaiki pesawat udara C-130 TUDM di Tawau untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Wednesday, July 27, 2011

OPS PASIR 2011 - CATATAN 4








Ops Pasir adalah singkatan daripada operasi 'Pandanan And Sipadan Island Resort.'

Ia dilancarkan 11 tahun lalu iaitu pada 18 September 2000 setelah aktiviti dan kegiatan perlanunan menjadi-jadi berikutan pergolakan di wilayah selatan Filipina. 

Kegiatan penculikan oleh saki-baki kumpulan Abu Sayyaf semakin membimbangkan penduduk dan pelancong di kawasan itu. Rintitan penculikan di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan di sekitar perairan Semporna itu, kawalan lebih menyeluruh dan bersepadu diwujudkan.

Pada 15 Oktober 2001, mesyuarat kajian semula Ops Pasir memutuskan kawasan tanggungjawab dibahagi kepada dua sektor iaitu utara dan selatan, di bawah 'command' Markas Angkatan Bersama, MAB 2. Ia mengabungkan anggota dan aset daripada tiga cabang ATM, iaitu tentera darat, laut dan udara.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Ops Pasir bukan sahaja asas untuk mempertahankan aset negara malah sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan konflik lebih besar di Laut China Selatan membabitkan tuntutan bertintih beberapa negara.

"Demontrasi yang dipamerkan bagi menunjukan kesiagaan anggota keselamatan yang bertugas di bawah ops pasir ini. Keupayaan dalam demostrasi ini merupakan aspek deteran atau cegah rintang", tambah Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Kamarulzaman Baharuddin.
 
Antara taktik menyelamat tebusan yang digunakan ialah risikan dan tinjauan daripada pasukan PASKAL, serta helah letupan, serangan secara 'fast roping' dan penggunaan bot pemintas.

Dalam pada itu, sistem pengawasan Ops Pasir dilengkapi dengan adanya Joint Regional Commad Centre (JRCC). Sistem pemantauan ini bertindak memberi maklumat dan menghantar visual pada masa sebenar keadaan di kawasan perairan dan daratan yang dipantau.
 
Markas Angkatan Tugas Bersama (MAB2) di Sabah juga turut mengatur-gerak terup tentera darat dengan menduduki dan menguasai 33 penempatan strategik di sekitar perairan yang dipertanggungjawabkan. Ia termasuk 22 penempatan di 20 buah pulau dan sebelas penempatan di persisir 
pantai.

Anggota pasukan yang ditempatkan di kawasan berkenaan bertugas secara bergilir-gilir selama tiga bulan.
 

Monday, July 25, 2011

OPS PASIR 2011 - CATATAN 3









Jam 7 pagi, pegawai kanan dan editor kanan menyertai menteri ke kem Kukusan untuk menaiki pesawat Nuri ke Pulau Danawan. 

Manakala sebahagian besar wartawan, jurugambar dan bloggers sudah meninggalkan hotel itu jam 4 pagi lagi menaiki bas ke jeti di Semporna, sebelum menaiki bot ke Pulau Danawan.

Dua pesawat Nuri berlepas ke Pulau Danawan, tiba secara bergilir-gilir di tempat pendaratan di depan pintu kem 22RAMD. Kem ini menempatkan sebahagian anggota rejimen itu yang berkawal di beberapa pulau berhampiran. Manakala sebahagian lagi anggotanya berada di markas pasukan di Semporna.

Setelah disajikan jamuan ringgan, kami dibawa ke jeti berhampiran untuk menaiki bot ke Pulau Siamil bagi menyaksikan demontrasi operasi pembebasan tawanan oleh anggota ATB.

Demontrasi pembebasan membabitkan pesawat Nuri, anggota komando Paskal, Handau dan Gerakhas dapat disaksikan di atas bot yang berlabuh di luar pesisir pulau berkenaan. Bot yang membawa rombongan wartawan dan jurukamera serta blogger turut menyertai kami menyaksikan demontrasi itu.

Ketika saya mengikuti rombongan Datuk Seri Najib dahulu, kami disediakan platform di atas jeti manakala jurukamera ditempatkan di atas platform tinggi di tepi pantai bagi merakamkan aksi demontrasi itu. Penyertaan aset dan agensi keselamatan pula lebih ramai membabitkan pasukan udara PDRM, polis marin dan APMM.

Setelah tamat demontrasi, kami dibawa semula ke Pulau Danawan untuk acara seterusnya.

Sunday, July 24, 2011

OPS PASIR 2011 - CATATAN 2



Setibanya kami di kapal KD Mahawangsa, rombongan diketuai Menteri Pertahanan disambut oleh Pegawai Memerintah (CO) kapal berkenaan, Kapt Jamil Abd Rahman TLDM serta anak buahnya seramai 136 pegawai dan anggota.

KD Mahawangsa adalah sebuah kapal dalam kategori Multi Purpose Command Surpport Ship (MPCSS). Kapal yang berusia kira-kira 30 tahun itu telah ditauliahkan ke dalam TLDM pada 16 Mei 1983.

Ia berkeupayaan mengangkut 17 buah kereta perisai dan 600 anggota tempur. Kapal berkenaan juga mampu bergerak dengan kelajuan 16.5 knot. Ia turut dilengkapi dengan persenjataan berat, radar dan keupayaan kargo dalam jumlah yang besar.

Kapal berkenaan juga pernah mendapat pelbagai anugerah antarabangsa dan TLDM kerana perkhidmatannya. 

Kumpulan rombongan yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kemudian dibawa turun ke bahagian bawah menggunakan platform (lantai). Lantai yang boleh memuatkan kira-kira 50 orang pada satu-satu masa itu bergerak perlahan menuruni empat tiang untuk sampai ke bawah. 

Di lantai bawah yang digunakan untuk membawa anggota dan kenderaan tempur kini dijadikan dewan banquet untuk majlis barbeque malam itu.

Pada majlis jamuan itu saya diletakkan di meja utama bersama-sama menteri, Panglima Angkatan Bersama (PAB) -  Laksdya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Panglima Armada TLDM - Laksdya Datuk Jamil, Panglima 1 Div - Lt Jen Dato Awie Suboh, CO KD Mahawangsa - Kapt Jamil serta  editor kanan dari NST - Santha Oorjitham dan Pengurus Besar Berita & Ehwal Semasa TV Al-Hijrah - Saadullah Che Nor.

Dan sebagai acara selingan sambil menjamu selera, majlis diserikan dengan pertandingan karaoke di kalangan pengamal media. Acara karaoke dimulakan dengan dendangan lagu daripada tuan rumah, CO Kapt Jamil, anak Perak dari Ipoh.

Pemenang pertama ditawarkan hadiah wang tunai RM1000, kedua RM750 dan ketiga RM500. Jumlah hadiah yang lumayan menarik ramai peserta mengambil bahagian termasuk yang bersuara 'katak' dan 'penyu'.

Kami pulang ke hotel kira-kira jam 10 malam kerana sebahagian wartawan dan jurugambar perlu bertolak jam 4 pagi keesokannya untuk bergerak menaiki bas ke jeti Semporna yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan.

Saturday, July 23, 2011

OPS PASIR 2011 - CATATAN 1



Tahun 2008, dan kini tahun 2011 saya menyertai lagi lawatan Menteri Pertahanan bersama Editor Kanan ke barisan hadapan pertahanan negara.

Ops Pasir, di perairan Sabah kali ini tertumpu di bahagian Selatan. Kalau dulu lawatan diketuai Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kali ini ia diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penerbangan dengan pesawat Udara C-130 TUDM dari Pangkalan Udara Subang berlepas kira-kira jam 8:45 pagi menuju Lapanga Terbang Tawau. Penerbangan mengambil masa kira-kira empat jam berbanding pesawat komersil lebih dua jam.

Selain Datuk Seri Zahid, Editor Kanan, wartawan, jurugambar dan blogger turut serta dalam penerbangan pagi itu Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Datuk Razak dan Assistan Ketua Staf  Pengurusan Strategik TUDM, Brig Jen Karim Abdul.

Oleh kerana lama tidak bertemu dan berbual bersama, saya diarah duduk oleh menteri bersebelahan dengannya sejurus selepas beliau tiba dengan rombongan. Manakala tempat duduk saya di dalam pesawat itu diambil alih oleh MA1 (Penasihat Ketenteraan Satu)  Menteri Pertahanan, Brig Jen Dato' Md Dzahir Abd Rashid.

Terdapat beberapa perubahan dalam senarai asal rombongan. Antara yang tidak menyertai walaupun telah disenaraikan; KSU Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Hj Ismail Ahmad,  ADUN Rungkup, Dato' Sharani Mohammad dan MA2 Lt Kol Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Dalam penerbangan,  saya turut diajak naik  oleh Menteri Pertahanan ke bahagian hadapan tempat juruterbang. Juruterbang, Lt Kol Ishak, Datuk Seri Zahid dan saya kemudian berbual banyak perkara termasuk hal ehwal kebajikan pegawai dan anggota tentera serta pelan strategi pembangunan kementerian tanpa peningkatan dalam peruntukan perbelanjaan.

Setibanya di Lapangan Terbang Tawau, kami disambut oleh beberapa pegawai kanan tentera termasuk Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Kamarulzaman, Panglima Armada, Laksamana Datuk Jamil dan Panglima 1 Div, Lt Jen Dato Awie Suboh. Kami kemudian terus dibawa ke Kem Kukusan untuk menjamu selera makan tengahari seterusnya menghadiri sesi taklimat Ops Pasir yang disampaikan oleh Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Brig Jen Ezam Wan Chik dan seterusnya melawat ATB 2 - Joint Regional Command Centre.

Selepas acara di Kem Kukusan kami dibawa ke tempat penginapan di Hotel Marco Polo. Kedatangan saya di hotel ini kali ini adalah yang kedua selepas lebih sepuluh tahun.  Kunjungan pertama dulu bersama rombongan EXCO Pemuda UMNO yang diketuai Datuk Seri Mohd Najib.

Dan pada sebelah malamnya, tepat jam 7 kami bergerak ke kapal KD Mahawangsa untuk majlis Barbeque.

Thursday, July 14, 2011

ADAKAH INI HANYA DAKWAAN PEMUDA PAS PERAK?

Kenyataan Media (14 Julai 2011)

KRISIS UMNO PERAK: ZAMBRY HILANG KAWALAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak ingin mendedahkan pergelutan dalaman Umno Negeri Perak semangkin parah berikutan kegagalan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir mengawal serta bertindak matang di dalam memastikan pengurusan Umno Perak atau pentadbiran konsep parti menguasai kerajaan tidak berlaku di dalam Umno / Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang menyebabkan kegusaran Ketua Umno Bahagian yang didedahkan kepada kami oleh sumber-sumber yang hampir dengan Umno Perak.

Akibat kesombongan dan sikap bongkak Datuk Seri Zambry terhadap Ketua Umno Bahagian yang hanya diberikan kedudukan sebagai Ahli Majlis Pihak Kerajaan Tempatan (PBT), menyebabkan Umno Bahagian hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Zambry. Malah semasa kehadiran Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Utara Perak baru-baru ini, diambil kesempatan Ketua Umno Bahagian yang menaiki bas bersama Tan Sri Muhyiddin meluahkan perasaan mereka.

Ini termasuk beberapa kalangan EXCO Kerajaan Negeri yang di bawah mereka terdapat Anak Syarikat Kerajaan Negeri hilang fungsi berikutan peranan yang dimainkan Anak Syarikat Kerajaan Negeri melebihi kuasa seorang EXCO Kerajaan Negeri, dedah yang memberikan maklumat tersebut. Malah semua saranan Ketua Umno Bahagian ‘dibakul sampahkan’ oleh Datuk Seri Zambry, disebabkan itu terdapat tiga kumpulan di dalam Umno Perak kini.

Sikap megah di atas keperibadian diri sendiri adalah punca beberapa Ketua Umno Bahagian hilang hormat kepada Datuk Seri Zambry dengan merasakan kerana beliaulah Umno / BN Perak berjaya mentadbir semula Kerajaan Negeri serta kejayaan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Perak. Ini termasuk sebagai bukti apabila peranan kewujudan Institut Darul Ridzuan (IDR), Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan YBU Holding secara tidak langusng telah mengambil alih peranan Anak Syarikat sedia ada.

Dimanakah peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pertanian Negeri Perak (PPNP) serta potfolio setiap EXCO Kerajaan Negeri yang berkaitan?

Tidakkan peranan IDR, YBUDR dan YBU Holding melebihi berperanan daripada PKNP, PPNP dan seorang EXCO Kerajaan Negeri? Malah Ketua Umno Bahagian yang tidak diberikan peranan merasakan kurang puas hati berikutan tindakan Datuk Seri Zambry tersebut.

Malah Ketua Jabatan Kerajaan juga terkilan dengan beberapa tindakan luar kawalan yang turut dimainkan oleh IDR, YBUDR dan YBU Holding tanpa kawalan oleh Datuk Seri Zambry. Malah sumber memaklumkan, dengan sikap Datuk Seri Zambry tersebut akan menyebabkan Umno / BN Perak akan terus gagal.

Bagi kami, Datuk Seri Zambry boleh bertanyakan kepada semua Ketua Umno Bahagian di dalam Mesyuarat Umno Perak nanti. Sudah pasti usaha bagi menukar Datuk Seri Zambry menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 antara perubahan drastik bagi memulihkan Umno Perak yang semangkin tenat.

Kami mengucapkan terima kasih kepada yang menyalurkan maklumat krisis dalaman Umno Perak yang sebenarnya ‘retak menanti belah’ sahaja.

SAFARIZAL SALEH
Penolong Setiausaha,Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Tuesday, July 12, 2011

'BERSIH'kan TAHI AKU DULU


9 Julai, Sabtu lalu sejarah hitam Kuala Lumpur terlakar lagi. Pencetusnya orang yang sama ketika perhimpunan haram reformasi selepas Anwar Ibrahim disingkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Peserta perhimpunan haram puas hati kerana polis dapat menangkap mereka, kerana itu yang diingatkan mereka. Kalau tiada tangkapan tiada isu. Kalau tiada pancutan air dari kenderaan FRU tiada modal untuk diketuk tong kosong dan kalau tiada gas pemedih mata dilepaskan tiada fitnah nak dijaja.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana seorang pemimpin berserban dari pantai timur boleh membandingkan perhimpunan sejuta belia di Putrajaya dengan perhimpunan haram mereka di tengah bandaraya. Kalau di Putrajaya boleh, mengapa mereka tidak boleh.

Anak kecil di TADIKApun boleh membezakan dua suasana itu, namun kerana kedangkalan dan sikap taksub membabi-buta - mereka melihat perhimpunan yang menyusahkan rakyat itu sebagai jihad. Yang mati sakit jantung kerana menempah bala menyertai perhimpunan haram dianggap mati syahid. Disanjung bak wira. Anggota polis yang bertungkus lumus memastikan keamanan, disamakan dengan tentera rejim Yahudi.

Kalau aku dapat berak di Pudu Raya ketika itu, mahu rasanya aku campakan tahi aku ke tengah mereka yang berhimpun itu, supaya dapat dibersihkan mereka.