Sunday, February 13, 2011

MAK CIK SALMAH (WO) SELAMAT DIKEBUMI



ALOR GAJAH, 13 Feb (Bernama) -- Jenazah ibu mertua kepada Menteri Pertahanan, Salmah Yahya, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Batu 23, Kampung Durian Daun, Masjid Tanah di sini Ahad.

Allahyarham, 73, meninggal dunia di Hospital Tentera Kem Terendak, di sini pada pukul 1.20 pagi ini kerana kegagalan organ dalaman, kata anak ketiganya, Kamaruzaman Khamis.

"Kesemua enam adik-beradik dan menantunya termasuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan) berada di sisi ibu sewaktu beliau meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Kamaruzaman, 52, berkata ibunya seorang pesara polis telah dimasukkan ke hospital itu sejak awal bulan lepas kerana sakit tua dan mengalami masalah di bahagian paru-paru.

Beliau berkata jenazah ibunya dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Empang Batu, di sini dan disolatkan sebelum dikebumikan sebelum solat Zuhur.

Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop adalah antara ratusan orang ramai yang hadir mengunjungi jenazah Allahyarham.

Menurut Kamaruzaman isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis merupakan anak kedua kepada Allahyarham.

"Saya mengucapkan terima kasih bagi pihak keluarga kepada kesemua doktor yang merawat ibu saya termasuk Pegawai Pemerintah Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak Brig. Jen. Datuk Dr Chia Lip Meng," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada Panglima Tiga Divisyen Mej. Jen. Datuk Razali Ahmad dan para anggota tentera serta penduduk kampung yang menguruskan jenazah sehingga selamat dikebumikan.-- BERNAMA

No comments: