Wednesday, February 16, 2011

KTMB MENAFIKAN YANG BENAR

KTMB nafi anjur sambutan Valentine

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan program Retro Love Coach yang diadakan syarikat itu semalam bertujuan meraikan Hari Valentine.

Pengurus Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi sebaliknya berkata, program itu diadakan bagi meraikan 20 pasangan warga tua dalam kereta api milik syarikat tersebut.

Program Retro Love Coach itu katanya, sebagai prapelancaran sempena program khas yang akan diadakan syarikat itu 16 Mei ini.

"Retro Love Coach bukan sempena Hari Valentine yang disambut semalam tetapi diadakan sebagai program prapelancaran sempena program khas yang akan diadakan 16 Mei ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam yang seolah-olah menggambarkan program Retro Love Coach yang diadakan itu sebagai sambutan Hari Valentine.

Mohd. Noordin berkata, KTMB pada 16 Mei ini akan mengadakan program perjalanan khas ke Singapura untuk pasangan suami isteri tidak kira tua atau muda serta kaum untuk sama-sama berkongsi rahsia kehidupan rumah tangga masing-masing.

Melalui program itu, KTMB katanya, menyediakan tempat untuk 300 pasangan suami isteri dengan bayaran sebanyak RM300 seorang yang mana setiap pasangan akan dibawa melawat Singapura termasuk ke Stesen KTMB di Tanjong Pagar.

Sementara itu, katanya, mulai semalam, KTMB melancarkan satu pakej menarik iaitu 1Malaysia Couples Trains dalam usaha menggalakkan rakyat pelbagai kaum di negara ini melancong secara berkumpulan.

Melalui pakej tersebut, katanya, KTMB akan memberikan diskaun tambang konsesi sebanyak 25 peratus untuk perjalanan pergi dan balik kepada enam pasangan yang terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Beliau berkata, untuk mendapatkan diskaun tersebut, enam pasangan melibatkan tiga kaum itu juga perlu bergerak secara berkumpulan dan memilih destinasi pelancongan yang sama.

"Pakej menarik 1Malaysia Couples Trains yang dilancarkan bermula semalam akan berterusan dan kemuncaknya akan diadakan satu program khas pada 16 Mei ini.

"Selain untuk menjayakan konsep 1Malaysia, pakej istimewa ini juga bertujuan menggalakkan rakyat pelbagai kaum di negara ini melancong secara bersama dalam satu kumpulan," katanya.

============

Orang Islam rai Valentine: Akhbar bahasa Inggeris dibidas

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Sebuah akhbar bahasa Inggeris di negara ini dibidas ekoran artikel yang disiarkan dalam akhbar itu semalam yang seolah-olah cuba membabitkan orang Islam dengan perayaan Hari Valentine.

Sebuah blog yang membidas akhbar tersebut berkata, selain menyiarkan artikel, akhbar itu turut memaparkan beberapa pasangan warga emas Melayu yang lengkap berkopiah putih dan bertudung labuh merayakan Hari Valentine dalam koc Keretapi Tanah Melayu (KTMB).

Menurut blog itu, pasangan yang termasuk pasangan cacat penglihatan itu digambarkan menghadiahkan bunga, menyuap makanan ke mulut suami dan berpeluk antara satu sama lain.

"Kita tidak tahu siapa pasangan orang Islam ini, tetapi senario yang dipaparkan jelas menunjukkan ia sengaja dilakonkan bagi melihatkan subjek merayakan kasih sayang mereka bersempena Hari Valentine.

"Dalam konteks artikel itu, Hari Valentine digunakan sebagai deskripsi hari berkenaan kerana jika diterjemahkan kepada Hari Kekasih, ia sebenarnya lari daripada konteks budaya Melayu dan pegangan Islam yang sebenarnya tidak mempunyai satu hari bagi episod sedemikian.

"Pasangan warga emas itu sebenarnya penumpang yang hadir sempena pelancaran pakej 1Malaysia Couples Trains KTMB yang secara kebetulan jatuh pada Hari Valentine," kata blog itu di http://malaysiaaktif.com.

Blog tersebut dalam pada itu turut mempersoalkan idea siapakah untuk menunjukkan pasangan warga emas Melayu ini sebagai merayakan Hari Valentine.

Ulasan :

Sebenarnya KTMB salah membuat perhitungan dalam mempromosi pakej perkhidmatan yang baru itu.

Penglibatan warga emas Melayu berkopiah dan tarikh membawa pasangan berkenaan menikmati pakej itu yang bertepatan dengan Hari Valentine adalah perhitungan salah dalam melaksanakan strategi pemasaran dan komunikasinya.

KTMB cuba menafikan, tetapi itulah hakikatnya sebagaimana yang saya baca dalam kenyataan media yang diberikan kepada wartawan yang membuat liputan program itu. Pada para atas kenyataan itu jelas menyatakan, "sempena sambutan hari memperingati kekasih.......".

Mungkin akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan hanya berdasarkan fakta dan tidak melihat dari segi kesan dan perkara yang tersirat.

Apabila saya melihat tugasan itu dan ditambah dengan visual yang dibawa balik oleh wartawan yang ditugaskan, saya membuat keputusan supaya berita itu tidak perlu disiarkan.

Aksi yang dilakukan oleh pasangan warga emas di dalam keretapi itu memualkan. Saya rasa mereka tidak ikhlas melakukannya tetapi telah 'diarah' untuk melakukannya. Malah ada diantara pasangan wanita warga emas itu tersipu-sipu untuk melakonkan adegan menerima jambangan bunga itu.

Seharusnya KTMB tidak memilih tarikh 14 Februari bagi melaksanakan program membawa pasangan warga emas berkeretapi ke Ipoh dari Kuala Lumpur yang turut disertai beberapa wakil dari media.

No comments: