Sunday, February 27, 2011

HARI JADI BAPAK KE-87

Semalam 26 Februari adik-beradik bersama keluarga berkumpul di sebuah Wad di HAT Sultan Mizan, Wangsa Maju meraikan Hari Lahir bapak ke-87.

Wajah bapak berseri-seri mengambarkan keriangan dikelilingi anak-anak dan menantu serta cucu. Bapak yang turut dirawat di hospital itu tidak minta majlis itu diadakan, ia hanya secara kebetulan dan rancangan ad-hoc daripada anak-anak dan cucu-cucu.

Ia bermula ketika saya menemani bapak makan tengahari Jumaat lalu di wad berkenaan. Jururawat peribadi emak mengingatkan saya bahawa hari lahir emak pada 11 Mac depan. Saya pula cuba mengingatkan tarikh hari lahir bapak. Seorang jururawat mengagak tarikh itu mungkin sudah lepas pada bulan ini. Bapak yang tidak berapa mendengar perbualan menyatakan tarikhnya 26 Februari. “Ehhh itu esok”, sampuk saya.

Bapak secara seloroh berkata, “bolehlah beli roti.” Yang dimaksudkan ‘roti’ adalah kek hari jadi.

Selepas itu saya terus memasukan entry di facebook mengenai tarikh itu. Tindakbalas memberangsangkan. Kak Long (Nurulhidayah), cucu sulong memberi komen pada entri itu dan saya cadangkan kepadanya untuk membuat sesuatu bagi meraikan hari lahir bapak.

Akhirnya semalam semua anak-beranak membawa juadah masing-masing di wad emak untuk meraikan hari lahir bapak. Selain kek antara juadah termasuk rendang dan nasi impit, satay, KFC, pizza, kueh mueh, minuman, air buah dan punch serta bermacam lagi.

Kami bersyukur adik-beradik dan anak-beranak masih mampu berkumpul di sisi wad emak sambil meraikan hari lahir bapak, pada usia bapak 87 dan emak 81 tahun.

No comments: