Thursday, January 14, 2010

BEBAN KEPADA YANG BERGAJI BESAR

Keputusan kerajaan untuk mengenakan bayaran yang berbeza bagi bayaran asrama mengikut tangga gaji perlu dipertimbangkan dan dikaji semula.

Pekeliling Kementerian Pelajaran yang diedarkan tahun lalu memutuskan ibubapa atau penjaga yang berpedapatan RM5,000 ke atas perlu membayar RM3 sehari, manakala mereka yang berpendapatan bawah RM4,999 dikenakan hanya RM1 sehari.

Berdasarkan perkiraan 200 hari belajar (tidak termasuk Sabtu dan Ahad), setiap murid kategori pertama dikenakan bayaran RM600 setahun manakala kategori kedua dikenakan bayaran RM200 setahun.

Persoalannya, adakah pembahagian kategori mengikut gaji relevan?

Kementerian seharusnya tidak mengketegorikan pembayaran itu mengikut tangga gaji tetapi perlu berdasarkan tanggungan isi rumah.

Contoh :
Jika Ali bergaji RM4,999 tetapi hanya mempunyai seorang anak yang ditanggung dan bersekolah asrama. Dia hanya perlu membayar RM200 setahun.

Manakala Ahmad yang bergaji RM5,000 dan mempunyai 10 anak yang ditanggung serta empat daripadanya bersekolah asrama. Dia terpaksa membayar RM2,400 setahun. Apakah Ahmad tidak terbeban dengan cara ini?

Laporan berkaitan :
PULAU BANGGI (Kudat): Kementerian Pelajaran akan menambah semula peruntukan makanan bagi sekolah berasrama kepada 240 hari setahun dalam tempoh terdekat selepas mengambil kira kesukaran ibu bapa menyediakan perbelanjaan tambahan anak mereka pulang ke rumah setiap minggu berikutan asrama tidak menyediakan makanan setiap Sabtu dan Ahad.


Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian turut mengambil kira pelajar daripada keluarga miskin yang tidak mampu membayar tambang pergi dan balik ke rumah setiap minggu atau menyediakan duit tambahan membeli makanan. Beliau berkata, aspek keselamatan pelajar yang terpaksa pulang setiap hujung minggu turut diberi pertimbangan kerana mereka biasanya bersendirian, termasuk ke kawasan pedalaman.

"Sehubungan itu, kementerian akan menambah semula peruntukan makanan bagi sekolah berasrama kepada 240 hari berbanding 200 hari setahun yang ditetapkan sebelum ini.

"Pada masa sama, kementerian akan meneruskan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk membantu murid dalam kelompok Ketua Isirumah Miskin Tegar (KIRMT)," katanya di Jeti Karakit di sini, semalam.

Terdahulu, Mohd Puad melawat tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Pulau Banggi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit, SK Batu Layar, SK Look Tohok dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi.

Tiga lagi sekolah di daerah pedalaman di utara Sabah turut dilawati beliau iaitu SMK Kanibongan dan SK Kanibongan, Pitas yang bekongsi bangunan dan SMK Tandek, Kota Marudu.

Mengikut Pekeliling Kementerian Pelajaran tahun lalu, berlaku pengurangan peruntukan makanan daripada 250 hari kepada 200 hari bagi sekolah berasrama dan 250 hari bagi sekolah pendidikan khas berasrama berbanding 270 hari sebelumnya.

Peraturan itu turut merangkumi ibu bapa atau penjaga berpendapatan RM5,000 ke atas yang perlu membayar RM3 sehari, manakala berpendapatan bawah RM4,999 pula RM1 sehari.

Arahan itu membabitkan asrama di sekolah harian, sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah teknik dan vokasional, sekolah sukan dan seni.

No comments: