Monday, February 9, 2009

FENOMENA MENTERI BESAR KERAJAAN PASIR DUA BUTIR

Foto : Leklook bersama Menteri Besar yang diperkenan Sultan, Datuk Dr Zambry ketika sama-sama menghadiri satu persidangan di United Nation University, Tokyo Jepun.

Perak mempunyai dua Menteri Besar. Satu yang mendapat perkenan Sultan, satu lagi yang menderhaka kepada Sultan.

Menteri Besar yang menderhaka tidak mahu menerima hakikat perubahan politik telah berlaku di Perak. Sama ada suka atau tidak, itulah yang dirancang oleh 'Pemimpin Agung' Pakatan Rakyat apabila mahu membeli ahli parlimen Barisan Nasional dahulu untuk menumbangkan kerajaan Persekutuan.

Demontrasi berlaku di Bandar Diraja Kuala Kangsar, mengulangi apa yang pernah dilakukan di ibunegara oleh watak-watak utamanya. Rata-rata yang berdemontrasi dan meniduri laluan kenderaan menuju istana adalah mereka yang berkupiah putih. Tetapi bukanlah mereka yang bergelar imam atau ustaz yang mengajar di masjid atau surau. Mereka adalah pengikut yang terlalu taksub dengan ketuanya.

Kumpulan itu rupanya mempunyai tenteranya sendiri seperti Tentera Merah Jepun (JRA) yang menawan bangunan AIA di Jalan Ampang Kuala Lumpur suatu ketika dulu. Tentera Merah yang menjadi anggota keselamatan tidak bertauliah itu, rupanya lebih ganas daripada JRA.

Mana perginya anggota DAP dan PKR daripada rakan kita keturunan Cina dan India. Mereka rupanya menjadi saksi di luar pagar, pengambaran drama "Jalan Ke Istana'. Maka bertepuk tanganlah penonton di luar pagar melihat gelagat pelakon 'extra' yang ramai itu. Hilang pertimbangan akal dan pegangan keagamaan mereka. Kereta Raja Muda pecah dilontar batu. Kenderaan yang lain apatah lagi!

Di rumah rasmi Menteri Besar, mereka yang hadir kebanyakannya juga berkupiah putih. Seolah-olah Perak dahulu diperintah kerajaan Bulan Mengambang, walaupun hakikatnya Roket yang berkuasa. Bulan Mengambang hanya mempunyai beberapa kerat kerusi yang tidak boleh dibanggakan, kerana majoriti yang kecil.

Sampai bila Menteri Besar yang derhaka itu akan terus berlakon. Siapa pula yang bakal dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan negerinya? Siapa agaknya kakitangan kerajaan negeri yang akan akur dengan perintahnya?.

Maka akan jadilah beliau sebagai Menteri Besar yang berkerajaan di bawah sepohon pokok di kawasan lapang bekas lombong di Pasir Dua Butir arahan Pengarah filem Anwar Ibrahim (bukan Laksamana DoReMe arahan P.Ramlee). Biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

No comments: