Awal pagi semalam saya terpaksa bergegas untuk menghadirkan diri ke sekolah anak bagi melepaskan pelajar-pelajar pada acara sukan 'road-run'.
Ini tahun kelima saya dikehendaki melepaskan mereka selaku orang PIBG.
Hanya tiga AJK PIBG hadir. Biasalah senario begitu pada kebanyakan sekolah. Yang bercakap ramai, tapi yang bekerja, orang itu saje!
Selepas melepaskan semua peserta kami (termasuk pengetua dan penolong kanan) menikmati sarapan pagi. Menu dan persembahan sajian ala-ala hotel, siap dengan layanan petugas beruniform chef.
Pelayan dan pengendali jamuan adalah daripada kalangan pelajar SRT (Seni Rumah Tangga). Sebagai sekolah menengah kebangsaan biasa, kesungguhan pelajar melayan tetamu dan cara hidangan, seolah-olah mereka dididik di Sekolah Teknik dengan matapelajaran khusus dalam bidang itu.
Bercakap mengenai 'road-run' teringat ketika bersekolah dahulu. Di kampung acara begitu dipanggil merentas desa. Kami berlari betul-betul merentasi desa. Dari satu lorong kampung ke satu lorong kampung, di celah-celah pohon kelapa. Melewati depan rumah orang, melewati dapur rumah orang. Melintasi titi kayu melihat ikan-ikan puyu dan sepat berenang di parit. Dan sesekali mengejar ayam dan itik yang melintasi laluan. Mengusik burung-buung yang hinggap di dahan. Sungguh menyeronokkan sekali.
Ketika di Maktab Tentera Diraja (RMC) dulu, acara larian sebegitu turut diadakan. Disebabkan kedudukan RMC di atas bukit dan topografi sekelilingnya berbukit-bukit, maka peserta-peserta terpaksa menempuh keadaan tanah yang tinggi rendah serta berhutan.
Namun ada kalanya kami merentasi ladang belimbing di belakang bukit, di pinggir Balakong.
Ada yang tidak dapat menahan diri untuk memetik buah belimbing di ladang Cina itu. Tapi yang saya tidak lupa apabila seorang kawan terkena 'sampuk' selepas larian itu. Meracau sehingga datang bomoh untuk memulihkannya.
Sekarang merentas desa begitu asing buat anak-anak. Road-run yang dirasai mereka hanya sekadar lari di lorong-lorong di sekitar kawasan perumahan, dengan dipenuhi hutan batu. Lebih malang apabila seorang lagi anak yang bersekolah asrama di Shah Alam memberitahu, dia turut menyertai 'larian merentas bandaraya'.
Apabila balik kampung nanti, harap-harap saudara-mara di kampung dapat menganjurkan larian merentas desa kepada anak-anak yang ibubapa mereka berperantauan agar nostalgia itu dapat dirasai mereka.
1 comment:
The properties leaves, what that
Post a Comment