Thursday, February 26, 2009

MULUT CELUPAR KARPAL MENGUNDANG PADAH


Dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno Selangor 'menunjukkan fizikal kekuatan' dengan bergelut di bangunan Parlimen petang ini berhubung isu Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh mengeluarkan perkataan 'celaka' semalam.

Insiden kira-kira pukul 3 petang tadi bermula apabila 13 ahli dari Pemuda Umno dari Bahagian Petaling Jaya Utara dan Gombak mengepung Karpal yang baru tiba di pintu masuk utama ke bangunan Parlimen.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.

Karpal bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan meminta bantuan daripada pihak keselamatan berhampiran kawasan tersebut menolongnya.

Suasana kelam-kabut di kawasan Parlimen itu bertambah kecoh apabila Ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.

Namun salah seorang daripada Ketua Pemuda terbabit, Zulkarnain menarik baju ahli Parlimen Segambut itu.

Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya disekat anggota polis dan pasukan keselamatan Parlimen manakala Karpal segera dibawa masuk ke menara Parlimen.

Namun, keadaan panas semula apabila ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo keluar dari bangunan Parlimen dan mencabar Pemuda Umno berdepan dengannya.

Semalam, Karpal menarik balik perkataan "celaka" yang ditujukan kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

CABAR-MENCABAR
Cabar- mencabar antara kedua-dua pihak kemudian dileraikan pihak berkuasa.

Keadaan tersebut berlarutan hingga 20 minit hinggalah Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN-BBC), Datuk Tiong King Sing dan Penyelaras BN, Datuk Zainal Abidin kemudian mententeramkan keadaan serta meminta kumpulan terbabit bersurai.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain yang ditemui selepas itu berkata, mereka datang secara baik untuk mendengar sendiri daripada mulut Karpal tentang kenyataannya bahawa Pemuda Umno celaka.

"Pemuda Umno Selangor datang untuk bersemuka dan mahu dia ulangi apa yang beliau kata di Parliman semalam.

"Sekarang nyata, beliau seorang pemimpin yang bacul dan tak berani," katanya.

KOMEN KARPAL, ANWAR
Sementara itu, dalam satu sidang media di lobi Parlimen pada pukul 4 petang tadi, Karpal menyelar tindakan pihak yang cuba menakut-nakutkan beliau dengan ugutan sedemikian.

"Keadaan sebegini tidak patut berlaku. Kita tiada masa untuk masalah ‘gangster’ yang menakut-nakutkan ahli Parlimen di sini.

"Saya kecewa kerana pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan ketika saya meminta bantuan dan tiada seorang pun membantu.

"Saya mungkin duduk di atas kerusi roda tapi saya tidak takut kepada sesiapa pun.
"Saya mempunyai tugas sebagai Ahli Parlimen dan saya akan tetap menjalankan tugas itu tanpa sebarang ketakutan," katanya.

Tegas Karpal, beliau mahu Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengambil tindakan tegas ke atas isu tersebut.

"Saya tidak mahu retorik semata-mata. Saya mahu pihak berkuasa Parlimen dan Speaker mengambil tindakan tegas ke atas mereka. Saya tidak mahu kejadian sebegini berulang lagi," ujarnya.

Sementara itu, menurut Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau kesal dan mengecam keras tindakan yang dilakukan oleh Pemuda Umno itu.

"Kami mengutuk keras tindakan biadap dan ganas seperti ini dan jika ia dibenarkan akan membahayakan keselamatan ahli Parlimen.

"Kita mahu tindakan segera dan jaminan daripada pihak polis dan kerajaan supaya kemuliaan dewan dan kebebasan ahli-ahli Parlimen terjamin," katanya ketika ditemui.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang juga Penasihat DAP pula menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai satu perkara yang memalukan dan tidak pernah terjadi dalam sejarah Parlimen di negara ini.

"Pada sesi pembukaan kali ini satu usul telah dikemukakan mengenai pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan ahli Parlimen namun apa yang berlaku ia telah dilanggar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga meminta, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta maaf atas apa yang terjadi kepada Karpal hari ini.

"Saya minta Abdullah dan Hishammuddin meminta maaf secara terbuka atas apa yang berlaku ke atas Karpal hari ini. Mereka patut minta Pemuda Umno berhenti daripada mengamalkan tindakan ‘gangsterism’ ke atas Ahli Parlimen pembangkang.

"Mereka (Pemuda Umno) telah melanggar undang-undang negara dan akta di Parlimen," katanya.

-Star Online (mStar)

KONSERT ALAM MUZIK M.NASIR ESOK


Alam Muzik M.Nasir mengisahkan tentang perjalanan seni M.Nasir menjangkau tiga puluh tahun bergelar anak seni.

Konsert eksklusif Ikon muzik Malaysia ini akan memperlihatkan M. Nasir mengalunkan lebih kurang 30 buah lagu untuk pertunjukan secara tiga malam berturut-turut secara solo. Konsert yang berdurasi selama dua jam tanpa henti ini akan menyaksikan kepelbagaian genre muzik dipersembahkan dari pop, keroncong, tradisional, balada, irama Malaysia dan lain-lainnya.

Himpunan 15 orang pemuzik profesional yang terkenal dan diakui sebagai terbaik di Malaysia seperti Mohar, Zulkifli Mahat, Ramli Rebana, Jay-Jay, Ujang (sekadar menyebut beberapa nama) akan mengiringi persembahan. Aznan Alias @ Nan yang telah lama bersekutu dengan M. Nasir, bertindak sebagai pemimpin muzik konsert.

Aspek penting dalam persembahan seperti arahan, skrip pentas, bunyi, penatacahayaan, layar perak, prop, kostum dan lain-lain lagi akan ditangani oleh tim produksi profesional dan berpengalaman. Sebuah pentas telah di reka khas oleh Usop Kopratasa untuk kegunaan konsert ini.

Konsert Alam Muzik M.Nasir ini akan diterbitkan olah saudara Ali Bakar yang berpengalaman selama 30 tahun dalam penerbitan konsert–konsert mega artis antarabangsa dan tempatan. Beliau juga banyak terlibat dalam penerbitan konsert M. Nasir sebelum ini, seperti Konsert Gong Impian, 1992 di Dewan MCA, Jln. Ampang, KL., Konsert Canggung, 1994 di Stadium Negara, Konsert Andalusia pada tahun 2000 di Stadium Merdeka dan beberapa konsert dan acara-acara lain lagi.

Untuk makluman juga, setiap RM1 dari pembelian tiket Konsert Alam Muzik M.Nasir ini akan disalurkan terus ke tabung NSTP Charity Fund yang banyak membantu golongan kanak-kanak dan kurang berkemampuan di Negara ini bagi mendapatkan rawatan dan pembedahan.

Selain dari itu pihak NSTP Group yang bertindak selaku Akhbar Rasmi Konsert Alam Muzik M.Nsir ini juga akan mengadakan jualan cenderahati konsert berupa mouse pad dan mug yang ditandatangani oleh M.Nasir. Hasil jualan cenderahati ini akan disalurkan ke tabung NSTP Charity Fund.

Sesungguhnya konsert ini akan menjanjikan satu pengalaman yang unik dan menghiburkan buat anda semua.

Jangan ketinggalan. Datanglah beramai-ramai Dapatkan tiket Anda Sekarang
Pasti, satu lagi temasya gemilang akan terlakar.

Aturcara Konsert
08:15 mlm Pintu dibuka.
08:30 mlm Konsert Alam Muzik M. Nasir bermula.
10:30 mlm Konsert di jangka tamat.
11:00 mlm Sesi bertemu peminat, fotografi & autograf di lobi Istana Budaya.

Wednesday, February 25, 2009

Sunday, February 22, 2009

MERENTAS DESA TIADA LAGI SINONIM

Awal pagi semalam saya terpaksa bergegas untuk menghadirkan diri ke sekolah anak bagi melepaskan pelajar-pelajar pada acara sukan 'road-run'.

Ini tahun kelima saya dikehendaki melepaskan mereka selaku orang PIBG.

Hanya tiga AJK PIBG hadir. Biasalah senario begitu pada kebanyakan sekolah. Yang bercakap ramai, tapi yang bekerja, orang itu saje!

Selepas melepaskan semua peserta kami (termasuk pengetua dan penolong kanan) menikmati sarapan pagi. Menu dan persembahan sajian ala-ala hotel, siap dengan layanan petugas beruniform chef.

Pelayan dan pengendali jamuan adalah daripada kalangan pelajar SRT (Seni Rumah Tangga). Sebagai sekolah menengah kebangsaan biasa, kesungguhan pelajar melayan tetamu dan cara hidangan, seolah-olah mereka dididik di Sekolah Teknik dengan matapelajaran khusus dalam bidang itu.

Bercakap mengenai 'road-run' teringat ketika bersekolah dahulu. Di kampung acara begitu dipanggil merentas desa. Kami berlari betul-betul merentasi desa. Dari satu lorong kampung ke satu lorong kampung, di celah-celah pohon kelapa. Melewati depan rumah orang, melewati dapur rumah orang. Melintasi titi kayu melihat ikan-ikan puyu dan sepat berenang di parit. Dan sesekali mengejar ayam dan itik yang melintasi laluan. Mengusik burung-buung yang hinggap di dahan. Sungguh menyeronokkan sekali.

Ketika di Maktab Tentera Diraja (RMC) dulu, acara larian sebegitu turut diadakan. Disebabkan kedudukan RMC di atas bukit dan topografi sekelilingnya berbukit-bukit, maka peserta-peserta terpaksa menempuh keadaan tanah yang tinggi rendah serta berhutan.

Namun ada kalanya kami merentasi ladang belimbing di belakang bukit, di pinggir Balakong.
Ada yang tidak dapat menahan diri untuk memetik buah belimbing di ladang Cina itu. Tapi yang saya tidak lupa apabila seorang kawan terkena 'sampuk' selepas larian itu. Meracau sehingga datang bomoh untuk memulihkannya.

Sekarang merentas desa begitu asing buat anak-anak. Road-run yang dirasai mereka hanya sekadar lari di lorong-lorong di sekitar kawasan perumahan, dengan dipenuhi hutan batu. Lebih malang apabila seorang lagi anak yang bersekolah asrama di Shah Alam memberitahu, dia turut menyertai 'larian merentas bandaraya'.

Apabila balik kampung nanti, harap-harap saudara-mara di kampung dapat menganjurkan larian merentas desa kepada anak-anak yang ibubapa mereka berperantauan agar nostalgia itu dapat dirasai mereka.

Friday, February 20, 2009

BUKAN SYAIR, BUKAN GURINDAM, BUKAN SAJAK. TAPI CARCA MARBA DENGAN TAJUK "KALUT"

(Tiada kene mengena dengan yang hidup ataupun yang mati)

Apalah nak jadi dengan kita
Semakin hari semakin kalut
Semuanya kerana kuasa

Dulu kata nak bawa masuk ahli Parlimen
Kata nak tumpang kerajaan
Tapi tarikh tu tak jugak datang

Nak jugak tenguk Perdana Menteri pertama Malaysia
Ditabalkan melalui proses lompat parti
Tak jugak menjadi
Tapi Menteri Besar PAS pula terpaksa serah diri
Walaupun membantah kerana jadi boneka DAP

Sekarang MB Selangor pula disiasat SPRM
Kerana kereta Lexus dan 46 ekor lembu korban kerajaan negeri

Speaker Perak juga didakwa salahguna kuasa
Mengantung MB dan enam exco negeri
Seksyen 23 Akta Pencegahan rasuah 2009 menanti

Boy friend punya hal UMNO dan BN dipersalahkan
Masa suka-suka dulu tak ingat, asyik berkemban
La ni hebuh, terpaksa letak jawatan
Ambil angin ke luar negeri cuti sakan

Tok guru kata telanjang boleh kalau sorang yang buat
Malu kat sapa, hanya malaikat
Yang ceroboh tu yang jahat
Akibat amalan politik gengster terlalu kuat

Tapi betul ke diceroboh atau jadi tetamu jemputan
Guano lagu tu tak bagi hukuman tepat
Pandangan Harussani kini pula dicela dan dilipat-lipat

Jangan sentuh ahli saya
Semua ahli saya adalah ahli surga.

Iya la.....
Yang baik tu PKR lah
Yang alim tu PAS lah
Yang pandai tu DAP lah

Habis yang jahat tu semua UMNO dan BN

SET BERITA MAYA (VIRTUAL NEWS SET)

Teknologi semakin berubah dan maju. Sejajar perkembangan itu penampilan persembahan berita TV turut maju. Penggunaan Set Berita Maya (virtual set) secara jangka panjang memberikan pulangan yang berbaloi. Namun jika penggunaannya terhad dan hasil kreativitinya jumud, kewujudannya tidak ke mana. Jadilah ia Gajah Putih.

Antara stesen TV di Malaysia yang telah menggunakan kaedah ini ialah NTV7 yang mempersembahankan beritanya, termasuk edisi7 dan 7edition. Majalah3 yang disiarkan di TV3 turut berkongsi menggunakannya.

Selepas ini, mungkinkah sebuah lagi stesen TV daripada kumpulan yang sama, akan turut berkongsi menggunakan set seumpama ini di dalam program beritanya?

Wednesday, February 18, 2009

MENCARI PENGANTI YB BUKIT LANJAN

Tiga bukit – Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Bukit Lanjan.

Acara mendaki ketiga-tiga bukit akan bermula 7 April ini. Pastinya penganjur perlumbaan akan menetapkan tarikh yang sama jika Bukit Lanjan turut mengadakan pertandingan.

Tarikh serentak lebih menjimatkan. Tumpuanpun boleh dibahagi-bahagikan. Hotelpun senang dicara tidak seperti di Kuala Terengganu, rumah kosongpun habis ditempah.

Untuk Bukit Lanjan tidak perlu bersusah-payah mencari hotel. Bersepah di Lembah Klang. Paling hampir Hotel One World. Atau kalau susah sangat dan tak cukup duit, bertandang saje di Sri Pentas.

Kali ini Bukit Gantang akan dirampas semula oleh Barisan Nasional yang meletakkan calon UMNO, orang tempatan. Bukit Selambaupun BN boleh menang kerana Parti Keadilan Rakyat hendak meletakkan calon India, walaupun majoritinya orang Melayu. Di Bukit Lanjan YB (Yang Berbo...l) pastinya mempunyai penganti yang lebih pandai cari tempat tidur.

YB Bukit Lanjan yang baru pastinya orang yang suka tidur di atas katil empuk dan bukan di sofa di tengah ruang tetamu. Pintu biliknya pasti berkunci. Selepas ini tak akan ada orang menceroboh lagi. Tak akan ada orang UMNO atau orang BN lain yang masuk untuk mencuri mata di celah kain batik sarung, walaupun sebenarnya yang buat ’boy friend’ sendiri.

Pastinya juga YB Bukit Lanjan yang baru orang yang sudah berkahwin dan tidak cantik serta bercermin mata. Pastinya juga dia seorang yang sudah melewati 39 tahun dan bukan berasal dari Ipoh. Dan pastinya juga bukan yang pernah bekerja dengan Presiden parti.

Yang paling pasti tindakannya terkangkang di dalam bilik nanti, jika tersebar juga tidak mendapat pembelaan daripada YB Bulan Mengambang dari Titi Wang Sa.

Sunday, February 15, 2009

PUCHONG SCHOOL WANTS A HALL

THE STAR : Wednesday February 4, 2009

THE SMK Pusat Bandar Puchong students performed a dragon and lion dance in conjunction with the Chinese New Year.

The event was officiated by Lim Seng Hou, who is private secretary to Deputy Education Minister Datuk Dr Wee Ka Siong.

The school Parent-Teacher Asso-ciation (PTA) chairman Lokman Hamidi, in his welcoming speech, requested for the ministry to look into the construction of a hall for the school.

“School assemblies are cancelled every time it rains, since we have no hall.
“Our current enrolment is 2,409 students,” he said.

All together: Siti Rogahyah (second from left), Lokman (batik) and Lim (third from left) with the lion and dragon dance troupes.

Lim commended the school for putting together the lively lion dance with music from the kompang group.

School principal Siti Rogahyah Yahya said the dragon team comprised 14 members, while the lion dance troupe was made up of 16 members, four of whom were Malays, six Indians and the rest Chinese.

Teacher-in-charge Chia Lee Peng said the teams only started training in December.
“We still need help from parents and also the public to help in donating equipment to enable the students to train even harder.

“At the same time, I hope that more students will join our troupe,” said Chia.

Saturday, February 14, 2009

STESEN TV BERDEPAN KEADAAN EKONOMI SUKAR

Masalah ekonomi global kini turut dirasai oleh syarikat-syarikat media yang antara perolehan pendapatannya melalui iklan.

Beberapa syarikat media di negara ini termasuk konglomerat yang memiliki empat stesen TV dan tiga stesen radio swasta turut melaksanakan penguncupan perbelanjaan dan menyusun strategi baru.

Di New York, Young Broadcasting Inc., pemilik 10 stesen televisyen ahli gabungan rangkaian CBS dan ABC berkata, mereka akan menfailkan perlindungan muflis di mahkamah Amerika Syarikat di daerah New York Selatan hari ini.

Syarikat berpangkalan di New York itu berkata pihaknya akan meneruskan operasi stesen berkenaan tanpa gangguan.

Penyiar TV di AS kini menghadapi tekanan ekoran kegawatan ekonomi yang menyebabkan perolehan daripada pengiklanan semakin merosot.

Friday, February 13, 2009

MBOK TEMPE DAN KACANG TOLO


Hidup ini penuh dengan cubaan dan dugaan. Kadang-kadang apa yang dicita-citakan tak dapat. Sebaliknya kadang-kadang dengan tidak disangka-sangka, dapat.

Dalam politikpun begitu. Kadang-kadang (malah selalu) berjuang nak rak dan mati-matian, tak jugak dipandang orang. Malah yang tidak berjasa satu apahpun tetiba jadi menteri, jadi itu ini.

Dalam alam pekerjaanpun begitu jugak. Kerjalah berpuluh tahun, setia dan berusaha tanpa kira apapun, alih-alih budak yang setahun jagung tak tau apa benda tup-tup sampai kat atas.

Semua itu adalah persepsi orang. Seperti juga dalam politik yang penuh dengan persepsi. Sama ada betul atau tidak bukan ukuran. Dalam pekerjaan juga sama. Ukuran kejayaan tidak dinilai dengan hasil kerja, tetapi dinilai sejauhmana seseorang dapat mewujudkan pesepsi yang baik.

Apapun itu semua adalah ketentuan Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita, tanpa kita sendiri sedari.

Cerita mbok tempe ini mungkin boleh dijadikan pengajaran.

Mbok tempe adalah seorang wanita tua yang tekun berniaga tempe. Setiap hari dia akan berniaga tempe di pekan kecil.

Dia akan memeram kacang tolo (kacang soya) untuk dibuat tempe pada setiap hari sebelum ke pasar. Pada suatu hari dia rasa kecewa kerana tempenya belum menjadi, sedangkan hari sudah siang untuk dia menjaja tempe.

Namun dia berdoa dan menyerahkan ketentuan Allah dengan harapan tempenya akan masak ketika sampai di pasar.

Namun kekecewaannya terus menebal kerana hari semakin senja, rakan penjaja sudah tiada tetapi tempenya tidak juga menjadi.

Dia mula was-was dengan ketentuan Allah. Bagaimanapun dia tidak patah semangat untuk terus berdoa supaya tempenya menjadi dan mendapat pelanggan sebelum dia pulang.
Namun tempenya tidak juga masak.

Ketika dia mula bersiap-siap untuk pulang dan kecewa dengan nasibnya hari itu, tiba-tiba muncul seorang lelaki di hadapannya bertanyakan tempe yang belum masak.

Dia kemudian cepat-cepat mengubah doa agar tempenya tidak jadi masak.
Apabila dia membuka semula tempenya, jeng..jeng...jeng......

jeng...jeng...jeng.......
Nyata tempenya belum masak.

Lelaki itu kemudiannya membeli semua tempenya yang belum masak itu.

Bila ditanya mengapa dia membeli tempe yang tak masak, lelaki itu berkata tempe itu untuk dihantar ke Seberang laut kerana dipesan oleh anaknya. Kalau tempe yang sudah masak dihantar, nanti kan busuk apabila tiba di sana.

Mbok tempe amat syukur kerana tempenya yang tak menjadi rupanya menjadi sumber rezekinya hari itu.

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita!

PERIHAL TOK DALANG

Nota : Laporan ini adalah simpanan peribadi saya yang pernah satu ketika menyanjungi Tok Dalang, tetapi sekarang tidak setuju dan tidak akan bersetuju lagi dengan beliau.

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengecam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersikap lepas tangan dalam insiden kekacauan politik di Perak.

Mereka mahukan Anwar memohon maaf kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan seluruh rakyat Malaysia kerana beliau adalah dalang sebenar yang mencetuskan penentangan terhadap institusi raja secara terbuka.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail berkata, kekalutan politik di Perak sebenarnya berpunca daripada projek 16 September yang dilancarkan oleh Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kaedah lompat parti.

Katanya, apabila keadaan berlaku sebaliknya di Perak, Anwar dilihat gagal memberikan nasihat kepada pemimpin kerajaan pakatan pembangkang negeri itu supaya berundur secara terhormat.

“Sewaktu kekalutan berlaku, kelibat Anwar kelihatan di beberapa majlis bersama pemimpin pakatan pembangkang Perak, kenapa dia tidak memberikan nasihat yang sewajarnya supaya mereka berundur secara terhormat.

“Kegagalan itu menyebabkan Anwar dilihat umpama dalang sebenar kepada kekecohan yang berlaku sehingga mendorong sekumpulan penyokongnya merusuh di Kuala Kangsar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hilmi berkata, kejadian rusuhan di Kuala Kangsar juga mirip dengan tindak tanduk Anwar yang sememangnya sinonim dengan demonstrasi jalanan pada tahun 70-an sehinggalah era reformasi 1998.

“Anwar perlu bertanggungjawab dan tidak terkecuali untuk memohon maaf dengan apa yang berlaku,” tegasnya.

Beliau mengulas kekecohan politik di Perak yang terus berlarutan berikutan perubahan kerajaan negeri ekoran tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang keluar parti manakala seorang lagi menyertai semula UMNO.

Bagaimanapun, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun telah dititahkan oleh Sultan Perak untuk berbuat demikian.

Pakatan pembangkang akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir manakala Pengerusi DAP, Karpal Singh bercadang menyaman Sultan Perak.

Keadaan itu telah mencetuskan suasana tidak tenteram berikutan bantahan orang ramai di seluruh negara terhadap sikap para pemimpin pakatan pembangkang yang dianggap menderhaka kepada Sultan Perak.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, dakwaan bahawa Anwar adalah dalang kekecohan di Perak telah disahkan oleh Karpal baru-baru ini.

Katanya, Karpal juga meminta Anwar supaya bertaubat kerana telah mempromosikan politik lompat parti untuk mencapai cita-cita politik.

“Sebenarnya Anwar mahu ‘cuci tangan’, sebab itu dia elak untuk bersetuju dengan Karpal dalam kes menyaman Sultan Azlan Shah.

“Selama ini saya banyak tidak bersetuju dengan Karpal, namun kali ini saya terpaksa bersetuju dengan beliau bahawa Anwar adalah punca segala-galanya,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menjelaskan pandangan beliau terhadap Anwar bukannya didorong oleh sentimen emosi sebaliknya ia berasaskan penilaian akademik.

Katanya, sebagai Ketua Pembangkang, Anwar tidak boleh lepas tangan dalam isu berkaitan kestabilan negara.

“Itu tanggungjawab dia sebagai ketua pakatan pembangkang, saya harap rakyat juga membuat penilaian yang jujur secara akademik mengenai tindak tanduk Anwar itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, Anwar perlu mengambil iktibar bahawa tindakan beliau telah menyebabkan hubungan antara orang Melayu dan kaum lain menjadi tegang.

Katanya, Anwar perlu menyedari bahawa politik songsang yang menjadi amalan beliau tidak membawa sebarang erti sebaliknya akan memusnahkan karier politiknya satu masa kelak.
“Apa yang berlaku di Perak adalah ketentuan Allah, kita harap beliau menerimanya dengan lapang dada bahawa apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi kenyataan.

“Anwar tidak akan rugi apa-apa jika beliau memberi nasihat kepada orang Melayu dalam pakatan pembangkang supaya bermuhasabah dengan apa yang berlaku demi meredakan keadaan sekarang,” katanya.
sumber : Utusan Online

Monday, February 9, 2009

PR JANGAN DOUBLE STANDARDS

Oleh Tarabulsi_2008"

Kita PR jangan ada double standards. Kalau kita buat tak apa, kalau orang lain buat tak boleh. Ini fahaman yang boleh menjejas imej kita sebagai pihak yang bersih dan adil di mata rakyat. Bila ADUN BN Bota, Nasaruddin Hashim lompat ke PKR, ramai di kalangan kita sambut dengan tepok sorak kegembiraan yang amat sangat. Anwar Ibrahim telah dalam keghairahan dan kegembiraan mengatakan sekali lagi bahawa banyak lagi anggota ADUN dan Parlimen BN akan lompat masuk ke dalam PKR.

Sesetengah pemimpin dari PAS seperti Mustapha Ali yang sering membantah dan menganggap lompat parti yang diusahakan oleh Anwar Ibrahim itu sebagai cara berpolitik yang kotor yang tidak menghormati suara rakyat telah sekali lagi menjadi sasaran ejekan orang-orang PKR.

Dalam keghairahan "kemenangan" Anwar Ibrahim tidak sedar Nasaruddin Hashim itu adalah strategi dan perangkap UMNO. Bila beberapa hari kemudiannya Nasaruddin Hashim lompat balik ke BN dengan mengheret bersama-sama 2 ADUN PKR dan satu ADUN DAP yang berkesudahan dengan runtuhnya kerajaan PR di Perak, maka dakwaan kita kononnya lompat parti itu salah dan tidak menghormati suara rakyat secara otomatis menjadikan PR bahan ketawa.

Malah lompat parti ini dimulakan oleh Anwar Ibrahim dengan pengistiharan "Tarikh Keramat" September 16, 2008 yang dikatakan hari keramat di mana seramai 32 orang Ahli Parlimen BN akan lompat masuk ke PKR. "Tarikh Keramat" itu berlalu tanpa apa-apa yang berlaku walau pun sebelumnya Anwar Ibrahim sering berkata "we are on track".

Maka apa yang berlaku di Perak boleh diibaratkan sebagai senjata Anwar Ibrahim makan diri sendiri.Saya ada juga menulis di TKO ini membantah cara kotor lompat parti yang diusahakan oleh Anwar Ibrahim dan PKR, dan saya di maki hamun dan di anggap sebagai talibarut UMNO. Saya hanya senyum dan menyambut maki hamun itu dengan hanya berkata dalam hati Alhamdullilah, ya Allah hamba abdi Mu ini memohon akan Engkau tunjukkan kepada mereka-mereka yang sudah lupa daratan ini padahnya memilih cara yang kotor dan jijik, iaitu lompat parti.

Ya, kita diberi kemenangan tambahan di Kedah, Penang, Perak dan Selangor dan hampir mengulingkan BN di Parlimen pada PRU ke-12 atas landasan mahu menegakkan keadilan dan pemerintahan yang beramanah dan bersih.Tetapi bila kemenangan diberikan oleh Allah SWT, ada sesetengah dari kita terutamanya Anwar Ibrahim, ketua pembangkang yang telah lupa akan janji-janji untuk bertindak secara beramanah dan bersih itu.

Anwar Ibrahim tidak sabar untuk menunggu PRU Ke-13 dan telah berusaha dengan cara yang kotor untuk merampas kuasa, iaitu dengan memujuk MP dan ADUN BN lompat parti. Bagi saya jalan kotor yang dipilih Anwar Ibrahim itu telah membawa kepada kemurkaan Allah SWT dengan berlakunya sandiwara lompat melompat di Perak yang berkesudahan dengan keruntuhan kerajaan PR. Entahlah. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Diharap keruntuhan kerajaan PR Perak menjadi suatu pengajaran kepada Anwar Ibahim dan PKR. Jangan cakap tak serupa bikin. Jangan melaung-laungkan slogan keadilan, amanah, bersih dan lain-lain aspirasi yang murni yang diredhai Allah SWT tetapi disebaliknya bertindak dengan cara kotor. Lihatlah apa balasan Allah SWT. Silap-silap haribulan PKR akan dibubar.

Dan kawal dengan rapi ADUN2 PKR dan DAP di Selangor kerana sudah pun ada ura-ura ada yang akan melompat ke BN. PAS pun hati-hati kerana ADUN-ADUN PAS di Kedah sudah juga dipujuk rayu oleh BN.

Sekian.Allahu Akbar !!! Allahu Akbar !!! Allahu Akbar !!!

Tarabulsi
7 February 2009

FENOMENA MENTERI BESAR KERAJAAN PASIR DUA BUTIR

Foto : Leklook bersama Menteri Besar yang diperkenan Sultan, Datuk Dr Zambry ketika sama-sama menghadiri satu persidangan di United Nation University, Tokyo Jepun.

Perak mempunyai dua Menteri Besar. Satu yang mendapat perkenan Sultan, satu lagi yang menderhaka kepada Sultan.

Menteri Besar yang menderhaka tidak mahu menerima hakikat perubahan politik telah berlaku di Perak. Sama ada suka atau tidak, itulah yang dirancang oleh 'Pemimpin Agung' Pakatan Rakyat apabila mahu membeli ahli parlimen Barisan Nasional dahulu untuk menumbangkan kerajaan Persekutuan.

Demontrasi berlaku di Bandar Diraja Kuala Kangsar, mengulangi apa yang pernah dilakukan di ibunegara oleh watak-watak utamanya. Rata-rata yang berdemontrasi dan meniduri laluan kenderaan menuju istana adalah mereka yang berkupiah putih. Tetapi bukanlah mereka yang bergelar imam atau ustaz yang mengajar di masjid atau surau. Mereka adalah pengikut yang terlalu taksub dengan ketuanya.

Kumpulan itu rupanya mempunyai tenteranya sendiri seperti Tentera Merah Jepun (JRA) yang menawan bangunan AIA di Jalan Ampang Kuala Lumpur suatu ketika dulu. Tentera Merah yang menjadi anggota keselamatan tidak bertauliah itu, rupanya lebih ganas daripada JRA.

Mana perginya anggota DAP dan PKR daripada rakan kita keturunan Cina dan India. Mereka rupanya menjadi saksi di luar pagar, pengambaran drama "Jalan Ke Istana'. Maka bertepuk tanganlah penonton di luar pagar melihat gelagat pelakon 'extra' yang ramai itu. Hilang pertimbangan akal dan pegangan keagamaan mereka. Kereta Raja Muda pecah dilontar batu. Kenderaan yang lain apatah lagi!

Di rumah rasmi Menteri Besar, mereka yang hadir kebanyakannya juga berkupiah putih. Seolah-olah Perak dahulu diperintah kerajaan Bulan Mengambang, walaupun hakikatnya Roket yang berkuasa. Bulan Mengambang hanya mempunyai beberapa kerat kerusi yang tidak boleh dibanggakan, kerana majoriti yang kecil.

Sampai bila Menteri Besar yang derhaka itu akan terus berlakon. Siapa pula yang bakal dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan negerinya? Siapa agaknya kakitangan kerajaan negeri yang akan akur dengan perintahnya?.

Maka akan jadilah beliau sebagai Menteri Besar yang berkerajaan di bawah sepohon pokok di kawasan lapang bekas lombong di Pasir Dua Butir arahan Pengarah filem Anwar Ibrahim (bukan Laksamana DoReMe arahan P.Ramlee). Biarlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Thursday, February 5, 2009

NAJIB MENGADAP SULTAN PERAK HARI INI

Hari ini 5 Februari, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Perak akan mengadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh jam 10 pagi.

Beliau dijangka diiringi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Mereka memohon perkenan Sultan untuk menubuhkan kerajaan BN di Perak.

Sementara itu pucuk pimpinan Barisan Nasional belum memikirkan mengenai calon Menteri Besar Perak selepas parti itu diumumkan memperoleh majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

“Itu belum difikirkan oleh Datuk Seri Najib dan Pak Lah tetapi kita ada 28 calon sekarang ini,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BN memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu di Putrajaya semalam.

Wednesday, February 4, 2009

BN MENYAMBAR DI PERAK

Ops Sambar Helang semakin hampir ke penghujung. Nyata BN akan menguasai semula kerajaan Perak. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan menghadap Sultan Perak untuk meminta perkenan menubuhkan kerajaan.

Hasrat Pakatan Rakyat hari ini untuk mendapatkan perkenan Tuanku Sultan bagi membubarkan dewan undangan negeri belum diperolehi.

Kini Barisan Nasional mempunyai 31 kerusi di DUN Perak manakala Pakatan Rakyat (PR) 28 termasuk Speaker. Jika undian dibuat, BN (31) dan PR (27) kerana speaker tidak boleh mengundi.

Itulah senerio di Perak apabila hari in empat ADUN membuat pendirian menyokong BN. Mereka yang menjadi anggota bebas dan menyokong BN (friendly independent) ialah ADUN PKR Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN PKR Changkat Jering Kapt (B) Mohd Osman Jailu dan ADUN DAP Jelapang, Hee Yit Foong. Manakala ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mahu kembali semula kepada UMNO.

Petang tadi sidang media Timbalan Perdana Menteri di pejabatnya sarat dengan anggota media dan pemimpin politik UMNO dari Perak.

Semua ADUN yang menyokong BN memberi ulasan mereka kepada media kecuali Hee Yit Foong yang berkurung di sebuah bilik pegawai TPM. Beliau dikatakan tidak sihat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak dan pemimpin lain yang mengerakan usaha itu kini bolehlah menarik nafas sedikit sebelum upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru.

Kata pengawal peribadinya, "sekarang lega sikit. Selalu kena balik jam 3 pagi". Sekarang helang betul-betul menyambar!

Tuesday, February 3, 2009

OPS SAMBAR HELANG BERULANG DI PERAK

Ops Sambar Helang akan berulang lagi di Perak. Kali ini bukan lagi di Kuala Kangsar tetapi di seluruh negeri Perak.

Bukan lagi satu latihan tetapi realiti politik di negeri Kejo Yeop Kejo.

Tengahari tadi Panglima Perang Pakatan Rakyat turun ke medan menemui Menteri Besar untuk menyusun strategi. Dua orang kuatnya telah berpalih tadah.

Perhitungan awal sudah tidak menjadi walaupun seorang hulubalang musuh telah ditawan.

Kini Panglima Perang sedang menghadapi taktik bekas orang kanannya yang sama-sama berpeguruan.

Strategi bekas pemimpin pemudanya dulu kini nampaknya lebih berkesan. Musuh bakal menawan lima lagi orang kanannya. Jika taktik menjadi, musnah kubu. Menteri Besar dan exco kena lari masuk hutan jadi 'bandit' semula.

Sunday, February 1, 2009

RENCAH POLITIK MALAYSIA

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam ini menafikan meletakkan jawatan mereka, sepertimana yang diumumkan petang tadi.

ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi memaklumkan kepada Utusan Malaysia bahawa beliau dan dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu tidak pernah menghantar surat berhubung perletakan jawatan itu.

Sebaliknya beliau mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi ADUN PKR yang sekiranya mereka keluar daripada parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing. - Utusan

=============================

IPOH 1 Feb. — Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang “hilang” sejak Isnin lepas hari ini mengumumkan peletakan jawatan serta-merta.

Yang Dipertua DUN Perak, V. Sivakumar berkata, ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan itu di rumah beliau pada 5.45 petang tadi.

Dalam kenyataannya yang difakskan ke pejabat media di sini, Sivakumar berkata beliau akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

“Surat peletakan jawatan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh saya berasaskan Artikel XXXV Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Oleh yang demikian saya sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang dengan segera,” katanya. - Bernama

===========================

KOTA BAHARU 1 Feb. - Pas mencadangkan agar Parlimen dibubarkan bagi membolehkan satu pilihan raya umum diadakan semula daripada memperkenalkan undang-undang melompat parti.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, UMNO tidak perlu mengadakan undang-undang itu semata-mata untuk menghalang mana-mana wakil rakyat daripada melompat parti.

“Pada asasnya saya setuju, tetapi lebih baik mereka membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya semula bagi menentukan integriti UMNO dan Barisan Nasional di mata rakyat,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini. - Bernama