Monday, June 30, 2008

SEPUTAR BERITA

PUTRAJAYA 30 Jun – Kedutaan Turki mengesahkan tidak menawarkan suaka politik atau jemputan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari perlindungan di situ, sebaliknya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri meminta kebenaran berada di situ mengikut tempoh yang akan ditetapkannya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Duta Besar Turki ke Malaysia, Barlas Ozener kepada Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika dipanggil ke Wisma Putra, di sini petang ini, bagi menjelaskan kekeliruan tersebut.

KUALA LUMPUR 30 Jun - Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini diarah keluar daripada Dewan Rakyat oleh Yang Dipertuanya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana melanggar peraturan mesyuarat 44 berikutan enggan mematuhi arahan pada sesi soal jawab diadakan.

Beliau dilarang memasuki Dewan selama dua hari selepas enggan duduk ketika diarah berbuat demikian oleh Pandikar Amin ketika bangun membuat soalan tambahan berkaitan dengan projek perumahan yang terbengkalai.

ISU BERSERBAN KETIKA BERMOTOSIKAL SEMAKIN PANAS

Berita TV9 malam tadi menyiarkan isu pemakaian serban oleh pelajar-pelajar institut pengajian Islam di Kelantan. Isu ini timbul apabila seorang pelajarnya ditahan polis kerana memakai serban dan tidak mengenakan topi keledar (helmet) ketika menonggang motosikal.

Kes itu masih dalam perbicaraan di mahkamah dan akan disambung pada 21 Julai depan. Namun pihak polis di Kelantan dengan budibicara mereka melonggarkan undang-undang itu untuk sementara.

Pelbagai pandangan timbul.

Undang-undang terkecuali hanya kepada Pak Haji atau Hajjah yang sudah pergi menunaikan Haji serta masyarakat Sikhs (Singh), dan bukan golongan remaja termasuk pelajar-pelajar berkenaan.

Namun Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan mengapa anak-anak 'singh' masih dibenarkan. Dan beliau akan membawa isu berkenaan ke Parlimen. Manakala seorang guru di sebuah pondok di Kota Baharu menegaskan pemakaian serban adalah sunnah Rasullulah, dan mengapa perlu ditegah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebelum ini berkata jika mahu pemakaian serban dibenarkan ke atas pelajar berkenaan atau individu lain, undang-undang harus dipinda. Dan menurutnya setakat ini kerajaan belum berhasrat untuk melakukan pindaan itu.

Isu yang dilaporkan itu turut mendapat perhatian beberapa penonton TV9 termasuk seorang AJK Majlis Keselamatan Jalanraya Selangor. Pandangan beliau di bawah ini juga ada asasnya.

(Email - 2)
Assalamualaikum !
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menyiarkan E mail yang saya kirimkan.


Saya masih tidak faham kerana mereka masih mengutarakan perkara sunat pemakaian serban bukanya wajib. Menjaga kepala dan nyawa adalah lebih wajib. Apa yang penting kita lebih mementingkan keselamatan mereka, yang sudah pasti kurang kesedaran tentang keselamatan diri yang perlu diutamakan.

Mungkin perlu ada pendekatan yang boleh diambil, di mana para pelajar ini boleh dibantu dengan kempen pemakaian topi keledar yang dilaksanakan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

Helmet telah diberi secara percuma kepada penduduk luar bandar semasa kempen Pemakaian Topi keledar Di luar Bandar Negeri Selangor tahun lalu.

Mereka ini masih mentah dan perlukan didikan bukan sahaja dari sudut agama malah dari sudut keselamatan terutama Keselamatan Jalan Raya. Didikan boleh diberikan dengan kita mendekati mereka tentang pentingnya pemakaian topi keledar dalam bentuk ceramah. bagi diri saya, tidak keberatan untuk membantu.

Untuk maklumat lanjut Sdr M. Lokman boleh hubungi JKJRM Putrajaya di Kementerian Pengangkutan. Ketua Pengarahnya Y.B. Datuk Suret Singh.Saya takut isu ini boleh dijadikan isu politik oleh pihak tertentu serta perkauman dan lebih banyak negative daripada positive.

Note : anak-anak kaum Singh dan Singh dewasa yang pakai turban susah pakai helmet kerana ada tonchet (lilitan rambut di kepala). kita mesti hormati mereka malahan belum ada ciptaan helmet khas untuk mereka.

Tetapi berbeza di UK mereka wajib memakai helmet walau dalam apa jua keadaan.Semoga usaha kita untuk mendidik boleh menyelamatkan mereka yang menggunakan jalan raya setiap hari. Mendidik bukan dalam bentuk saman.

Sekian, Terima kasih

Yang Benar
MOHD RAWI OMAR
Chief Instructor Advanced Motorcycle Riding Training
Merangkap - AJK Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya N. Selangor.

(Email 1)

Penerbit Berita TV 9
Jam 8 malam
28 Jun 2008

Tuan,

Merujuk perkara di atas saya terpanggil untuk menerangkan apa yang telah diutarakan oleh Menteri Berkenaan yang mengulas penguatkuasaan Pemakaian Topi Keledar yang menyatakan Haji, Hajah, Singh wajib memakai Topi keledar bila menunggang motosikal di atas jalan di Malaysia.

Sepatutnya menteri berkenaan merujuk dahulu kepada Road Transport Rule 1959 atau Ordinan Lalulintas 1959. Kewajipan pemakaian topi keledar oleh penunggang dan pembonceng motosikal telah diwartakan pada 1 Mac 1973 ( Motorcycle Safety Helmet Rules 1973 ) P.U (A) 43/1973*. di mana setiap penunggang dan pembonceng wajib memakai topi keledar bila berada di atas jalan.

Walau bagaimana pun pindaan telah dibuat pada 1975 ( Exemption Notification 1975 ) P.U.(B) 23/1975. yang memberikan kebenaran, tidak perlu memakai topi keledar bila menunggang dan berada di atas jalan kepada (a) Haji, Hajjah dan Lebai yang memakai serban dan (b) Sikhs yang memakai turban.

Oleh itu mulai awal tahun 1975 semua yang disebut tadi dikecualikan daripada memakai topi keledar kepada yang origenal Haji dan Hajjah serta Lebai yang sah sahaja telah menunaikanya di Mekah dan Kaum Sikhs yang origenal sahaja. ( Mesti pakai serban bukan songkok haji ).

Saya ingin menasihatkan kepada adik-adik yang cuba mencabar undang-undang supaya kembali memuhasabah diri bahawa pemakaian topi keledar adalah untuk keselamatan mereka sendiri dan dalam ugama kita, Islam juga melarang kita melanggar undang-undang dunia seperti undang-undang jalan raya yang diwartakan untuk keselamatan semua umat manusia di Malaysia.

Islam melarang mendedahkan diri kepada bahaya iaitu bila berada di atas jalan yang mempunyai beribu-ribu jenis bahaya yang sentiasa menunggu untuk membinasakan kita. Ingat dari stastik menunjukkan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal adalah 70% kecederaan di kepala.

Saya sering mengutarakan perkara ini kerana saya sendiri penunggang motosikal.

Sekian, Harap maklum

MOHD RAWI OMAR
Chief InstructorAdvanced Motorcycle Riding Training
Merangkap - Ahli Jawatankuasa Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor.(MKJRS)

DAKWAAN TERBARU MEWARNAI DUNIA KEWARTAWANAN


Kemelut terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim memperingatkan kita terhadap tangkapan ke atas beliau 10 tahun lalu di kediamannya di Bukit Damansara.

Kekecohan di hadapan sebuah hotel di Shah Alam semalam seakan sama yang dicetuskan oleh penyokongnya. Namun semalam tiada tangkapan dilakukan kerana Anwar dikatakan disembunyikan di Kedutaan Turki di ibu negara.

Peristiwa 20 September 1998 dirakamkan oleh pelbagai pihak, sama ada di kalangan media atau individu. Kemelut itu berlanjutan sehingga kepada pembicaraan Anwar di mahkamah. TV3 yang membuat liputan secara langsung pada minggu-minggu pertama perbicaraan memenangi anugerah Liputan Secara Langsung terbaik.

Dan kini setelah pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar dibebaskan. Namun Paklah menafikan pembebasan Anwar hasil daripada kerja tangannya. Begitu juga hari ini, Paklah menafikan sekeras-kerasnya ia adalah konspirasi daripada Barisan Nasional.

Tak tergamak beliau dan rakan-rakannya termasuk timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melakukan perbuatan itu.

Apapun kemelut terbaru ini mewarnai kehidupan wartawan dan media yang membuat liputan serta menyiarkannya. Tak mungkin ada perkataan 'dry' oleh wartawan dan editor dalam seminggu dua ini.

Sunday, June 29, 2008

INDIA PENGELUAR PELURU BERPANDU TERPANTAS DI DUNIA

(Bergambar di hadapan Brahmos, di India beberapa tahun lalu)

India adalah antara negara di dunia yang mengeluarkan peralatan pertahanan mendahului negara-negara lain. Selain mampu mengeluarkan pesawat pejuang, India turut mengeluarkan peluru berpandu jarak jauh.

Brahmos adalah peluru berpandu supersonik (supersonic cruise missile) yang berupaya dilancarkan sama ada dari laut dan darat, iaitu dari kapal selam, kapal laut mahupun pesawat udara.

Perkataan BrahMos diambil daripada singkatan nama dua sungai dari dua negara yang bekerjasama mengusahakan pengeluaran peralatan pertahanan itu. Iaitu sungai Brahmaputra di India dan Moskva di Russia.

Syarikat pengeluar peluru berpandu berkenaan iaitu BrahMos Corp. ditubuhkan hasil usahasama diantara Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan India dan NPO Mashinostroeyenia Russia.


Peluru berpandu Brahmos dihasilkan berdasarkan teknologi peluru berpandu Yakhont dari Russia. Namun pembangunannya dipantau dan dipandu oleh BrahMos Corp.

Dengan kelajuan diantara 2.5 Mach hingga 2.8, ia dikategorikan sebagai peluru berpandu lautan yang paling pantas di dunia. Malah ia tiga setengah kali lebih pantas daripada peluru berpandu supersonik Harpoon dari Amerika Syarikat. Minat Malaysia terhadap keupayaan Brahmos telah dizahirkan melalui lawatan ke India beberapa tahun lalu.

(Satu lagi produk pertahanan India yang sempat ditinjau)

AL KISAH DITUDUH LIWAT LAGI


Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh lagi lakukan liwat.

Bagi penyokong dan pendokong perjuangannya laporan ini dianggap suatu dakyah politik. Manakala bagi mereka yang tidak sehaluan terutama penentangnya, ia sesuatu yang amat dinanti.

Namun bagi yang tiada kepentingan, mereka hanya menunggu episod selanjutnya melalui laporan polis dan keputusan mahkamah.

Sama ada ia sesuatu kejadian yang benar hanya Allah yang mengetahuinya. Apapun kalau ia direka mengapa pemuda itu sanggup membuat laporan polis dan mengadai maruah? Mungkinkah wang lebih mulia daripada segala-galanya?

Hari ini pelbagai reaksi dilontar oleh kebanyakan pemimpin politik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan polis mengenai dakwaan beliau meliwat seorang pembantunya. Beliau menyifatkan, ia hanya rekaan semata-mata'.

Pemimpin de facto PKR itu menyifatkan dakwaan itu bertujuan menyekat kebangkitan karier politiknya selepas pakatan pembangkang mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum Mac lalu.

Manakala isterinya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata mendakwaan itu bertujuan mengalihkan perhatian rakyat berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Namun bagi Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula tuduhan itu menjejaskan pembangkang dan mahu polis menyiasatnya secara terperinci
.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan bagi menentukan kesahihannya.

Dan terbaru Datuk Seri Anwar mendakwa beliau menerima ancaman bunuh.

Apapun desas desus polis akan menangkap beliau dalam masa terdekat ini membuatkan penyokongnya menyembunyikan Datuk Seri Anwar.

Wednesday, June 25, 2008

SATU LAGI PRODUKSI DARIPADA GBSB


USAHA PEMBAHARUAN OLEH ABDULLAH PERLU DITERUSKAN

OLEH AZMAN UJANG

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedang mengharungi satu tempoh yang sukar. Sebenarnya kesukaran ini turut dirasai ketua kerajaan negeri di seluruh negara tetapi, bagi Perdana Menteri, tugasnya lebih berat ekoran kekalahan paling teruk yang dialami oleh Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mac lepas. Lawan politiknya yang semakin bertambah di Parlimen tidak putus-putus menyerangnya.

Tidak cukup dengan itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membidas Abdullah menerusi laman blognya, chedet.com, yang dilaporkan mencatat lebih satu juta hits dalam masa sebulan sejak ia dilancarkan pada 1 Mei.

Dr. Mahathir telah mendesak Abdullah, orang yang beliau sendiri pilih sebagai penggantinya, supaya berundur tetapi serangan peribadi daripada bekas bosnya itu membuatkan Abdullah lebih bertekad dan tertumpu kepada tugasnya. Tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kenaikan harga minyak sedang dirancang oleh PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Di sebalik semua ini, timbul ura-ura pemimpin tidak rasmi Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ingin membentuk sebuah kerajaan pusat dengan mengharapkan Anggota Parlimen BN berpaling padah.

Bahkan, Parti Maju Sabah (SAPP) yang kecil itu dengan hanya dua Anggota Parlimen, telah memberontak dan mengancam akan menyokong undi tidak percaya terhadap Abdullah.
Namun, pada Isnin lepas, Abdullah melangkah keluar dari Parlimen dengan senyuman lebar kerana berjaya melepasi satu lagi ujian apabila satu usul kerajaan diluluskan dengan majoriti besar.

Abdullah telah membuktikan satu perkara -- beliau mempunyai sokongan dan sesiapa saja yang memperkecilkan kemampuan beliau perlulah melihat semula situasi politik semasa.

Bagaimanapun, beliau juga harus menangani satu lagi halangan -- azamnya melaksanakan pembaharuan memerlukan sokongan pemimpin-pemimpin partinya.

Ia ibarat pepatah diluah mati emak, ditelan mati bapa. Abdullah faham bahawa generasi Ipod dan Facebook (jaringan sosial laman web) mahukan pembaharuan. Apa tidaknya, lebih 60 peratus daripada 26 juta penduduk negara ini, berusia di bawah 24 tahun.

Tetapi ada juga padahnya. Beliau bersetuju supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu klip video V.K.Lingam tetapi pembangkang memanfaatkan isu ini untuk kepentingan mereka.

Abdullah didakwa menjadi punca bagi keputusan itu dan juga status badan kehakiman, yang belum benar-benar pulih daripada krisis pada 1988 yang menyaksikan beberapa hakim dipecat atau digantung perkhidmatan.

Ekoran tsunami politik pada 8 Mac lepas, ada pihak dalam Umno yang mencadangkan agar dikembalikan pemerintahan secara autoritatif seperti yang diamalkan oleh pentadbiran sebelumnya.

Bagaimanapun, Abdullah sebaliknya menjanjikan lebih banyak pembaharuan untuk badan kehakiman. Beliau membenarkan, buat pertama kalinya, persidangan Dewan Rakyat disiarkan secara langsung untuk 30 minit pertama, walaupun ramai pemimpin Umno kurang senang.

Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, yang bertanggungjawab mengenai undang-undang, berhubung penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim mendapat sokongan, walaupun beberapa anggota kabinet tidak bersetuju. Langkah sedang diambil untuk menjadikan Badan Pencegah Rasuah, bebas.

Pada mesyuarat kabinet dan pada satu pertemuan kepimpinan Umno di Shah alam baru-baru ini, editor-editor akhbar dibidas kerana memberi liputan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

"Beberapa pemimpin Umno tidak selesa melihat pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam media, yang dimiliki oleh BN, (tetapi mereka ini) lupa bahawa mereka (Pakatan Rakyat) menguasai lima negeri. Jadi, para editor dibidas tetapi PM mempertahankan editor-editor ini," kata sumber.

Perdana Menteri juga bersetuju dengan keputusan membenarkan Parti Keadilan Rakyat menerbitkan akhbar parti itu sendiri.

Abdullah juga melantik Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Maybank yang terkenal dengan ciri-ciri kepimpinan yang bersih dan telus, untuk menerajui Unit Perancangan Ekonomi.

"Amirsham bukan ahli politik. Beliau tidak dapat menjawab dengan baik soalan di Parlimen dan dia juga kurang menonjol dengan media, tetapi dianya seorang yang bersih," kata seorang menteri kabinet.

Ramai yang tidak sedar mengenai keputusan Abdullah memberikan konsesi mengutip tol di Jambatan Pulau Pinang kedua, yang sedang dibina, kepada pembida tertinggi, dan ini menjimatkan RM18 bilion kepada kerajaan dalam tempoh 45 tahun.

Abdullah mempunyai satu imej yang amat mesra dan terlalu mudah bersetuju tetapi mereka yang rapat dengannya tahu bahawa beliau seorang yang tegas. Berbanding dengan pemimpin terdahulu daripadanya, Abdullah lebih banyak berusaha membawa pembaharuan.

Momentum yang dihasilkannya tidak sepatut luntur kerana sering kali pelaksanaannya didapati tidak menepati sasaran.
-- BERNAMA

Sunday, June 22, 2008

AKADEMI NASYID DI TV9 MELETUP

Akademi Nasyid di TV9 harus ditonton. Saya bukanlah mudah untuk melekat di kaca TV sehingga satu-satu program itu tamat. Tetapi apabila menonton program realiti itu di TV9 selepas Berita TV9 tamat, ia menjadikan hati saya terpaut.

Seramai 12 peserta mengambil bahagian dalam episod pengenalan itu. Ia terdiri daripada pelbagai termasuk kumpulan lelaki dan wanita serta individu lelaki dan wanita.

Yang membuatkan saya terlekat di depan TV kerana lagu-lagu dan susunan muziknya di bawah arahan Yasin menyegarkan halua telinga. Uztaz Asri (Rabbani) selaku Penasihat program itu dan team pemilihan, juga bijak memilih dan menapis 12 peserta itu daripada lebih 4,000 yang menyertainya pada tapisan awal.

Lagu-lagu nasyid yang dipersembahkan pelbagai. Itu yang membuatkan saya tak jemu mengikutinya. Saya bukan tahu mengenai muzik. Namun melalui pengamatan itu, persembahan itu merangkumi antaranya nasyid berirama Malaysia, ala-ala Al-Suraya atau Jawahir, rap dan ala-ala M.Nasir.

Secara peribadi saya boleh katakan semua peserta sudah menjadi johan. Tetapi kerana ia pertandingan, penilaian harus dilakukan berdasarkan beberapa faktor termasuk 50% undian melalui SMS daripada penonton.

Sesiapa yang ketinggalan untuk mengikutinya jangan lupa setiap Sabtu selepas Berita TV9. Galeri Nasyid juga akan ke udara hari-hari sebelum itu, bagi menampilkan aktiviti peserta mengikuti kelas Nasyid.

Yang pasti Akademi Nasyid akan 'meletup' selepas ini!

Saturday, June 21, 2008

PINGAT ANUGERAH MELAKA

Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) (Instituted 1 June, 1978)
Darjah Gemilang Seri Melaka(D.G.S.M.) (Instituted 8 June, 1983)
Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.) (Instituted 1 June, 1978)
Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.) (Instituted 1 June, 1978)Darjah Seri Melaka (D.S.M.) (Instituted 1 June, 1978)

Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M.) (Instituted 8 June, 1988)
Bintang Gagah Perwira (B.G.P.) (Instituted 1 June, 1978)
Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T.) (Instituted 1 June, 1984)
Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) (Instituted 1 June, 1978)
Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M.) (Instituted 1 June, 1978)
Pingat Khidmat Lama (P.K.L.) (Instituted 1 June, 1978)

Honorary Titles
Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.)
Gentlemen: Datuk Seri Utama
Ladies: Datuk Seri Utama
Wives: Datin Seri Utama
Husbands: No Titles
Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.)
Gentlemen: Datuk Seri
Ladies: Datuk Seri
Wives: Dating Seri
Husbands: No Titles
Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.)
Gentlemen: Datuk Wira
Ladies: Datin Wira
Wives: Datin Wira
Husbands: No Titles
Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.)
Gentlemen: Datuk
Ladies : Datuk
Wives : Datin
Husbands : No Titles

Antara yang menerima anugerah pada 2006:
(kenalan bertanda merah)

DARJAH GEMILANG SERI MELAKA (D.G.S.M)
YB Senator Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, YB Dato Seri Dr Chua Soi Lek, YB Datuk ZainudinMaidin
DARJAH CEMERLANG SERI MELAKA (D.C.S.M)
YAA Dato Abu SamahNordin, YBHG Tan Sri Mohd AnwarMohd Nor, YBHG Tan Sri Musa Hassan, YBHG Tan Sri Dato Seri Dr Haji Zainul AriffHj Hussain, YBHG Datuk KhalibMohamad Noh, YBHG Dato Seri Adam Sani Abdullah, Y Bhg Dato Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah
DARJAH MULIA SERI MELAKA (D.M.S.M)
YBHG Dato Hishamuddin Aun, Ibrahim Yahaya, YB Tuan Haji Idderis Hj Kassim, Ismail Mohamed, Tuan Haji Khamis Ahmad, Latifah Datuk Abu Mansor, YB Tee Siew Kiong, Y.Mulia Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Ydh Toh Sedewa Raja Abd Talib Abd Fahmi, Yahya Jaafar, Zainal Rahim Seman, Haji Zainuddin Haji Suut, Datin Pn Hjh Zaitun Ab Rahman, Dr Zakriya Mahamooth , Dato Zulkifeli Mohd Zin
DARJAH SERI MELAKA (D.S.M)
Abdul Aziz Abdul Razak, Tuan Haji Abdul Kader Hassan, Abdullah © Zakaria Ghazali, Prof Dr Abu Abdullah, Ahmad Md Yassin, Ahmad Husny Mohamed Hussin, Ahmad Sabri Yusuff, Alias Abd Mutalib, Anuar Mad Said, Bien Chia Hsui, Bukhari Che Muda ,Faisal Mohd Hanafiah.
BINTANG CEMERLANG MELAKA (B.C.M)
Ismalina Ismail, Izam Ariffin, Monshi Abdullah, Muhammad Pehimi Yusof, Mustapa Omar, Ngwe Hee Sem, Nik Noriza Nik Salleh, Nik Yahya Ab Rahman, Nor Azita Abdul Rahman, Norashikin Abdul Rahman, Nordin Ali ,Norhamizah Mat Tahir, Norhashimah Yaakob.


(Datuk Tengku Sariffuddin, Setiausaha Akhbar TPM antara sahabat yang dianugerahkan DMSM)

SENJATA DAN PELURU HABIS DALAM SIMPANAN

(Menjelang Mesyuarat Agung Cawangan)

Angin perubahan semakin kencang. Kalau dulu untuk mengadakan mesyuarat agung cawangan tidak sukar, kini ia dirasakan semakin tidak mudah.

Malah ada sesetengah ketua cawangan masih tidur dan tak bangun-bangun lagi. Manakala yang lain telah menghilang entah ke mana? Apa lagi yang hendak diharap kepada Pemuda dan Puteri yang sebelum inipun susah untuk mendapatkan korum.

Menjelang mesyuarat agung cawangan Julai depan Ketua Bahagian terpaksa berhempas pulas. Yang tidak cukup masa untuk buat kerja ialah Setiausaha Bahagian. Tapi kadang-kadang Setiausahapun hilang jugak. Tinggallah dua tiga orang jawatankuasa pengurusan parti peringkat bahagian melaksanakan tugas yang belum pernah terlalu mencabar seperti sekarang.

Ada sesetengah cawangan pula menghadapi masalah baru. Tapak pejabat dan bilik gerakan cawangan menghadapi tindakan dihalau oleh tuan tanah kedayung. Kini semakin terkapai-kapai tak tentu haluan.

Dahan tempat berpaut sudah hilang. Zaman bahagia sudah berlalu. Hanya tinggal sisa-sisa semangat juang yang semakin luntur.

Pemimpin atasan perlu turun padang untuk meninjau dan memberikan suntikan baru. Inilah sebenarnya permulaan perjuangan. Selama ini mereka sudah tersalah perhitungan kerana latihan yang dihadapi telah disalah tafsir sebagai berada di medan pertempuran. Maka habislah senjata dan peluru dalam simpanan.

Foto hiasan : Mesyuarat Agung Cawangan

Wednesday, June 18, 2008

MAZIDUL MENGELUH PASAL BLOGNYA

Siang tadi (dah semalam rupanya) saya menghadiri sesi Penilaian Modal Insan oleh sebuah agensi perunding bagi pihak Media Prima. Ramai kawan-kawan dari pelbagai jabatan hadir termasuk staf dari beberapa stesen TV di bawah naungannya.

Kebetulan saya semeja (sekumpulan) dengan personaliti glamor TV3, saudara Mazidul Akmal Sidek yang berbadan sasa. Beliau kini dipertanggungjawabkan di Media Prima sebagai orang kuat untuk mengemudi beberapa rancangan berbentuk majalah bagi stesen-stesen TV di bawah payung syarikat konglomerat itu.

Namun Mazidul masih menjadi peneraju bersama untuk 'talk show' Malaysia Hari Ini (MHI) dan '360'. Saya sempat bersembang-sembang dengan beliau dan bercerita mengenai kampungnya yang pernah saya kunjungi di Sungai Bil, Slim River Perak. Menurut Mazidul untuk mengetahui mengenai kampungnya itu boleh layari sahaja blognya di sini.

Beliau berkata hanya sebulan mengendalikan blognya, dia sudah mendapat hits sebanyak 14 ribu. Orang ada nama dan popular tidak mustahil untuk bergelar jutawan blog selepas ini.

Namun beliau menghadapi beberapa kekangan dalam mengendalikan blog yang baru terbinanya itu, yang menjadi medium mudah baginya untuk berinteraksi dengan peminat.

Sunday, June 15, 2008

ALI RUSTAM WANTS POLICE TO INVESTIGATE FALSE BLOG

Chief Minister Datuk Seri Mohd Ali Rustam wants the police and the Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) to take appropriate action against those who had created false blogs in his name.

He said the false blogs are http://mohamadalirustam.blogspot.com and http://mohdalirustam2.blogspot.com.

"My actual blog is www.mohdalirustam.com," he told reporters here
today.

Mohd Ali said both the false blogs were still active and carrying articles purportedly written by him and there were also comments on the articles written.

He said there were people who had included comments using his name in the blog created by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad although these comments did not come from him.

He believed those responsible for the false blogs had malicious intention against him. He said a police report on the matter had been lodged by his special assistant in charge of his blog, Ahmad Faisal Mohd Yunos at the Melaka Tengah
Police Station, here today.
-- BERNAMA

Friday, June 13, 2008

FUDZAIL BANGGA DIKUNJUNGI DSAI


Sahabat saya Fudzail yang sekarang menetap di Dubai, UAE memang patut berbangga kerana dikunjungi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
Pemimpin de facto PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa sempat menjamu selera di rumahnya pagi tadi.

Kebanggaan Fudzail tidak dapat disembunyikan apabila saya juga diberitahu mengenai kunjungan itu oleh beliau. (Foto : Fudzail berbaju hijau di sebelah DSAI)

Sebagai pejuang "reformasi" sejak di Sri Pentas dahulu, saya rasa ia sedikit sebanyak sudah berbayar dengan kunjungan itu. Fudzail adalah 'key person' di unit IT sejak 1992 hingga 1999 sebelum berhijrah bersama keluarga ke Dubai pada tahun 2000.

Walaupun pakar dalam bidang IT sehingga terbabit dalam pembangunan antaranya Dubai Internet City dan Dubai Media City, Fudzail berkebolehan menghasilkan karya dalam penulisan kreatif.

Buku pertama karyanya 'Waikato' yang diterbitkan DBP sesuatu yang amat dibanggakan berbanding mereka yang memang mencari makan dalam bidang penulisan.

Beliau juga telah memenangi pelbagai Hadiah Sastera bagi genre cerpen dan sajak. Walaupun jauh dari tanahair, karyanya sentiasa dimuatkan di dalam akhbar-akhbar tempatan sehingga kini.

Fudzail yang saya kenali amat kuat berpegang kepada pendirian politiknya sejak dahulu lagi. Dan beliau begitu kritis menyuarakan sesuatu isu. Walaupun tiba-tiba saya baru sedar, kami berlainan fahaman politik, kami tetap bersahabat!

(Foto pada entri ini diperolehi daripada blog beliau di sini.)

REBET MINYAK SETAHUN HABIS DALAM TEMPOH SEHARI


Bagi pemilik kenderaan persendirian, berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta ‘trak pick-up’ dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun, bagi setiap kenderaan. Manakala bagi pemilik motosikal persendirian, berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai RM150 setahun.

Cuba fikir, wang bayaran rebet setahun dengan jumlah itu dan mengambil masa panjang berbaris di pejabat pos mulai esok, akan hanya dibelanjakan dalam masa sehari.

Selepas duit habis, tanggunglah sendiri dengan mengisi minyak satu liter RM2.70 sepanjang tahun.

Jadi....janganlah ghairah sangat nak duit itu tanpa memikirkan subsidi minyak selama setahun yang sudah dibelanjakan itu. Jimatlah berbelanja!

Wednesday, June 11, 2008

JANGAN LETAK KERETA DI KL


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang awal bertindak berikutan pengumuman kenaikkan harga minyak baru-baru ini.

Langkah terbaru yang diumumkan Datuk Bandar, Datuk Ab Hakim Borhan hari ini akan terus menghimpit kehidupan rakyat khususnya warga kota dan mereka yang berkereta ke Kuala Lumpur.

Berkuatkuasa Isnin ini kenaikan caj tempat letak kereta dikenakan sehingga hampir 35 peratus berikutan langkah DBKL melaksanakan Sistem Letak Kereta Eletronik (SLKE).

Melalui sistem itu pemilik kenderaan dikehendaki membayar caj 80 sen sejam bagi setiap petak letak kereta di pusat bandar berbanding hanya 60 sen sekarang.

Bagaimanapun kadar letak kereta di luar pusat bandar (pinggir bandar) dikurangkan 10 sen kepada 50 sen sejam.

Caj sekarang adalah satu kadar sahaja iaitu 60 sen sejam bagi pusat bandar dan luar pusat bandar.

DBKL juga mengumumkan lanjutan tempoh masa bayaran letak kereta bermula 7.30 pagi hingga ke 10 malam sepanjang tujuh hari seminggu, berbanding sekarang 8 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, kecuali Ahad dan cuti umum.

Dan tiada pengecualian diberikan apabila pemilik kenderaan juga dikehendaki membayar caj letak kereta pada setiap cuti umum.

Langkah baru itu akan mula dilaksanakan di kawasan yang dilengkapi dengan SLKE bagi fasa pertama iaitu di kawasan Bukit Bintang, Masjid India, Jalan Sultan Ismail, Kampung Baru, Chow Kit, Pudu, Kompleks Damai dan Jalan Loke Yew.

Langkah selepas ini;
1. Jangan masuk Kuala Lumpur menggunakan kereta, walaupun pada hujung minggu.
2. Kalau teringin jugak memandu dan meletak kereta di ibu kota, lakukan selepas jam 10 malam setiap hari dan balik sebelum jam 7:30 pagi.
3. Gunakan LRT atau apa saje kenderaan awam yang murah.
4. Bermotosikal atau berbasikal - jadikan Kuala Lumpur seperti Amsterdam,
5. Berkongsi kereta ke Kuala Lumpur.
6. Tukar kerja keluar dari Kuala Lumpur atau minta bos tukar pejabat di luar Bandaraya.
7. Jangan pergi ke Kuala Lumpur jika tidak terlalu perlu.
8. Beralih urusan kehidupan dari Kuala Lumpur seperti berbelanja di pasar borong Selangor dan elak berbelanja di pasar Chow Kit, memperbaharui Maykad di Putrajaya, melakukan urusan EPF atau Tabung Haji di Petaling Jaya.

Banyak lagi......

KOMANDER RAMLI TAK SUKA GIGI EMAS M.DAUD KILAU

(Jangan marah! aku kauk foto ni..)

Setelah tiba-tiba terbaca komen daripada Komander Ramli Kardi dalam entri sebelum ini, kali ini izinkan saya menulis sedikit mengenai Komander Ramli. Rakan dan orang kampung yang menjadi kebanggaan Bagan Datoh.



(Saya bersama Sultan Selangor - Komander Ramli beruniform Navy)

Beliau kini menjadi ADC Sultan Selangor sejak beberapa tahun lalu. Kalau ada foto Tuanku Sultan di dada-dada akhbar atau muncul di kaca TV, maka adalah muka beliau beruniform putih segak di samping baginda.

Beliau adalah pengawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang boleh dibanggakan. Sebagai pegawai dalam pasukan PASKAL (komando Navy), beliau memang menyukai sesuatu aktiviti yang mencabar.

Misi Khutub Utara bersama-sama Datuk Rahim Dahlan (Rahim King) yang disertai krew TV3 dulu adalah sesuatu catatan sejarah yang tidak boleh dilupakan.

Walaupun sudah berada di atas, sikap kekampungan beliau masih boleh dibanggakan. Masih tidak membangga diri dan prihatin terhadap kehidupan masyarakat.

Dalam keterangan peribadinya dalam geogle beliau hanya menyatakan dirinya sebagai 'wong jowo bagan datuk' . Manakala pekerjaannya dinyatakan sebagai kerja kampung, tanam sawit lepas pencen askar ayor (Navy lah tu..)

Beliau amat menyemari sky diving, scuba diving, golf dan yang best Volkswagen Beetle (macam aku jugak mula-mula dulu).

Selain filem Rambo sebagai kegemaranya, dan Kenny G menjadi musik favouritenya, yang saya tak tahan beliau tak suka M. Daud Kilau (orang Bagan Datoh jugak ni) kerana gigi emasnya.

Harap-harap Datuk M. Daud Kilau tak baca entri ini.

Mengapa tak suka gigi emas? Komander Ramli kena jawab sendiri!

Tuesday, June 10, 2008

MENCARI IDENTITI

Indah - rupanya tidak cantik
Mahal - rupanya tidak menarik,

Cita rasa sama tetapi tidak serupa
Bergolak menipu situasi,

Di depan berkata "iya"
Di belakang seribu sumpah seranah,

Menjelma menjadi bebola hipokrasi
Hilang di udara, kemudian muncul silih berganti,

Dua personaliti berbeza, menguasai diri
Hilang dalam siang, menjelma pada malam,

Tanpa tabir awan, tanpa lindungan bulan
Merkah dan berkecai lagi.

Sunday, June 8, 2008

GUNA KERETA KECIL UNTUK PERGI KERJA

Ketika harga petrol naik sekarang ini, masing-masing tercari-cari kereta kecil sebagai alternatif. Dengan harga petrol RM2.70 seliter, kereta yang saya gunakan kini memerlukan sehingga lebih RM150 untuk memenuhkan tangki.

Lebih 10 tahun dulu saya pernah menggunakan kereta MPV Citreon Evasion untuk pergi kerja. Kereta itu memang sesuai untuk mereka yang mempunyai anak ramai. Tetapi amat tidak ekonomik untuk dibawa pergi kerja.

Saya membelanjakan kira-kira RM400-RM500 sebulan hanya untuk mengisi petrol pergi kerja yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari rumah. Memandangkan kosnya terlalu mahal, saya membeli Kancil untuk pergi kerja. Evasion pula saya tinggalkan di rumah untuk isteri menghantar dan mengambil anak dari sekolah.

Bayangkan dengan perbelanjaan bulanan 'duit minyak' Evasion sebelum ini, saya dapat menggunakannya untuk membayar ansuran bulanan kereta kancil termasuk kos petrolnya.

Selepas lama menggunakan Kancil, saya bertukar kepada Kelisa untuk pergi kerja. Manakala Evasion masih digunakan selama lapan tahun untuk keperluan keluarga.

Kini setelah beberapa tahun menggunakan mini MPV berteknologi Korea untuk pergi kerja dan MPV 'recond' buatan Jepun untuk keperluan keluarga, saya memikirkan untuk menggunakan kaedah itu lagi setelah harga minyak melambung.

Rasanya Proton Saga dan Viva boleh dipertimbangkan untuk membantu mengurangkan pembasiran kos perjalanan ke tempat kerja setiap hari.

PERPADUAN MELAYU TERENDAH

Foto fail : Ketika penamaan calon


Semalam ketika merasmikan majlis konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata perpaduan orang Melayu kini berada pada tahap rendah.

Menurutnya ini kerana mereka kini tergolong dalam pelbagai organisasi yang mempunyai pandangan dan hala tuju berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kebanyakan mereka kini lebih suka membawa haluan sendiri dan tidak memiliki hala tuju yang spesifik berbanding masyarakat Melayu terdahulu.

“Keadaan itu menyebabkan banyak organisasi di luar lingkungan kita mula melontar beberapa pandangan yang dulunya relevan tetapi kini tidak lagi relevan, umpamanya dalam soal ketuanan Melayu,” katanya.

Menurut beliau sejak kebelakangan ini terdapat banyak pihak yang mula mempertikaikan hak orang Melayu dan bumiputera walaupun perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Seandainya ada pihak mempertikaikan hak kita di negara ini, kita juga boleh mempersoalkan hak mereka. Tetapi ini tidak bermaksud kita menolak hak masyarakat lain yang ada di negara ini sebaliknya kita hanya mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” tegasnya.

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati hak yang telah diberikan kepada mereka dan jangan sesekali mempertikaikan hak orang lain kerana ia mungkin akan menimbulkan isu perkauman.

“Kita tidak minta lebih, hanya mahu mengekalkan apa yang kita ada sahaja dan kita juga tidak mahu mengganggu hak orang lain,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga menyeru semua pihak agar bersatu supaya dapat bersama-sama memartabatkan imej serta kebudayaan orang Melayu di negara ini.

“Sudah sampai waktunya kita bangkit dan bersatu demi memartabatkan ketuanan Melayu di tanah air kita serta mendapatkan kembali apa yang telah hilang,” tegasnya.

Tuesday, June 3, 2008

PENGURUSAN PELANCONGAN BELUM BERTARAF GLOBAL

Kompleks Sejarah Pasir Salak :
Cuti panjang persekolahan seperti yang lazimnya, saya akan membawa anak-anak melancong di dalam negara. Oleh kerana cuti yang saya ambil tidak lama, saya hanya membawa mereka menziarahi bapak di kampung.

Dan untuk menghilangkan rasa bosan bapak, saya membawanya bersama anak-anak ke beberapa destnasi yang tidak jauh dari kampung.

Kali ini ke Pasir Salak, tempat J.W.W Birch dibunuh. Walaupun tidak sampai 30 minit dari kampung, saya sendiri tidak pernah menjenguk ke tempat itu. Kali ini saya terpanggil untuk singgah ke “Kompleks Sejarah Pasir Salak” itu kerana anak-anak juga begitu kepingin untuk melihatnya. Lagipun ia berada dalam perjalanan kami ke destinasi utama Damai Laut.

Dan apa yang sering kami alami ketika melancong di dalam negara sebelum ini, rupanya masih kami hadapi ketika mencari lokasi sebenar Pasir Salak kali ini. Masalah papan tanda arah, itu yang membuatkan kami menyampah!

Papan tanda itu begitu gah dipasang dari Lebuhraya utara-selatan, kemudian keluar dari Bidor ke Teluk Intan dan dari Teluk Intan ke Bagan Datoh serta sebaliknya.

Namun paling akhir kami menemui papan tanda itu di satu simpang (Kampung Dedap) dalam perjalanan diantara Jambatan Sultan Yusof dan Lumut.

Tetapi di sepanjang jalan dari simpang itu ke lokasi Birch dibunuh, tiada satu papan tanda wujud walaupun kami melalui beberapa simpang lagi selepas itu. Kesabaran saya hampir tercabar apabila kanak-kanak sekolah (depa cuti sekolah dan sedang lepak di pondok tepi jalan) yang kami tanya seolah-olah tidak tahu tempat bersejarah itu.



(Tempat Birch dibunuh - kini kurang dikunjungi pelancong)


Setelah beberapa kali berhenti untuk bertanya orang di tepi jalan, akhirnya kami tiba di lokasi yang dituju.
(Foto : Kawasan kolam yang terbiar di Resort)
Sekali lagi kami dikecewakan kerana rupanya “kompleks sejarah” itu sudah “mati”. Sudah seperti rumah yang ditinggalkan penghuni. Dan ia seakan mengiyakan laporan yang kami baca sebelum ini bahawa “Kompleks Sejarah Pasir Salak” sudah tidak diselenggarakan lagi.

Mujurlah Resort yang bersebelahan masih mampu dikunjungi pelawat ketika cuti sekolah begini. Itupun nampak malap saje.....

Teluk Batik :
Tempat ini sering saya kunjungi semasa dalam alam persekolahan dulu. Saya sering berbasikal dengan rakan-rakan ketika cuti sekolah dan berkhemah di tepi pantai. Untuk berbasikal memakan masa kira-kira dua jam. Itupun merentasi Sungai Perak dari jeti Bagan Datoh ke jeti Kampung Kayan di Seberang Perak.



(Teluk Batik sudah bertukar wajah)



Terlalu banyak perubahan yang telah berlaku. Banyak bangunan penginapan muncul bagaikan cendawan tumbuh.

Di pinggir pantai, dataran pejalan kaki terbentang luas seperti laluan depan Mahkamah Keadilan di Putrajaya.

Perubahan-perubahan itu mengambarkan sudah lama benar saya tidak berkunjung. Mungkin hampir sepuluh tahun.

(Lantai dataran sudah mengalami retak)

Namun saya rasa sedih bercampur gembira. Gembira dengan pembangunan pesat Teluk Batik yang sehingga kini kerja-kerja menaik taraf masih berjalan. Sedih kerana cara kerjanya masih bertaraf ‘cincai’.

Belumpun sebahagian kawasan sempurna kerjanya. Sebahagian lagi kawasan yang sudah siap mengalami kerosakan.

Swiss-court Holiday Appartments Damai Laut :
Kawasan peranginan yang pernah memenangi Anugerah Pelancongan Terbaik 2005/2006, kini kualitinya terlalu jauh daripada taraf itu. Banyak kemudahan tidak diselenggarakan dengan sempurna. Mereka yang datang berkunjung pastinya merasakan pemilihan percutian kali ini tidak berbaloi.

Sudahlah perjalanan dari Lumut agak jauh. Ia terpaksa melalui jalan Lumut-Pantai Remis kemudian melalui jalan sepi sejauh 7 km ke dalam. Kalau melakukan perjalanan malam lebih baik berteman! Dan jika dibandingkan dengan apartment di Teluk Batik dengan kemudahan makanan dan pantai, disyorkan lebih baik memilih Teluk Batik. Harganya lebih murah dan kemudahan lebih menarik.

Namun bagi mereka yang memerlukan kedamaian di samping bermain golf di padang yang botak, Damai Laut masih boleh dijadikan pilihan.