Datuk Bendahara semalam memanggil semua pencanang-pencanang dan Tukang Beduk datang ke balainya. Seperti tahun-tahun sebelumnya Tuk Bendahara memberi panduan bagaimana untuk menyampaikan utusan dan memaklumkan kepada rakyat jelata.
Ramailah Tukang Beduk tiba di balai Tuk Bendahara untuk mendengar amanatnya. Tukang Beduk yang sudah bergelarpun tidak kurang hadir, termasuk juga dari kampung-kampung di hulu dan hilir negeri. Mereka turut mewakili pelbagai masyarakat jajahan Sultan Agong.
Tuk Bendahara mengulangi bahawa barisan pentadbirannya akan meneruskan kerja-kerja untuk rakyat tanpa berhenti. Projek-projek baru banyak yang akan dilaksanakan. Di samping itu projek lama yang tidak siap mesti disiapkan mengikut jadual.
Tuk Bendahara tidak mahu banyak alasan diberikan. Beliau mahu projek mesti siap tanpa tangguh. Jika ada masalah mesti ditangani terlebih dahulu. Mesti juga ada nilai tambah.
Memanda Menteri juga mahu agar perselisihan pendapat diantara pembesar negeri diselesaikan dalam sidang di balai, bukan diwar-warkan melalui Tukang Beduk.
Tuk Bendahara juga mahu peristiwa bermukah oleh seorang pembesarnya tidak lagi diwar-warkan. Tuk Bendahara tidak mahu, ada pembelaan terhadap perbuatannya walaupun dari segi tugas, pembesar itu amat tekun dan pintar.
Selain itu, menurut Tuk Bendahara rakyat jelata masih lagi terpinggir daripada mendapat maklumat pembangunan. Masih ada pemisah diantara mereka atau zaman moden ini dipanggil ‘ communication gap’. Rakyat jelata masih ramai tidak tahu negeri sudah membuat pembangunan. Oleh itu Tukang Beduk perlu war-warkan kepada rakyat.
Namun masalah harga minyak naik dan barangan naik, Bendahara mahu Tukang Bedak tidak mencanangnya sampai ke hujung negeri. Isu itu tidak mahu diperbesar-besar dan menakutkan rakyat jelata.
Rakyat negeri ini juga kini terdedah dengan pelbagai ancaman seperti kejadian lanun dan penyamun. Memanda Menteri amat sedih dengan hal ini. Tuk Bendahara selepas ini mahu berjumpa dengan Laksamana dan hulubalang bagi membincangkan ancman yang mengugat keselamatan rakyat itu.
Selepas perjumpaan itu Tuk Bendahara mungkin akan memanggil Tukang Beduk supaya segala yang dibincangkan dengan Laksamana dapat diwar-warkan kepada rakyat jelata.
Tukang Beduk juga dinasihatkan supaya mengambil maklumat daripada Datuk Laksamana seorang sahaja, sebelum mewar-warkan kepada rakyat jelata.
Bendahara sudah mengkhabarkan kepada Datuk Laksamana supaya memberi taklimat kepada Tukang Beduk mengenai jenayah dua kali sehari, pagi dan petang. Dan yang penting kata Datuk Bendahara pergaduhan sesama rakyat negeri tidak usah dibesar-besarkan oleh Tukang Beduk, dan dicanang ke merata desa.
No comments:
Post a Comment