Friday, January 11, 2008

ANTARA 'PRESS-NITE' DAN 'MESS-NITE'

Sebagai ‘orang media’ menerima jemputan jamuan malam daripada VIP sama ada menteri atau tokoh korporat menjadi perkara biasa. Saban tahun pihak media dijemput untuk menghadiri majlis ‘mesra’ oleh mereka atau organisasi yang diwakili, yang dikenali sebagai ‘press nite’.

Sesetengah organisasi menganugerahkan sesuatu kepada pihak media atau wartawan yang menyumbang dalam bidang berkaitan sempena majlis itu. Tapi ada juga organisasi sekadar mengadakan majlis untuk ‘rapat’ dengan orang media.

Minggu pertama 2008 ini masih ramai tokoh atau organisasi membuat jemputan ke majlis berkenaan, mungkin ia limpahan daripada pelbagai program yang diatur tahun lalu atau program permulaan mereka untuk tahun ini.

Antara yang menjemput, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob pada 17 Januari ini di Bukit Kiara manakala Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin keesokannya di sebuah hotel terkemuka berhampiran KL Sentral, Kuala Lumpur.

Selain itu tidak kurang juga yang menjemput untuk makan tengahari seperti sebuah syarikat pengendali tuna negara yang dipengerusikan oleh bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral(B) Tan Sri Ghazali Mohd Seth, pada 17 Januari ini juga.

Ketika dalam tentera dahulu jamuan malam lebih dikenali sebagai ‘mess nite’, yang dihadiri oleh pegawai-pegawai tentera.

Saya masih ingat, ketika dalam latihan pegawai kadet dulu, saya dan rakan pelatih lain diarah mencari pasangan untuk dibawa ke majlis berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail. Gagal membawa pasangan bermakna gagal dalam melaksanakan misi yang diberikan. Amalan itu juga dilanjutkan di unit-unit masing-masing selepas ditauliahkan.

Ketika mula diarahkan untuk mencari pasangan itu, saya panik. Maklumlah orang kampung yang baru datang ke bandar. Tambahan lagi dengan sifat saya yang pemalu dan pendiam serta tidak ramai kawan.

Namun saya mempunyai satu strategi yang amat berkesan, malah dapat membantu rakan lain untuk mendapatkan pasangan.

Saya menghubungi ketua asrama jururawat pelatih di Pusat Rawatan Universiti Malaya (dulu Hospital Universiti). Saya memberitahu ketua asrama itu, hasrat untuk bertemu beliau bagi menjemput jururawat pelatih ke majlis makan malam yang diadakan di sebuah hotel.

Sebagaimana dijanjikan saya pun datang ke asrama berkenaan untuk bertemunya. Kedatangan saya disertai dua lagi rakan lain. Alangkah terperanjatnya saya apabila diberitahu, beliau telah menyediakan jururawat pelatih penuh sebuah bas.

Namun saya menjelaskan, kami hanya perlukan empat orang sebagai pasangan untuk ke majlis berkenaan. Selepas perbincangan, saya diperkenalkan dengan bakal pasangan saya, gadis yang paling menarik dan menawan iaitu ‘anak mami’ dari Pulau Pinang.

Bagaimanapun pasangan dua lagi rakan saya dan seorang lagi rakan yang tidak hadir hanya dapat diketahui pada hari majlis itu berlangsung, iaitu ketika kami menjemput mereka di asrama nanti.

Dan apabila tiba masanya kami menjemput mereka, seorang rakan saya seperti hilang semangat setelah mendapati pasangannya seorang yang berkulit hitam legam. Antara mereka yang mendapat perkhidmatan mencari psangan itu, ialah Lt Kol Md Din Abu dan Lt Kol Abd Rasek (sorry skot pecah lubang!).

Tidak seperti ‘press nite’, majlis ‘mess nite’ lebih teratur dan penuh protokol. Pegawai-pegawai dikehendaki memakai ‘mess-kit’ dengan baju berwarna putih, seluar hijau berjalur kuning dan berbekung merah (bagi tentera darat). Nampak segak dan garang.

Ketika makan, mereka dikehendaki bertertib dan ‘jangan makan kenyang’. Cara memegang sudu dan garpu pula penuh adab dan sopan. ‘No sound!’

Yang tidak cantiknya, arak disediakan. Botol minuman itu ditolak menggunakan tangan kiri untuk diserah kepada rakan di sebelah selepas dituang di dalam gelas atau bagi yang tidak meminumnya cukup sekadar menolaknya.

Arak juga menjadi minuman ‘biasa’ bagi anggota dan pegawai tentera. Saya masih ingat, selepas majlis bacaan yasin di masjid, mereka yang ‘kaki botol’ terus ke mess melanggan minuman itu tanpa menukar Baju Melayu mereka.

Mungkin budaya itulah yang menyebabkan bapa melarang keras tindakan saya menceburi bidang ketenteraan. Namun budaya penjajah itu kini beransur lenyap dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Sejak Kor Agama (KAGAT) ditubuhkan, ramai anggota dan pegawai tentera terdiri daripada mereka yang soleh dan solehah.

1 comment:

Red Pot Kitchen said...

bang, takde post gamba mess nite tu ker? saya ingin nak tau .. nak buat preparation..

-faz-