Menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 semua pihak sibuk membuat persiapan. Bukan sahaja jentera pilihan raya tetapi pelbagai perkara termasuk yang dirasakan menjadi bebanan parti atau individu-individu yang mahu bertanding.
Peruntukan ‘janji pilihan raya’ yang belum ditunaikan kini sudah ‘turun’ untuk pusingan berikutannya. Tahun lalu ia diturunkan kepada Pejabat-pejabat Daerah yang diagih-agihkan kepada kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri melalui wakil rakyat masing-masing.
Kali ini ia sudah ‘diturunkan’ lagi. Wakil-wakil rakyat sama ada Parlimen dan ADUN sudah mula mengatur program bagi mengagihkan peruntukan itu. Mana-mana peruntukan yang sudah lama dijanjikan tetapi tidak ditunaikan lagi, masa inilah perlu ditunaikan.
Jika wakil rakyat lupa ‘hutang’ mereka, maka pengundipun lupalah untuk mengundi mereka.
Beberapa calon juga kini semakin mengelabah. ‘Hutang’ banyak tetapi peruntukan tidak mencukupi. Desakan daripada pengundi sama ada daripada organisasi atau orang perseorangan untuk menerima habuan itu, kini semakin kuat. Silap haribulan, wakil rakyat itu tidak tercalon lagi atau jika tercalon, tunggulah keputusannya nanti sebagai balasan kerana memberi janji palsu!
Bukan senang hendak jadi wakil rakyat. Bukan sahaja duit kena cukup, masapun kena pandai mengatur. Pengurusan kena bijak.
Sorang wakil rakyat di Selangor yang dulu menjadi pensyarah di sebuah universiti di Bangi pernah mengeluh ketika baru memegang jawatan itu. Bukan sahaja peruntukan tidak cukup, gaji jadi wakil rakyatpun habis digunakan untuk projek rakyat, termasuk sumbangan tidak rasmi.
Pernah seorang ahli Parlimen di Perak memberitahu, ketika beliau bangun pagi untuk mandi pada satu syawal, sudah ada orang menunggu untuk meminta habuan. Malah ada seorang ‘orang kampung’ menunggu seawal pagi itu semata-mata untuk meminta wakil rakyat berkenaan membiayai gigi palsunya. Sebagai ahli Parlimen yang prihatin permintaan seperti itu kena juga dilayan.
Selain peruntukan, strategi menjelang pilihan raya dari segi penyebaran maklumat dan penerangan juga sudah diatur. Jabatan Penerangan Khas (JASA) sejak beberapa bulan lalu sudah mengatur pelbagai kursus untuk kakitangannya. Seorang Timbalan Menteri sejak sebulan lalu sudah menjelajah keseluruh negara bagi memantau persiapan jabatan itu.
Pihak media juga mula digerakkan peranan mereka secara agresif. Beberapa perjumpaan dengan editor-editor kanan organisasi media turut diatur oleh pemimpin politik. Sebagaimana pilihan raya sebelum ini, kumpulan polisi media juga dibentuk. Itulah antara kekuatan kerajaan dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-12.
No comments:
Post a Comment