Sunday, January 27, 2008

SUHARTO MENINGGAL DUNIA

(Laporan ini untuk simpanan fail peribadi Leklook)

27 Januari, 2008 16:30 PM

Oleh Mohd Nasir YusoffJAKARTA, 27 Jan (Bernama) -- Malaysia kehilangan seorang sahabat karib dengan pulangnya ke rahmatullah bekas presiden Indonesia, Suharto, pada usia 86 tahun pada jam 1.10 tengah hari waktu tempatan (2.10 waktu Malaysia) hari ini.


Suharto, presiden kedua yang menerajui Indonesia selama 32 tahun dari 1966 hingga 1998, meninggal dunia akibat kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman setelah 24 hari dirawat di Hospital Pusat Pertamina di Jakarta Selatan di sini.

Organ-organ dalaman bekas presiden yang dipanggil akrab Pak Harto itu, seperti jantung, paru-paru dan ginjal gagal berfungsi sejak pukul 1 dinihari ini apabila pernafasan Allahyarham sepenuhnya bergantung kepada mesin bantuan.

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari mulai hari ini.Rakyat Indonesia berdukacita di atas pemergian pemimpin besar mereka yang rata-rata diakui merupakan Bapak Pembangunan Indonesia, yang membentuk wajah negara 17,000 buah pulau ini seperti sekarang dan zaman pemerintahannya juga dianggap umum sebagai zaman paling makmur untuk lebih 200 juta rakyat Indonesia.

Dalam lipatan sejarah Malaysia, Suharto tetap dikenang sebagai seorang sahabat karib bukan saja kerana faktor serumpun dan kedekatan geografi kedua-dua negara tetapi lebih penting beliaulah orang yang menamatkan konfrontasi yang dicanangkan oleh presiden pertama Indonesia, Sukarno, ke atas Malaysia.

Sukarno yang menentang pembentukan negara Malaysia telah melancarkan gerakan konfrontasi itu dengan laungan slogan "Ganyang Malaysia" yang membakar semangat sebahagian rakyat Indonesia pada Julai 1963.Bagaimanapun, sebaik mengambil alih kuasa dari Sukarno di akhir 1965, Pak Harto telah melancarkan beberapa usaha baik secara terbuka mahupun secara sulit untuk menamatkan catatan hitam dalam hubungan kedua-dua negara.Akhirnya, pada 28 Mei, 1966 di satu persidangan di Bangkok, Indonesia dan Malaysia mengumumkan bersama bahawa konflik antara kedua-dua negara serantau itu telah tamat dan disusuli pula dengan menandatangani perjanjian pada 11 Ogos.

Menurut bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia tidak akan melupakan buat selama-lamanya jasa dan sumbangan Pak Harto kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab mengakhiri konfrontasi itu dan seterusnya membawa perdamaian antara kedua-dua negara.

Ditanya sumbangan Suharto dalam hubungan dua hala Malaysia-Indonesia baru-baru ini, Tun Mahathir berkata, "Yang utama bagi Malaysia ialah perhubungan antara Malaysia dan Indonesia dipulihkan di zaman Suharto."Untuk itu kita amat berterima kasih dan amat menghargainya," kata Mahathir, sambil menambah bahawa rakyat kedua-dua negara juga tidak harus lupa bahawa Suhartolah yang membawa perdamaian dan kedamaian.

Tun Mahathir berkata ketika memimpin Malaysia selama lebih 20 tahun, beliau tidak mempunyai sebarang masalah besar dengan Pak Harto."Beliau memudahkan perhubungan antara Malaysia dengan Indonesia yang selepas itu semakin meningkat dan hubungan jadi begitu rapat sehingga kita boleh dianggap serumpun, yang sememang dari asal dekat," katanya.

Mahathir berkata walaupun ada isu bilateral dengan Indonesia yang timbul dari semasa ke semasa pada zaman beliau memimpin Malaysia selama 22 tahun, tetapi berkat ketegasan kepimpinan Pak Harto, isu itu tidak pernah sempat menjadi besar ke tahap bolah menggugat hubungan kedua-dua negara.

Wartawan senior M. Saiful Hadi, yang juga Ketua Pengarang agensi berita Antara, memberitahu BERNAMA bahawa Pak Harto merupakan pemimpin Indonesia yang sangat mengkagumi kejayaan Malaysia dari pelbagai aspek termasuk ekonomi, kestabilan politik, pembangunan yang menyeluruh dan merata serta kebajikan rakyat yang terjaga.

Pak Harto semasa masih menjadi presiden tidak segan-segan memberitahu anggota kabinetnya bahawa tidak ada yang harus dimalukan jika Indonesia belajar daripada keberhasilan (kejayaan) Malaysia demi dicontohi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Indonesia, katanya.Malah, beliau berkata tercatat dalam sejarah bahawa Pak Harto pernah mengundang beberapa pemimpin Malaysia untuk berucap dan berkongsi pengalaman membangunkan negara dengan para pemimpin Indonesia di zamannya.Saiful berkata tidak dapat dinafikan Suharto telah memberi sumbangan besar dalam hubungan dua hala Indonesia-Malaysia selain mengubah wajah Indonesia sendiri sehingga mampu mengikuti perkembangan dunia.
Petikan Bernama

No comments: