Friday, May 4, 2007

ZAHID TERSELAMAT

Konvoi-Kemalangan
ZAHID HAMIDI JATUH MOTOSIKAL KETIKA KETUAI KONVOI MALAYSIA
Daripada Shahrullizan Rusli


SIBOLGA (Sumatera Utara), 2 Mei (Bernama) -- Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi terjatuh dari motosikal berkuasa tingginya hari ini semasa mengetuai konvoi "Tour De Indonesia 2007" sejauh 200 kilometer dari Parapat ke Sibolga, Sumatera Utara.


Ahmad Zahid ketika itu menunggang motosikal BMW 1200cc bersama isterinya, Datin Hamidah Khamis, bagaimanapun kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan dan dapat meneruskan perjalanan menggunakan motosikal yang sama.

Beliau hilang kawalan dan terjatuh semasa melalui laluan yang digelar "Kelok Seribu" oleh menunggang motosikal Indonesia kerana mempunyai ratusan selekoh.

Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif Gabungan Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) mengetuai konvoi lawatan 15 hari, yang menyaksikan 50 buah motosikal berkuasa tinggi Malaysia mengembara sejauh 3,585km merentasi beberapa tempat di Indonesia.

Kawasan yang dilalui ialah Parapat, Sibolga, Bukit Tinggi, Jambi, Palembang, Bandar Lampung, Jakarta, Bogor, Bandung, Magelang, Yogyakarta, Solo, Surabaya, Lavina, Denpasar dan Kuta.

Konvoi-Kemalangan 2 Sibolga Matlamat konvoi itu ialah untuk memperkenalkan Malaysia sebagai pusat pelancongan yang menarik sejajar dengan promosi Tahun Melawat Malaysia
2007.

"Kelok Seribu" adalah satu-satunya jalan yang paling elok boleh digunakan oleh pasukan konvoi dari Parapat ke Sibolga dan penunggang Malaysia sering dinasihatkan oleh penunggang tempatan dari Ikatan Motor Besar Indonesia (IMBI) supaya berhati-hati ketika melaluinya.

Ahmad Zahid juga bukan mangsa pertama kerana terdahulu, sebuah trak bantuan konvoi Malaysia tertanggal tayar belakangnya, disebabkan jalan yang rosak dan dipenuhi lubang.

Sejam kemudian, seorang penunggang motosikal IMBI yang tidak diketahui identitinya dan membawa motosikal mewah seberat 300kg jenis Honda Goldwing, terbabas memasuki gaung tetapi beliau berjaya melompat ke tebing manakala motosikalnya rosak.

Cabaran melalui "Lengkok Seribu" bagaimanapun berbaloi kerana selepas berjam-jam melalui pedalaman Indonesia itu yang setiap selekohnya berbahaya, pasukan konvoi menikmati laluan terowong "Lubang Batu" yang di atasnya terdapat sebatang sungai dengan air terjun mengalir sekaligus menandakan konvoi sudah memasuki Sibolga, sebuah bandar kecil yang dihimpit
Lautan Hindi.

Konvoi-Kemalangan 3 (Akhir) Sibolga Seorang peserta konvoi, Ahmad Razlan Ahmad, 35, yang pertama kali menyertai konvoi seumpama itu mengakui pengalaman melalui laluan dari
bandar Medan sehingga ke Sibolga sangat mencabar dan menggerunkan.

"Kami mengalami pengalaman yang amat mengejutkan kerana ia tidak sama langsung dengan jalan raya di Malaysia," katanya kepada pemberita Malaysia.

Beliau berkata bukan sekadar laluan yang mencabar, sikap sesetengah pengguna jalan raya di sini juga amat berbeza.

"Di sini walaupun diiringi polis tempatan, penduduk yang menggunakan kenderaan masih mencelah sesuka hati dalam kalangan penunggang konvoi," katanya.

Beliau bagaimanapun mengaku semua cabaran itu terbayar apabila melihat kecantikan menakjubkan bumi Indonesia seperti Tasik Danau Toba, yang menjadi tarikan pelancong.

Konvoi 90 anggota itu tiba di Pelabuhan Balawan, Indonesia, Selasa lepas dengan menaiki Kapal KD Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia dan mereka disertai kumpulan 20 motosikal besar dari IMBI, pasukan bantuan, mekanik, penunggang simpanan dan wakil media.
-- BERNAMA


No comments: