Kata orang jangan buka pekong di dada. Tetapi kadang-kadang perlu juga untuk iktibar manusia.
Semalam ketika bekerja dalam waktu puncak, saya menerima SMS "boleh carikan kerja untuk Kak B dan anaknya, dia dalam kesusahan. Abang S kahwin lain, dah 9 tahun. Kak B baru tau".
Mesej daripada isteri saya itu turut mengejutkan saya. Sembilan tahun menyimpan rahsia. Isteri dan anak ditipu.
Kahwin lebih daripada satu memang dibolehkan dalam Islam, malah boleh sampai empat. Tetapi boleh dan mampu ke kita berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab sebagaimana Rasullullah?.
Abang S kini terlantar di hospital kerana pelbagai komplikasi dalaman. Dia sudah keluar masuk hospital sejak beberapa bulan lalu. Rahsia terbongkar kerana kuasa Allah sejak dia terlantar dan pertembungan waktu melawat.
Dia sekarang tiada bergaji, Kak B pula tidak bekerja. Dua orang anaknya nak makan apa? Kereta yang ada rupanya sudah dinamakan dengan nama isteri kedua. Rupanya abang S sudah mempunyai anak berusia 8 tahun bersama isteri keduanya.
Kak B perlu mencari kerja untuk menyara hidup bersama anak-anaknya. Anak sulungnya yang baru menjangkau usia 18 tahun terpaksa bekerja dengan gaji RM500 sebulan untuk dikongsi dengan ibunya. Anaknya yang kedua pula baru masuk tingkatan 4.
Duit sekolah harian habis digunakan untuk tambang teksi ke sekolah kerana tiada kemudahan bas dari rumah. Yang mampu dimakan sebiji epal untuk mengisi perut ketika di sekolah.
Inilah satu daripada fenomena poligami yang tidak dirancang. Walaupun jodoh pertemuan sudah ditentukan, kita seboleh-bolehnya cuba mengelak jika tidak berkemampuan. Masalah akan memuncak ketika kita tidak sihat dan sudah tidak mampu mencari rezeki.
Lelaki mana yang tidak mahu kahwin daripada satu? Tetapi banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum melaksanakan kemahuan itu. Mampu ke kita dari segi kewangan, kuat ke fizikal kita untuk bekerja melipat-gandakan rezeki, kental ke mental dan emosi kita untuk membahagikan kasih sayang? Bagaimana pula perasaan isteri yang dimadu dan perasaan anak-anak yang berkongsi kasih dengan ibu tiri?
Saya masih ingat lagi pesanan abang sulung saya yang kini menjadi ikon keluarga. "Kalau kamu kaya dan senang, jangan kamu lupa isteri kamu yang sama-sama berkongsi susah dengan kamu".
Saya juga masih ingat kisah kawan wartawan saya yang pernah bekerja di Bernama dan RTM (Al-Fatihah buat Allahyarham). Apabila beliau meninggal dunia, isterinya baru tahu dia sudah kahwin lain.
Semuga catatan ini memberi ingatan kepada diri saya dan kita semua.
No comments:
Post a Comment